Tuesday, February 5, 2008

Thirunama akui lelaki dalam klip video adalah Lingam

Thirunama akui lelaki dalam klip video adalah Lingam
Wan Nordin Wan Yaacob Mon Feb 04, 08 3:05:49 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Hrkh) - Adik kepada peguam Dato' VK Lingam, Thirunama Karasu hari ini mengakui bahawa imej lelaki dalam klip video yang didedah Dato' Seri Anwar Ibrahim pada September lalu ialah abangnya (Dato' VK Lingam) yang juga seorang peguam terkenal.

"Dia adalah 100 peratus abang saya Dato' V.K. Lingam," kata Thirunama kepada anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja 'Pita Lingam' yang menyambung persidangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini..
Thirunama yang memberi keterangan pada hari ke-13 berkata, beliau mengenali orang yang bercakap dalam klip video itu sebagai abangnya berdasarkan bahasa gerak-geri, pergerakan dan juga suaranya.
Lingam bercakap dengan sangat kuat dan akan menjadi teruja dalam perbualannnya, katanya.
Ujarnya lagi, abangnya itu cenderung menggunakan ungkapan yang cukup popular sama seperti dalam klip video 'Pita Lingam' iaitu "correct, correct, correct".
Beliau juga banyak kali mendengar ungkapan "correct, correct, correct" yang dilafazkan oleh Lingam semasa bekerja dengan abangnya itu.
Thirunama bekerja dengan Lingam, iaitu abangnya yang sulung, secara tidak rasmi pada 1995 dan secara rasmi pada 1996 dengan diberikan gaji.
Thirunama turut mendedahkan bahawa beliau pernah sekali menjawab panggilan telefon bimbit Lingam dan pemanggilnya ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin.
Thirunama juga mengakui bahawa beliau juga pernah memandu untuk menghantar dan menjemput Lingam dari rumah Eusoff selain mengakui Lingam pergi ke rumah Eusoff dengan membawa fail.
"Saya nampak Lingam tunduk sambil berkata `terima kasih Yang Arif, terima kasih Yang Arif'," kata Thirunama.
Beliau menambah pada ketika itu, hanya Eusoff, Lingam dan beliau sahaja yang berada di luar pintu masuk rumah Eusoff.
Beliau membawa Lingam ke rumah Eusoff kira-kira tujuh hingga lapan kali.
Selain itu, katanya, beliau juga pernah pergi bersendirian ke rumah Eusoff untuk menghantar kek dari sebuah kedai kek, sebuah beg bimbit dan tiga mangkuk sup.
Pengakuan itu dibuat di hadapan lima anggota panel bersidang dalam inkuiri yang diketuai oleh Tan Sri Haidar Mohamed Noor selain anggota seperti Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, Dato' Mahadev Shankar, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Prof Emeritus Dato' Khoo Kay Khim.
Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat klip video 'Pita Lingam' yang didedah Anwar pada September lalu.
Klip itu antara lain menunjukkan perbualan antara seorang peguam kanan (VK Lingam) dengan seorang bekas hakim kanan, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim melalui telefon.
Lingam didakwa mencatur kedudukan hakim-hakim kanan dengan menggunakan beberapa orang politik

No comments: