Tuesday, February 5, 2008

Umno bersedia hadapi p'raya 8 atau 9 Mac

Umno bersedia hadapi p'raya 8 atau 9 Mac
Nash Rahman Feb 4, 08 3:26pm
Jentera pilihanraya umum Umno sudah bersiap sedia di seluruh negara untuk menghadapi pilihanraya pada 8 atau 9 Mac depan, demikian menurut sumber-sumber yang layak dipercayai.Menurut mereka, semua Umno negeri telah dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa Parlimen akan dibubarkan sejurus selepas sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut Khamis ini.Teka teki mengenai tarikh pilihanraya umum kali ini menjadi tajuk perbahasan hangat di kalangan rakyat, parti politik serta pihak media.Setakat ini, pihak pembangkang meramalkan pilihanraya umum akan diadakan pada 15 Mac depan, iaitu sewaktu cuti sekolah penggal pertama.Cuti sekolah penggal pertama bermula pada 8 hingga 16 Mac depan.
Proses pengundian dijalankan di bangunan sekolah dan kerana itu, pilihanraya umum diadakan sewaktu cuti sekolah.
Manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika ditanya oleh pemberita minggu berlepas, mengakui bahawa pilihanraya sudah dekat.Tajuk mengenai tarikh pilihanraya umum juga hangat diperkatakan kerana ia ada kaitan sama ada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bertanding atau dalam pilihanraya kali ini.Faktor AnwarEkoran sabitan dan hukuman tuduhan salaguna kuasa terhadapnya, maka bekas timbalan perdana menteri itu, dilarang bertanding dalam pilihanraya umum selama lima tahun.Tarikh larangan tersebut akan berakhir pada 14 Mac depan. Ini bermakna sekiranya pilihanraya diadakan pada bulan Mac, maka Anwar tidak boleh bertanding dalam pilihanraya kali ini.Ekoran itu, walaupun kepimpinan Umno pernah berkata bahawa Anwar bukan satu 'ancaman politik' terhadap kerajaan, namun ramai percayai pilihanraya akan diadakan lebih awal supaya Anwar tidak layak bertanding.Sementara itu beberapa pemerhati politk berkata, Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, lebih selesa jika pilihanraya umum diadakan lebih awal supaya Anwar tidak layak bertanding."Kerana menjangka pilihanraya umum akan diadakan lebih awal dan Anwar tidak layak bertanding, maka parti-parti pembangkang berkempen bahawa negara memelukan barisan pembangkang yang kuat."Mereka juga mengakui bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan dapat memenangi pilihanraya umum akan datang walaupun tidak sebesar tahun 2004," kata sumber-sumber itu.Bagaimanapun, katanya, jika pilihanraya umum diadakan selepas bulan April ini dan Anwar layak bertanding, kemungkinan besar, pihak pembangkang akan mengubah strategi kempen mereka."Mereka mungkin akan bercakap mengenai kerajaan alternatif kerana mereka mempunyai calon Perdana Menteri, iaitu Datuk Seri Anwar, jika pembangkang berjaya menumpaskan BN dalam pilihanraya umum akan datang," kata mereka.

Kes Pita Lingam: Anwar, Aliran tidak akan mohon maaf

Kes Pita Lingam: Anwar, Aliran tidak akan mohon maaf
Harakahdaily Mon Feb 04, 08 7:14:48 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim dan badan bukan kerajaan (NGO), Aliran telah pun menyatakan bahawa mereka tidak akan mengemukakan sebarang permohonan maaf kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kenyataan mereka mengenai panel itu yang disiarkan melalui Internet.

Perkara itu dinyatakan hari ini oleh Dato' Mahadev Shankar, seorang daripada lima anggota suruhanjaya itu yang mengadakan siasatan berhubung klip video kontroversi yang memaparkan peguam Dato' V. K. Lingam sedang berbual menerusi telefon kononnya bagi mengatur pelantikan hakim.
Bernama yang memetik kenyataan Mahadev berkata peguam M. Puravalen yang mewakili Anwar dan peguam C. V. Prabhakaran yang mewakili Presiden Aliran, P. Ramakrishnan, memaklumkan kepada suruhanjaya itu bahawa anak guam mereka bertegas dengan kenyataan itu dan tidak akan mengemukakan permohonan maaf kepada suruhanjaya.
Beliau berkata suruhanjaya itu memberi perhatian kepada dua artikel yang disiarkan dalam Internet.
Pertama ialah kenyataan oleh Ramakrishnan bahawa Aliran terkejut besar apabila Anwar, Naib Presiden KeADILan, R. Sivarasa dan Penyelaras KeADILan, Sim Tze Tsin tidak dipanggil sebagai saksi dalam siasatan itu meskipun mereka mempunyai bukti yang berkaitan, katanya.
Kedua ialah kenyataan akhbar yang dibuat oleh Anwar bahawa suruhanjaya itu dimanipulasi oleh 'tangan yang ghaib', katanya.

Thirunama akui lelaki dalam klip video adalah Lingam

Thirunama akui lelaki dalam klip video adalah Lingam
Wan Nordin Wan Yaacob Mon Feb 04, 08 3:05:49 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Hrkh) - Adik kepada peguam Dato' VK Lingam, Thirunama Karasu hari ini mengakui bahawa imej lelaki dalam klip video yang didedah Dato' Seri Anwar Ibrahim pada September lalu ialah abangnya (Dato' VK Lingam) yang juga seorang peguam terkenal.

"Dia adalah 100 peratus abang saya Dato' V.K. Lingam," kata Thirunama kepada anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja 'Pita Lingam' yang menyambung persidangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini..
Thirunama yang memberi keterangan pada hari ke-13 berkata, beliau mengenali orang yang bercakap dalam klip video itu sebagai abangnya berdasarkan bahasa gerak-geri, pergerakan dan juga suaranya.
Lingam bercakap dengan sangat kuat dan akan menjadi teruja dalam perbualannnya, katanya.
Ujarnya lagi, abangnya itu cenderung menggunakan ungkapan yang cukup popular sama seperti dalam klip video 'Pita Lingam' iaitu "correct, correct, correct".
Beliau juga banyak kali mendengar ungkapan "correct, correct, correct" yang dilafazkan oleh Lingam semasa bekerja dengan abangnya itu.
Thirunama bekerja dengan Lingam, iaitu abangnya yang sulung, secara tidak rasmi pada 1995 dan secara rasmi pada 1996 dengan diberikan gaji.
Thirunama turut mendedahkan bahawa beliau pernah sekali menjawab panggilan telefon bimbit Lingam dan pemanggilnya ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin.
Thirunama juga mengakui bahawa beliau juga pernah memandu untuk menghantar dan menjemput Lingam dari rumah Eusoff selain mengakui Lingam pergi ke rumah Eusoff dengan membawa fail.
"Saya nampak Lingam tunduk sambil berkata `terima kasih Yang Arif, terima kasih Yang Arif'," kata Thirunama.
Beliau menambah pada ketika itu, hanya Eusoff, Lingam dan beliau sahaja yang berada di luar pintu masuk rumah Eusoff.
Beliau membawa Lingam ke rumah Eusoff kira-kira tujuh hingga lapan kali.
Selain itu, katanya, beliau juga pernah pergi bersendirian ke rumah Eusoff untuk menghantar kek dari sebuah kedai kek, sebuah beg bimbit dan tiga mangkuk sup.
Pengakuan itu dibuat di hadapan lima anggota panel bersidang dalam inkuiri yang diketuai oleh Tan Sri Haidar Mohamed Noor selain anggota seperti Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, Dato' Mahadev Shankar, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Prof Emeritus Dato' Khoo Kay Khim.
Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat klip video 'Pita Lingam' yang didedah Anwar pada September lalu.
Klip itu antara lain menunjukkan perbualan antara seorang peguam kanan (VK Lingam) dengan seorang bekas hakim kanan, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim melalui telefon.
Lingam didakwa mencatur kedudukan hakim-hakim kanan dengan menggunakan beberapa orang politik

Bilakah kita nak belajar politik?

Bilakah kita nak belajar politik?
Abdul Halim Mohd Rashid Mon Feb 04, 08 3:03:43 pm MYT
Dalam berita bertajuk "Indians will vote against BN: Pak Lah," Malaysiakini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, undi kaum India kepada Barisan Nasional akan merudum. Beliau tidak pula menyebut bahawa penerimaan rakyat kepadanya juga merudum, terutama dari kaum India.
Teringat pula pilihan raya 1990. Keputusan bagi kerusi parlimen Sungai Siput hanya diketahui pada pagi hari berikutnya. Akhirnya, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mendapat 14,427 undi manakala lawannya, P Patto mendapat 12,664 undi.
Itulah pilihan raya paling sengit bagi Samy Vellu. Ketika itu, sebahagian besar orang-orang India menolak beliau. Beliau menang kerana undi, sokongan habis-habisan dan kerja keras orang-orang Umno. Ketika mengulas kemenangan sukarnya itu, beria-ia Samy Vellu meratib-ratib: "Umno jiwa saya! Umno nadi saya!"
Tidak lama selepas pilihan raya itu, saya berpeluang berbual dengan Patto ketika bertemu dengannya di atas keretapi. Patto hendak balik Ipoh dan saya pula hendak balik ke rumah emak saya di Matang, Taiping.
Banyak juga yang kami bualkan. Memanglah, nak buat apa lagi atas keretapi?
Patto ternyata kecewa dengan orang-orang Melayu yang memenangkan Samy Vellu ketika itu. Dia menganggap Samy Vellu pengkhianat orang-orang India. Saya membantah Patto, "Bukan orang Melayu. Orang Umno!"
Terus terang, saya mahu Patto memenangi pilihan raya itu. "Aku pun frust. Aku nak hang menang. Bukan DAP, aku nak P Patto menang. Sungguh!" saya memberitahu beliau tanpa mempedulikan perasaannya apabila menyatakan saya hanya menyokong beliau, bukan DAP.
Saya tidak ingat apa jawapannya. Kalau nak tulis juga apa jawapan beliau, terpaksa berbohongLah!
Di pertengahan perjalanan, kami sama-sama ke kantin dalam keretapi itu. Kantin ka, kafeteria ke, saya pun tak ingat. Kira kantinlah!
Selepas mengambil pesanan, kami berebut-rebut hendak membayar. Patto memarahi saya. “Apa! hang ingat aku dah kalah, aku tak dak duit dah?” (Patto berasal dari Bagan Serai kalau tak silap saya, sebab itulah beliau fasih berbahasa Melayu loghat utara).
Sampai di Ipoh, Patto turun. Isteri dan anak-anaknya tinggal di situ.
Selepas kemarahan 1990 itu, akhir-akhir ini, ramai kaum India yang memaki hamun Samy Vellu dan menuduh beliau pengkhianat. Walaupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah membayangkan bukan mudah nak buang Samy Vellu, tetapi parti yang beliau pernah pimpinlah yang menyambung nyawa politik tokoh yang kelihatan menjadi kebencian sebahagian besar kaum India itu.
Samy Vellu telah dihukum oleh orang-orang India. Paling diingati ialah di Pulau Pinang ketika pertunjukan Aatam 100 Vagai dan di Batu Caves ketika sambutan Thaipusam baru-baru ini. Mungkin hukuman lebih berat menanti di Sungai Siput walaupun, bagai biasa, Umnolah yang akan menjadi penyelamatnya.
Biarlah Samy Vellu mengharungi penyakit buatannya sendiri. Persoalan yang lebih besar ialah bilakah kita akan belajar politik dari rakan-rakan yang berbangsa India?
Atau, adakah memang tak nak belajar??!!

Pita Lingam: Siasatan Suruhanjaya Diraja perlu perubahan drastik

Pita Lingam: Siasatan Suruhanjaya Diraja perlu perubahan drastik
Wan Nordin Wan Yaacob Mon Feb 04, 08 1:28:16 pm MYT
KUALA LUMPUR,4 Feb (Hrkh) - Setelah hampir sebulan Suruhanjaya Siasatan Diraja 'Pita Lingam' menjalankan operasinya , Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mengkritik kaedah pelaksanaan siasatannya yang tidak memfokuskan isu rasuah yang menjadi topik utama pendedahan pita itu.

Bendahari Agung KeADILan, William Leong berkata,minggu lalu ahli suruhanjaya mendapati bahawa kenyataan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai manipulasi seorang di sebalik tabir atas suruhanjaya tersebut dianggap badan itu sebagai 'menghina'.
Dalam siasatan munggu lalu kata William, Anwar meminta untuk peluang untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya berhubung bukti-bukti rasuah dalam kehakiman.
Namun segalanya sia-sia setelah suruhanjaya yang dikepalai Tan Sri Haidar Mohamed Nor menolak permohonan peguam Anwar, M.Puravelan.
"Anwar ingin memberi keterangan kepada suruhanjaya untuk menyatakan bahawa selepas membaca semula kenyataan yang diberi kepada media," jelas beliau.
Namun suruhanjaya beranggapan ia satu kenyataan yang menghina badan itu, katanya.
Kata William, kepincangan dalam siasatan klip video rasuah kehakiman ini berlaku sejak dari awal lagi.
Pada mulanya kata William, siasatan yang dibuat Badan Pencegah Rasuah (BPR) melalui syarikat Cyber Security mengenai ketulenan klip video itu telah mengesahkan ketulenannya.
Begitupun pendedahan mengenai pengesahan klip video itu dilewatkan meskipun BPR boleh berbuat demikian, katanya.
"Pihak berkuasa pastinya sedar bahawa Cyber Security boleh mengesahkan klip video tersebut dalam masa beberapa hari selepas ia didedahkan. Pihak berkuasa memilih untuk menyembunyikan maklumat ini," katanya.
BPR telah mengeluarkan perintah di bawah seksyen 22 Akta Mencegah Rasuah 1997, menghendaki Anwar mengeluarkan klip video yang asal atau beliau akan dikenakan tindakan mahkamah, katanya.
Bagaimanapun, dalam kenyataan ke BPR sendiri, Anwar mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai klip video yang asal, ujarnya.
"Sekarang, ia telah dibongkarkan kepada suruhanjaya bahawa Dato' VK Lingam telah memberi nama dan alamat Loh Mui Fah dan anak lelakinya kepada BPR," ujarnya.
Dengan maklumat ini, BPR boleh memperoleh klip video yang asal dan sekali lagi, pihak berkuasa memilih untuk tidak bertindak, katanya.
Kini timbul banyak lagi masalah selepas saksi yang penting seperti Anwar tidak dipanggil untuk memberi keterangan sedangkan ia amat penting untuk perjalanan siasatan tersebut, katanya.
"Suruhanjaya ini diperlukan untuk memulangkan keyakinan orang ramai kepada badan kehakiman. Ia bukan sahaja mengenai perlantikan hakim. Ia adalah mengenai kegiatan rasuah di dalam badan perhakiman. Tindakan drastik perlu diambil untuk memulihkan situasi ini," ujar William yang juga seorang peguam.
Menurut William, Anwar telah mendesak pihak berkuasa untuk memastikan rangkuman penyiasatan suruhanjaya cukup luas untuk mengambil tindakan yang menyeluruh.
Malangnya, rangkuman penyiasatan yang terhad telah merompak kewibawaan suruhanjaya dan oleh itu, Anwar telah menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membetulkan keadaan, katanya.

Najib minta maaf roboh kuil, Umno hina orang Melayu?

Najib minta maaf roboh kuil, Umno hina orang Melayu?
Azamin Amin Mon Feb 04, 08 1:23:26 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Hrkh) - Ramai yang kesal dan merasa 'tersentuh', dengan sikap pilih kasih Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berkaitan isu perobohan rumah ibadat yang mana beliau bersikap 'apologetik' tatkala berhadapan dengan kaum India.

Untuk meraih sokongan bangsa India dalam mendepani pilihan raya umum akan datang, Najib dilihat secara terbuka memohon maaf atas kesilapan kerajaan merobohkan rumah ibadat mereka sedang tidak pernah kedengaran pemimpin Umno termasuk beliau sendiri membuat kenyataan sama setelah merobohkan surau dan masjid orang-orang Islam.
Najib dilaporkan meminta maaf tentang isu pemusnahan Kuil Sri Maha Mariamman, Padang Jawa di Klang pada 29 Oktober seminggu sebelum Deepavali.
"Jangan ulangi kesilapan di masa hadapan. Kalau kami salah, kami akui kesilapan. Kami minta maaf atas apa yang berlaku,"katanya yang dipetik daripada sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris hari ini.
Seorang penulis email ke Harakahdaily menyatakan sikap Najib ini benar-benar menyinggung perasaan orang Islam yang lain di samping tidak menafikan hak agama lain untuk membina rumah ibadat masing-masing.
"Tiada sebarang permohonan maaf atau dialog terbuka oleh pemimpin Umno dengan orang Islam tentang perobohan surau dan masjid yang banyak berlaku di Selangor.Mereka semakin angkuh bertindak secara kasar 'membenamkan' rumah Allah tanpa sebarang penjelasan dan menuduh kita membina secara haram dengan sewenangnya.
"Mungkin anggapan mereka, apa saja yang dilakukan Umno, orang melayu dan Islam tidak berani membantah, akur dan terus menyokong mereka," kata penulis yang menggunakan samaran Wahab daripada Klang, Selangor.
Dalam laman web tranungkite seorang penulis dikenali sebagai 'alhusseyn' berkata sikap Najib ini menunjukan betapa gundah gulana dan keresahan yang sedang melanda Barisan Nasional (BN) semenjak tuntutan Hindraf dan Makhal Sakthy yang mengancam peranan MIC yang mewakili orantg-orang India selama ini.
"Statistik yang diakui Najib sendiri menunjukkan bahawa pendapatan isi rumah kaum India ialah RM3,215, lebih tinggi daripada purata kebangsaan RM3,022 dan juga kaum Bumiputera RM2,522.
"Statistik tersebut adalah bukti kegagalan Umno dalam memperjuangkan agenda Melayu sebagaimana yang selalu dilaung-laungkannya dan hanyalah sebagai retorik untuk menagih simpati dan sokongan semata-mata," katanya.

Monday, February 4, 2008

Undi BN, Singapura yang memerintah?

Undi BN, Singapura yang memerintah?
Abdul Halim Mohd Rashid Sun Feb 03, 08 7:20:50 pm MYT
Sejak pentadbiran negara ini dikuasai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi, seorang blogger Umno yang memperkenalkan dirinya sebagai The "thirteen million plus Ringgit" guy (bigdogdotcom.wordpress) melihat negara ini "bermain dan menari kepada rentak dan irama Singapura dalam serba serbi".

Ia bermula dengan isu Bank Negara meluluskan Temasek Holdings membeli saham penguasaan dalam Malaysian Plantations Bhd dan sekaligus menguasai Alliance Bank Bhd, kata beliau.
Keadaan itu berlaku ketika Singapura sendiri amat liat untuk melepaskan asset negara itu, termasuk syarikat-syarikat dalam negara itu, dari dibeli oleh kepentingan Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah merayu agar kerajaan Singapura bersikap lebih terbuka bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia memiliki aset di republik itu.
Najib berkata, aliran pelaburan dua hala yang saksama dan seimbang adalah untuk kepentingan bersama serta menguntungkan kedua-dua negara.
Merujuk pelaburan syarikat milik Singapura, Temasek di negara ini beberapa tahun kebelakangan ini, kata Najib, aliran kemasukan pelaburan dari Singapura ternyata besar.
''Diperhatikan bahawa jumlah dan saiz pemerolehan kepentingan rakyat Singapura, terutama entiti dikawal kerajaan, jauh lebih besar berbanding pemilikan syarikat-syarikat Singapura oleh rakyat Malaysia," kata Timbalan Perdana Menteri.
Lebih mendukacitakan, Khazanah Holdings seolah-olah menjadi extension atau tangan kepada Temasek Holdings.
"Dalam pada itu, anak syarikat pelaburan negara, Khazanah Holdings Bhd persis dan menjadi pseudo Temasek Holdings Ltd, syarikat pelaburan Singapura. Terma baru seperti Government Linked Companies (GLC) mula digunakan dalam 'cakap cakap pasaran'. Temasek Holdings juga mula membeli kepentingan dalam syarikat syarikat strategik Malaysia, seperti Telekom Malaysia," kata ahli Umno itu dalam postingnya yang bertajuk "Kerjasama dengan Singapura dan mengadai kepentingan ekonomi, kawasan pembangunan dan ketenteraan?".
Perkara itu sebenarnya pernah mendapat perhatian Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar. Sikap Khazanah Nasional kebelakangan ini amat menimbulkan kecurigaan, kata beliau.
"Pintunya yang terbuka luas untuk membolehkan perluasan cengkaman dan penguasaan syarikat-syarikat Singapura dalam projek-projek dan syarikat-syarikat strategik di negara ini menimbulkan tanda tanya adakah sayap perniagaan kerajaan yang sangat penting itu berkhidmat kepada negara ini atau sebenarnya kepada kerakusan cita-cita strategi Singapura ke atas negara ini," katanya lagi dalam satu kenyataan pada bulan November 2006..
Lebih buruk lagi, katanya, Khazanah Nasional juga berusaha untuk membawa pemikiran yang sangat bahaya kepada rakyat negara ini apabila ia menyeru rakyat Johor supaya jangan berfikiran sempit bila berurusan dengan Singapura.
Mahfuz mmbangkitkan kenyataan Naib Presiden Kanan Khazanah Nasional di dalam Pejabat Pengarah Urusan, Ahmad Shahizam Mohd Shariff yang menyatakan rakyat Johor hari ini mesti bersikap realistik dalam penilaian mereka terhadap rancangan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) atau sebelum ini dikenali sebagai Wilayah Ekonomi Selatan Johor (SJER).
Ternyata bukan pembangkang sahaja yang begitu curiga dengan Khazanah Holdings yang semakin didakwa lebih mengutamakan kepentingan Singapura dari kepentingan negara.
Malah, The "thirteen million plus Ringgit" guy yang selalu mempertegaskan kesetiaanya kepada Umno melihat pembelian saham Pantai Holdings yang melibatkan pelaburan Khazanah Holdings sebagai satu skandal. Kemungkinan amat ramai ahli Umno yang lain yang mempunyai tanggapan yang sama seperti beliau amat sukar ditolak.
Dalam kenyataan yang sama pada bulan November 2006 itu, Mahfuz mengecam Khazanah Nasional telah membelanjakan begitu banyak wang negara untuk mengambilalih Pantai Holdings Bhd dari Parkway Holdings Ltd dalam satu urusniaga yang amat berat sebelah dan hanya menguntungkan syarikat Singapura.
"Lebih menyakitan hati rakyat negara ini ialah apabila Khazanah Nasional menguasai semula Pantai Holdings Bhd melalui Pantai Irama Sd Bhd dengan menggunakan wang rakyat, tiba-tiba 49 peratus saham Pantai Irama diserahkan pula kepada Parkway yang kemudiannya akan menguruskan hospital-hospital di bawah Pantai Holdings," katanya.
Melalui Pantai Irama, katanya, Khazanah membeli saham Pantai daripada Parkway dengan cara membeli 6.6 peratus pegangan atau 30.92 juta saham dengan harga yang tidak dinyatakan dan kemudian membeli keseluruhan 26 peratus pegangan yang dimiliki Parkway dengan harga RM2.65 sen sesaham, harga yang dianggap terlalu tinggi, dan selepas itu Pantai Irama akan membuat tawaran awam pula yang akan meletakkan Pantai pada nilai RM1.25 bilion.
"Rakyat terus tidak puas hati dengan Pantai Holdings yang sebelum itu menolak tawaran dari dua konsortium pelabur tempatan untuk mengambilalih dua anak syarikatnya, Pantai Medivest Sdn Bhd dan Fomema Sdn Bhd, kedua-duanya memegang konsesi dari kerajaan," kata Mahfuz.
Fomema memegang konsesi 15 tahun untuk menjalankan pemeriksaan kepada semua pekerja asing yang hendak masuk berkerja di dalam negara ini. Konsesi hanya akan berakhir pada September 2012. Pantai Medivest pula memegang konsesi 15 tahun dari Oktober 1996 untuk membekalkan perkhidmatan sokongan kepada hospital-hospital di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.Medivest dan Fomema adalah punca pendapatan utama Pantai, iaitu kira-kira separuh jualan kumpulan Pantai Holdings dan lebih 40 peratus keuntungan dari operasi kumpulan itu.
Selepas isu Pantai Holdings, timbul pula pembatalan jambatan bengkok ke Singapura. Menurut The "thirteen million plus Ringgit" guy, pembatalan jambatan tersebut yang dirancang untuk menggantikan Tambak Johor berlaku kerana Abdullah membuat keputusan 'flip-flop' apabila timbul soal "penjualan pasir disamping permintaan untuk pengunaan ruang udara" yang dibangkitkan Singapura dalam siri rundingan berkenaan projek itu.
Walaupun perkara itu dibantah keras oleh Johor dan Tentera Udara Diraja Malaysia dan menerima pelbagai reaksi negatif, "PM 'Flip-Flop' Abdullah masih berdegil mempertahankan keputusan yang ramai percaya dibuat secara terburu buru dan cuai itu," kata beliau.
Apa yang sentiasa didakwa sebagai penjajahan secara halus Singapura ke atas Malaysia di zaman Abdullah menjadi Perdana Menteri dikatakan semakin mengancam keselamatan negara dengan pelancaraan dan perlaksanaan projek pembangunan mega Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) pada November 2006.
Blogger ahli Umno itu melihat WPI lebih "menguntungkan Singapura berbanding diri sendiri, kerana membeli peluang industri sokongan bernilai rendah republik itu dipindah dan segala sumber negara pulau-bandaraya itu ditumpu sepenuhnya kepada industri nilai tinggi seperti ICT, bio-teknologi, perkhidmatan kewangan dan pasaran modal".
Lebih buruk lagi, beliau juga menyatakan bahawa "WPI juga akan melaksanakan pembangunan di mana kepentingan Melayu sebenarnya akan terabai".
Apa yang sentiasa didakwa sebagai penjajahan secara halus Singapura ke atas Malaysia di zaman Abdullah menjadi Perdana Menteri seolah-olah disempurnakan Mei tahun lepas di Langkawi, apabila "PM 'Flip-Flop' Abdullah telah menjemput Singapura terlibat secara pro-aktif dalam perancangan pembangunan WPI, semasa berunding dengan PM Singapura Brig Gen (NS) Lee Hsien Loong".
Mahfuz membangkitkan tuduhan ramai pihak yang medakwa Abdullah mengkhianati negara ini apabila WPI kini dipanggil perluasan de facto Singapura secara rasmi (official de facto extension of Singapore) di dalam wilayah Malaysia.
Beliau juga mengecam Abdullah yang memekakkan telinga ketika ketika begitu ramai rakyat Johor membantah dengan mesej bahawa mereka "tak setuju pelan khianat SJER adakan Free Acces Zone, kuasa autonomi, utamakan port (pelabuhan) dan airport (lapangan terbang) Singapura dan jadi bandar satelit tempat enjoy rakyat Singapura. Johor negeri berdaulat!"
Apa yang sentiasa didakwa sebagai pengkhianatan kerajaan Abdullah ke atas negara ini semata-mata untuk menyerah diri kepada apa yang didakwa sebagai penjajahan secara halus Singapura lebih ketara lagi apa laman web Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) melaporkan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengakui bahawa terdapat kemungkinan bahawa Akta IRDA 664 tidak digubal dengan tatacara sepatutnya.
Akta IRDA 664 diwujudkan untuk memudahcarakan cita-cita mewujudkan WPI.
Menteri Besar Johor itu menjawab isu yang dibangkitkan oleh ProWaris mengenai Akta IRDA 664. ProWaris melihat akta itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang bercirikan demokrasi berpelembagaan kerana Akta IRDA 664 dan Pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) mengenepikan hak Bangsa Melayu, menggugat kesucian agama Islam dan mencabar kedaulatan Raja dan Negara.
Akibatnya, kata The "thirteen million plus Ringgit" guy, pegawai-pegawai Singapura kini menjadi sebahagian dari task force khas yang diwujudkan untuk merangka program pembangunan WPI, termasuk hub pengangkutan, soal imigresyen, pelancongan dan soal alam sekitar.
"Singapura mempunyai kepetingan khusus dan strategik dalam apa (jua) keputusan dan perancangan task force ini. Kini Singapura diberikan 'kuasa' untuk menentukan isu-isu yang melibatkan mereka dalam negara kita sedangkan isu seperti pengeksportan-pembelian semula air Johor-Singapura dan hub logistik PTP-Senai-Pasir Gudang masih tertangguh dan belum selesai," kata beliau.
Sebab itulah, menurut ahli Umno itu, apa jua kenyataan yang positif yang dibuat oleh Lee Kuan Yew "dilihat sebagai 'meragukan' dan menimbulkan tanda tanya (adanya) 'udang disebalik batu' di kalangan penganalisa politik".
Jumaat lalu, Bernama melaporkan Lee Kuan Yew berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin Malaysia bagi membolehkan kedua-dua negara maju bersama.
Laporan Berita Harian Singapura lebih jelas lagi dari apa yang dilaporkan oleh Bernama. Berikut ialah petikan laporan akhbar itu:
Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew berkata Singapura akan meraih manfaat dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR) namun pada jangka panjang Malaysia akan meraih manfaat lebih besar.
Oleh itu, Malaysia perlu merubah pemikirannya - daripada pandangan berasaskan persaingan dan kebencian terhadap Singapura kepada kerjasama dan sedia menerima negara ini.
Apatah lagi, Malaysia mempunyai bakat dan sumber tenaga lebih luas berbanding Singapura.
Encik Lee berkata, Singapura akan melakukan apa yang terdaya dan patut dilakukan untuk memastikan IDR berjaya.
'Soal siapa yang akan dapat lebih manfaat (daripada projek IDR), sejarah akan menentukannya,' kata Encik Lee semasa ditemui media di Istana semalam.
Kenyataan beliau adalah sebagai mengulas lebih lanjut komen yang dibuatnya dalam satu sidang Institut Pengajian Dasar, tengah hari semalam, tentang adakah Singapura memerlukan kawasan pedalaman, seperti Malaysia, untuk berkembang sebagai sebuah kota jagat.
Kenyataan itu amat jelas bagai memujuk rakyat Malaysia supaya mengundi Barisan Nasional. Maklumlah, parti itu dikuasai oleh sahabat Lee sendiri, Abdullah.
Lebih dari itu, Malaysia kononnya akan "meraih manfaat lebih besar".
Tidak hairanlah kalau Mahfuz menyeru rakyat supaya bangkit beramai-ramai menentang Barisan Nasional yang dipimpin Abdullah yang semakin dituduh menjadi khadam suruhan Singapura dan agen-agennya di negara ini.
Tindakan itu wajib dilakukan rakyat negara ini, kata beliau lagi, bukan sahaja kerana apa yang didakwa sebagai penyerahan wilayah Malaysia kepada Singapura.
Malah, pengambilalihan syarikat-syarikat Singapura ke atassyarikat-syarikat strategik negara ini telahpun sampai ke peringkat yang parah dan akan memusnahkan negara ini - antaranya termasuk pengambilalihan Pantai oleh Parkway; pembelian sebahagian kepentingan AirAsia, Proton Holdings Bhd oleh GSIC; pemilikan ekuiti Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Malaysian Plantations Bhd oleh Temasek Holdings dan pemilikan saham-saham pelabuhan tempatan, Westports, oleh pengendali pelabuhan Singapura, PSA, melalui Hutchison Ports Holdings.
Agaknya sebab itulah beberapa anak muda yang ditemui ketika menanti pembebasan beberapa pemimpin dan aktivis yang ditangkap di hadapan penjara Pudu baru-baru ini mendakwa, "kalau undi Barisan Nasional, Singapura akan perintah Malaysia"!