Tuesday, February 12, 2008

Jelaskan isu harga minyak

Jelaskan isu harga minyak
MUAR 11 Feb. - Semua jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) diminta memberi penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai isu kenaikan harga minyak yang menjadi punca peningkatan harga barangan yang digunakan parti pembangkang untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke-12.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, rakyat perlu mengetahui faktor utama yang mendorong kenaikan harga barangan iaitu harga pasaran minyak mentah dunia yang melambung tinggi sehingga melebihi AS$100 setong.
Menurutnya, rakyat juga perlu diberi penjelasan bahawa kerajaan BN selama ini sentiasa berusaha memastikan peningkatan harga minyak itu tidak membebankan pengguna melalui pemberian subsidi diesel dan petrol serta memperkenalkan 21 jenis barangan pada harga terkawal.
"Tindakan pembangkang yang menabur janji palsu bahawa mereka akan menurunkan harga minyak sebanyak 30 sen jika diberi peluang memerintah negara ini seolah-olah menggambarkan BN tidak prihatin dengan masalah yang dialami oleh rakyat berikutan kenaikan harga minyak dunia.
"Untuk itu, jentera pilihan raya perlu memberi penjelasan secukupnya kepada rakyat kenapa harga barangan naik, sedangkan kerajaan BN kini sedang berusaha memastikan mereka tidak terbeban dengan kenaikan tersebut," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Peti Undi kawasan Sungai Raya, Bukit Pasir dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan ihsan kepada empat penduduk kurang upaya di kawasan itu termasuk kerusi roda kepada ahli jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO cawangan Kampung Batu 7, Rahmah Kassim, 69, yang lumpuh akibat angin ahmar.
Muhyiddin berkata, jentera BN perlu mahir memberi penjelasan kepada rakyat kenaikan harga barang.
''Sebaliknya, cuba kita lihat dan fikirkan, kenapa peningkatan harga komoditi getah dan kelapa sawit tidak digembar-gemburkan, bukankah ia merupakan hasil kejayaan kerajaan BN memastikan harganya meningkat dan memberi keuntungan kepada para pekebun?''soalnya.
Sementara itu di PETALING JAYA, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, parti-parti pembangkang tidak mempunyai ruang untuk menggunakan isu kenaikan harga barang bagi mempengaruhi pengundi pada pilihan raya umum ke-12.
Katanya, ini kerana pihaknya berjaya memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu tersebut melalu siri jelajah di seluruh negara.
Beliau berkata, penjelasan itu meliputi peranan kerajaan untuk membantu rakyat terutama menerusi pemberian subsidi ke atas beberapa harga barangan terutama melibatkan barang-barang kawalan.
''Pembangkang kini ketandusan idea untuk mencari helah bagi meraih undi rakyat. Kita akui mengenai kenaikan harga barang tetapi ia tidak sebesar isu yang dikeluarkan mereka,'' katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Isu Harga Barang di Auditorium Dewan Sivik di sini hari ini.

1 comment:

Anonymous said...

pembangkang hanya tahu membangkang.Tapi tanpa bukti yang kukuh,ia takkan mempengaruhi orang lain dan hanya mempengaruhi orang yang "jahil".