Friday, January 25, 2008

90% rakyat berebut 10% kekayaan negara

90% rakyat berebut 10% kekayaan negara

Posted on Friday, January 25 @ 08:21:45 MYT by SongkokPutih Oleh yb_pmn

"Baki 90 peratus kekayaan adalah milik golongan tertentu sahaja. Majoriti rakyat negara ini (Malaysia) masih tidak sedar dengan agihan kekayaan yang dikecapi oleh mereka. Malah ada sesetengahnya pula yang beranggapan apa yang diperolehi oleh mereka adalah sudah cukup makan.Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrul Amin Bahron, 90 peratus rakyat negara ini berkongsi hanya 10 peratus sahaja sumber kekayaan yang ada. Manakala selebihnya iaitu sebanyak 90 peratus lagi dimonopoli oleh 10 peratus golongan elit yang kaya dan berpengaruh.
Ini menurutnya disebabkan sistem kapitalis yang diamalkan di sini yang hanya menguntungkan golongan tersebut, lantas memperlihatkan bagaimana sebahagian rakyat yang mendokong sistem itu menerima kesannya tetapi tiada usaha untuk memperbaikinya ke tahap sempurna.“Bagaimana semua ini mampu berubah sekiranya pemimpin yang ada sekarang tidak menerapkan konsep kerohanian dalam jiwa masyarakat. Agihan dalam Islam adalah sepatutnya adil, ihsan, di mana perlu berlaku adil serta tidak zalim,” katanya ketika memberikan kuliah maghrib di Kuala Berang baru-baru ini.
Beliau turut menyindir bagaimana hari ini pemimpin dan orang Islam yang tidak lekang bersolat dan melakukan ibadah haji itulah yang sebenarnya kuat menentang Islam. Mereka dilabel sebagai orang sering mempertikaikan kemampuan orang lain tidak mampu mentadbir negara berlandaskan prinsip-peinsip Islam yang sebenarnya.“Ada yang mempertikaikan, adakah dengan Islam kita boleh merubah segalanya? Meningkatkan ekonomi, dan membenteras jenayah serta masalah sosial?,” katanya lagi.
Badrul Amin menggariskan bagaimana perjuangan Rasulullah suatu ketika dahulu berjaya menerapkan keyakinan tinggi umat kepada Islam dalam merubah kekufuran zaman Jahiliyah kepada ‘suluh’. Justeru itu, beliau menekankan konsep itu perlu ada pada zaman ini bagi mengagihkan kesaksamaan kepada seluruh masyarakat berpandukan keyakinan dan perubahan minda.
Lantas, bagi menegakkan Islam dan mengembalikan maruah kepimpinan untuk mensejahterakan rakyat, Islam itu sendiri memerlukan kuasa politik. Contoh kekuatan politik dalam pentadbiran Islam itu telah diterjemahkan sendiri oleh Rasulullah ketika memerintah bumi Madinah, dan mampu menguasai keseluruhan Semenanjung Arab.
“Oleh itu, saya tidak nampak bagaimana orang mengatakan Islam itu wajar dipisahkan daripada politik dan tidak berupaya mentadbir sesebuah negara. Persepsi Islam tanpa politik adalah salah dan tidak ada makna sama sekali.” ujarnya.
Menurutnya lagi, kekuatan politik berlandaskan Islam mampu menyelesaikan pelbagai masalah. Malah ianya wajib ditegakkan sebagai salah satu sunnah Rasulullah, maka kemudaratan ekonomi yang begitu tragis sebagaimana dialami di negara ini boleh diubah tanpa perlu bersekongkol dengan teori ekonomi ciptaan barat yang didalangi para Yahudi.

No comments: