Tuesday, January 22, 2008

Lingam akui ada kaitan dengan Tengku Adnan dan Vincent Tan

Lingam akui ada kaitan dengan Tengku Adnan dan Vincent Tan
Wan Nordin Wan Yaacob Mon Jan 21, 08 6:56:37 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Hrkh) - Peguam terkenal, Dato' VK Lingam yang dipanggil memberi keterangan mulai jam 12.30 tengahari tadi kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat video tersebut mengakui mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan dan Menteri Pelancongan, Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor.

Saksi ke-13 kepada Suruhanjaya Diraja menyiasat 'Pita Lingam' sebelum ini dikaitkan sebagai orang yang berbual melalui telefon dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mengenai percaturan kedudukan hakim-hakim kanan.
Lingam mengaku menyaksikan rakaman selama 14 minit itu, yang didedahkan September lalu.
Beliau juga mengaku kenal dengan Vincent Tan dan Tengku Adnan meskipun sebelum ini Tengku Adnan menyifatkan lelaki itu mabuk.
Firma guamannya merupakan salah sebuah panel peguam bagi syarikat Kumpulan Berjaya milik Vincent Tan dan pernah mengendalikan urusan guaman untuk ahli perniagaan tersebut sejak 1991, katanya.
Lingam juga berkata, beliau mengenali Tengku Adnan sejak 1990 ketika beliau menjadi Pengarah Eksekutif Kumpulan Berjaya .
Semasa ditanya sama ada beliau yang sedang berbual di dalam video tersebut, Lingam berkata: "Nampak macam saya, bunyi pun macam saya".
Beliau juga menafikan bahawa Ahmad Fairuz adalah orang yang berbual dengannya.
"Saya tidak tahu dengan siapa saya bercakap, tapi pastinya bukan dengan Ahmad Fairuz kerana saya tidak pernah ada nombor telefon beliau dan beliau juga tidak ada nombor telefon saya," katanya.
Sementara itu dalam keterangannya petang tadi, Lingam mahu mengeluarkan semua keterangan yang dikemukakan kepada suruhanjaya siasatan diraja berhubung percutiannya ke New Zealand bersama bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin.
Peguamnya, R Thayalan memberitahu suruhanjaya tersebut hari ini bahawa keterangan berhubung percutian tersebut tidak relevan dalam skop siasatan yang dijalankan terhadap klip video Lingam.
Pengerusi Suruhanjaya tersebut, Tan Sri Haidar Mohamed Noor berkata, pihaknya perlu memikirkan permintaan tersebut sambil mengalu-alukan hujah dari peguam Majlis Peguam dan peguam-peguam pemerhati yang lain.
Berikutan itu, prosiding suruhanjaya itu esok akan hanya bermula jam jam 2.30 petang untuk mendengar hujah-hujah mengapa keterangan mengenai percutian itu perlu dikekalkan.
Ia juga bertujuan untuk memberi masa kepada para peguam menyediakan hujah masing-masing.
Minggu lalu, Eusoff menjadi sasaran pertanyaan para peguam berhubung percutian kontroversi tersebut pada 1995, yang pada mulanya didedahkan melalui Internet.
Eusoff berkata, beliau terserempak dengan Lingam sewaktu bercuti di New Zealand dan peguam itu mahu mengikutnya di sana.
Para peguam, bagaimanapun, mendakwa mereka pergi bercuti bersama mencerminkan hubungan rapat antara mereka.

No comments: