Sunday, January 20, 2008

Isu Pendidikan : Tolak usaha 'membodohkan' rakyat oleh kerajaan Hadhari yang penidur - SAMA

Isu Pendidikan : Tolak usaha 'membodohkan' rakyat oleh kerajaan Hadhari yang penidur - SAMA
Wan Nordin Wan Yaacob Sun Jan 20, 08 11:15:10 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Hrkh) - Sekretariat Bertindak Anak Muda Malaysia (SAMA) melihat keputusan Kementerian Pelajaran untuk tidak menyenaraikan sebarang karya Sasterawan Negara sebagai buku teks sastera bagi sekolah menengah pada tahun 2010 adalah amat mendukacitakan.

Ia tragedi terbaru tanah air setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) menghapuskan pendidikan bahasa ibunda Melayu dalam subjek Sains dan Matematik, kata jurucakap SAMA, Rahmat Haron dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily semalam.
Rahmat berkata, Pusat Perkembangan Kurikulum (PKK) Kementerian Pelajaran membuktikan betapa dungunya pemikiran badan itu apabila memberikan alasan bagi menolak karya Sasterawan Negara untuk dipelajari di sekolah-sekolah.
PKK yang menyelenggara Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas mengatakan karya Sasterawan Negara berat dan sarat dengan pemikiran sehingga sukar difahami pelajar, dakwanya.
Justeru mereka mencari penulis popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar dalam usaha menarik minat para pelajar, ujarnya.
Antara penulis yang karya mereka termasuk dalam senarai baru itu ialah Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad Yazid Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Zaid Akhtar, katanya.
SAMA tidak dapat menerima hakikat novel-novel Ahadiat Akashah seperti Budak Setan, Budak Rap dan Cinta Tiga Hari akan menjadi rujukan para pelajar bagi pembelajaran sastera, katanya.
"Novel dan karya seperti ini tidak mengandung apa-apa nilai kesusasteraan, kemanusian dan pemikiran. Ia tidak lebih daripada sekadar hanya cerita cinta remaja yang cukup ringan dan kosong pemikirannya.
"Seperti langit dengan bumi jika mahu membandingkan karya-karya Saterawan Negara, Usman Awang dengan penulis seperti Ahadiat Akashah ini," ujarnya.
SAMA melihat tindakan tersebut sebagai usaha untuk membudayakan kebodohan dalam masyarakat, katanya.
"Pak Imam Hadhari (Perdana Menteri, Dato' Seri abdullah Ahmad Badawi) yang masih tidur dibuai mimpi kuasa dan harta mahu rakyat Malaysia dungu seperti dirinya.
"Pemerintah mahu rakyat tidak menyoal dan berfikir. Maka dengan itu lebih mudahlah kerja-kerja perasuah-perasuah untuk merompak dan menindas rakyat jelata," tegas Rahmat.
Selain itu SAMA juga melihat unsur rasuah dan penyelewengan kuasa dalam keputusan untuk tidak menyertakan nover Sasterawan Negara sebagai buku bahan teks sekolah.
"Siapakah yang akan mendapat keuntungan bagi mencetak sekitar 200, 000 hingga 300,000 naskhah bagi seorang pengarang yang baru tersenarai itu? Jikalau ada 12 pengarang baru, berapa banyakkah keuntungan yang dikaut hasil kegiatan pembodohan ini?.
"SAMA tidak mahu generasi akan datang miskin ilmu pengetahuan. Justeru SAMA menolak budaya yang memiskinkan ini. Tolak membudayakan kebodohan!," katanya.

No comments: