Friday, January 25, 2008

Elaun RM300 kepada penganggur

Elaun RM300 kepada penganggur - utusan
KOTA BHARU 24 Jan. - Pemberian elaun sebanyak RM300 kepada penganggur dan penjenamaan semula masjid yang terabai di negeri ini, merupakan antara kandungan penting dalam manifesto Barisan Nasional (BN) khusus untuk Kelantan.
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berkata, manifesto tersebut akan memperincikan agenda pembangunan yang dirancang oleh BN sekiranya kembali memerintah di negeri ini.
Beliau berkata, kerajaan Pas Kelantan gagal untuk membangunkan negeri ini dan sudah tiba masanya rakyat membuat pertimbangan bagi memilih kerajaan yang boleh membela nasib mereka.
"Manifesto tersebut akan dilancarkan dalam tempoh terdekat, antaranya kita akan memberi elaun sebanyak RM300 kepada penganggur belia, tetapi ia bukan diberikan begitu sahaja, mereka akan diberikan latihan kemahiran dan pada masa yang sama kita akan mencari pekerjaan tetap untuk golongan ini.
"Sasaran kita, setahun seramai 10,000 orang belia dan jika menang ia akan diadakan pada Jun ini.
"Selain itu, kita juga akan merangka program raksaksa untuk membela kira-kira 17,000 keluarga miskin tegar dan membina sebuah masjid negeri," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program sumbangan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Keterah di sini hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman. Pada majlis itu seramai 788 pelajar dari sekolah berkenaan dan SK Keterah menerima bantuan KWAPM.
Malah katanya, masjid-masjid terabai akan dijenama semula dengan menempatkan hafiz al-Quran.
Terdahulu ketika di temui pada satu majlis berasingan di sebuah hotel di sini, Annuar berkata, manifesto khusus tersebut perlu kerana negeri ini berbeza dengan negeri-negeri lain bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12.
"Kita tidak mahu rakyat pilih BN sebab BN tetapi kita hendak rakyat pilih BN kerana Kelantan, jadi kita mesti kemukakan dengan jelas rancangan untuk negeri ini," katanya.
Katanya, rakyat di negeri sudah matang untuk menghadapi pilihan raya dan memilih parti yang akan memerintah negeri ini.
"Saya rasa gembira sebab suasana di Kelantan tenang, tidak ada perkara kegawatan walaupun ura-ura pilihan raya akan datang pada bila-bila masa, ini bermakna satu isyarat yang baik dan rakyat akan hadapi pilihan raya secara berfikir.
"Ini juga menunjukkan rakyat tidak termakan dengan dakyah yang dibuat oleh pihak tertentu bagi menimbulkan sentimen dan emosi," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Elaun yang tidak adil!!.

Lepasan Ijazah = RM500+
Pelajar lepasan ijazah mempunyai peluang jawatan & gaji yang tinggi. Walaupun mereka tidak mendapat perkerjaan, mereka dan keluarga mereka masih boleh berbangga dengan ijazah yang dimiliki. Boleh berbangga-bangga terhadap rakan dan saudara. Mereka juga boleh membayar hutang pelajaran dengan elaun ini.


Lepasan Diploma = RM300+
Pelajar lepasan diploma mempunyai peluang jawatan & gaji yang sederhana. Walaupun mereka tidak mendapat perkerjaan, mereka dan keluarga mereka masih boleh berbangga dengan diploma yang dimiliki. Boleh berbangga-bangga terhadap rakan dan saudara. Mereka juga boleh membayar hutang pelajaran dengan elaun ini.



Lepasan SKM = RM0
Pelajar lepasan sijil kemahiran atau MLVK tahap 2-3 mempunyai peluang jawatan & gaji yang agak rendah. Walau mereka tidak mendapat perkerjaan, mereka dan keluarga mereka masih TIDAK dapat berbangga dengan sijil yang dimiliki. Mereka TIDAK dapat berbangga-bangga terhadap rakan dan saudara. Yang perit mereka tersepit untuk membayar hutang pelajaran SETIAP bulan.



Diharap pelajar lepasan sijil kemahiran atau MLVK tahap 3 diberi RM100. Kan adil...

Jangan lah yang tinggi dijulang lagi, yang rendah dipijak pula.