Friday, January 25, 2008

Bukti polis buat tak kisah dengan laporan jenayah

Bukti polis buat tak kisah dengan laporan jenayah
Posted on Saturday, November 24 @ 10:39:00 EST by reformis
Oleh TOK DEMANG
Subang Jaya.

PADA kira-kira pukul 11 pagi Isnin lalu, saya terserempak dengan satu kejadian jenayah cubaan memecahkan kenderaan di Subang. Atas rasa tanggungjawab, saya mengarahkan pemandu saya berpatah balik ke tempat kejadian untuk cuba membantu tetapi penjenayah telah melarikan diri.
Bagaimanapun nombor pendaftaran kenderaan penjenayah tersebut dapat kami peroleh. Atas rasa simpati saya telah mencadangkan kepada mangsa segera ke balai polis berhampiran untuk buat laporan polis.
Selepas beberapa minit kami beredar, kami terserempak dengan kenderaan yang dinaiki penjenayah dan saya mengarahkan pemandu saya mengekori kenderaan tersebut.
Balai Polis Subang telah kami hubungi dan pegawai bertugas dan pantas mengambil segala butir maklumat daripada kami dan beliau berjanji akan menyalurkan maklumat kepada kereta peronda. Ketika itu kami masih mengekori kenderaan penjenayah.
Sepanjang perjalanan mengekori kenderaan penjenayah, kami tidak putus-putus dihubungi oleh pihak polis bermula daripada peronda kawasan Subang, kawasan Sungei Way, Bilik Gerakan Petaling Jaya dan seterusnya apabila kami sampai di kawasan Kuala Lumpur pihak polis Kuala Lumpur juga ada menghubungi kami dan kami telah sampaikan segala maklumat dengan tepat dan memberitahu mereka bahawa kami masih mengekori kenderaan penjenayah tersebut dan minta pihak polis bertindak cepat.
Malangnya apabila sampai di lebuh raya berhampiran Pandan Perdana penjenayah tersebut telah mula menyedari mereka telah kami ekori dan dengan pantas mereka memandu dengan laju di celah-celah kesesakan jalan raya.
Ketika itu kami dihubungi oleh polis Cheras dan dengan perasaan hampa kami memaklumkan bahawa kami kehilangan jejak mereka.
Apa yang dikesalkan ialah selama hampir satu jam kami mengekori kenderaan penjenayah tersebut dari Subang ke Pandan Indah, Kuala Lumpur dan menyampaikan maklumat kepada pihak polis, tiada satu pun kelihatan kenderaan peronda polis berada di jalan raya yang kami lalui.
Mungkin kejadian yang kami lalui ini boleh dijadikan panduan oleh pihak polis untuk menambah baik sistem operasi pihak polis yang sedia ada agar apabila kejadian yang serupa berulang lagi di depan mata kami, kami tidak akan teragak-agak lagi untuk membantu polis. - UTUSAN

No comments: