Tuesday, January 22, 2008

Lingam tidak mengaku -- Walaupun klip video ‘kelihatan seperti saya, suara macam saya’

Lingam tidak mengaku -- Walaupun klip video ‘kelihatan seperti saya, suara macam saya’
Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan NOOR AZMAH IBRAHIM

V. K. Lingam di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 21 Jan. – Datuk V. K. Lingam hari ini tidak mengaku imej lelaki yang sedang berbual melalui telefon mengatur pelantikan hakim-hakim adalah dirinya walaupun enam bukti mengenai identiti lelaki itu telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Walaupun diasak berkali-kali dengan soalan daripada pegawai pengendali, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, beliau tetap mengekalkan jawapan: “Kelihatan seperti saya, suara macam saya.’’
Semasa ditanya oleh Nordin dengan siapa beliau bercakap dalam klip video yang dirakam pada bulan Disember 2001, Lingam tidak dapat memberi jawapan.
Namun, beliau dengan tegas menafikan sedang berbual dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
‘‘Saya tidak tahu dengan siapa saya bercakap tapi yang pasti saya tidak bercakap dengan Tun Ahmad Fairuz kerana saya tidak pernah tahu serta tidak memiliki nombor telefon Tun dan Tun juga tidak memiliki nombor telefon saya.
‘‘Sehingga hari ini saya tidak pernah menelefon atau bercakap dengan Tun melalui telefon,’’ tegas beliau pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja di sini.
Cubaan Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan ahli suruhanjaya, Datuk Mahadev Shankar mendapatkan jawapan daripadanya juga tidak berjaya kerana peguam berusia 57 tahun itu tetap berteka-teki apabila enggan mengesah atau menafikannya.
Nordin: ‘‘Adakah awak pernah menonton klip video tersebut sebelum ini?
Lingam: ‘‘Ya, saya telah menontonnya sebelum ini. Ia ditunjukkan oleh BPR (Badan Pencegah Rasuah) dan saya juga menontonnya melalui Internet.’’
Nordin: ‘‘Adakah awak lelaki yang sedang bercakap di dalam klip video itu?’’
Lingam: ‘‘Kelihatan seperti saya, suara macam saya.’’
Nordin: ‘‘Untuk pengetahuan Datuk, kami telah menerima keterangan Loh Mui Fah, Loh Gwo Burne dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengecam imej itu adalah Datuk. Pakar forensik digital, Mohd. Zabri Adil Talib turut sahkan padanan suara Datuk dengan klip video itu.
‘‘Begitu juga foto-foto yang dirakam di rumah Datuk juga disahkan menyerupai latar belakang dalam klip video. Sementara Tun Mohd. Eusoff Chin pula sahkan imej itu kelihatan seperti Datuk dan suara macam Datuk. Jadi saya tanya sekali lagi, adakah Datuk lelaki dalam klip video itu?’’
Lingam: ‘‘Tidak kira apa orang lain kata, ia kelihatan seperti saya, suara macam saya. Tapi cara untuk membuktikan kesahihan klip video itu adalah melalui salinan asalnya serta peralatan yang digunakan untuk membuat rakaman. Sehingga hari ini, saya tidak pernah menerimanya. Kalau ada, saya sendiri akan hantar kepada pakar untuk dibuat analisis.’’
Nordin: ‘‘Kalau begitu, boleh awak kenal pasti siapa lelaki yang duduk di sofa dan bercakap dengan lelaki yang kelihatan macam awak, suara macam awak itu?’’
Pertanyaan yang disambut dengan suara ketawa orang ramai yang berada di mahkamah itu dijawab Lingam dengan berkata: ‘‘Tidak jelas tetapi ia kelihatan seperti Loh Mui Fah.’’
Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Haidar, bekas Hakim Besar Malaya, bersidang di bilik Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada hari keenam bagi menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video perbualan telefon lelaki dipercayai Lingam yang dikatakan sedang mengatur pelantikan hakim-hakim.
Semasa diaju soalan oleh peguam yang mewakili Badan Peguam Malaysia, Robert Lazar sama ada beliau sebenarnya tidak bersedia untuk mengesahkan atau tidak bersedia membuat penafian, Lingam mengakui kedua-duanya.
Apabila ditanya kemungkinan imej itu adalah beliau pula, Lingam masih mengulangi jawapan yang sama.
Selepas kerap menjawab tidak tahu dan meminta agar ia disahkan oleh pakar-pakar berkaitan, Haidar turut bersuara meminta Lingam memberi pandangannya secara berterus terang.
Katanya, selain bukti secara saintifik, Suruhanjaya Siasatan Diraja itu juga memerlukan jawapan dari mulut peguam itu sendiri untuk dipertimbangkan.
Mahadev juga sempat mencelah dan bertanya sama ada Lingam tahu sekiranya ada sesiapa yang mempunyai suara dan perawakan menyerupai beliau sebagaimana lelaki di dalam klip video yang dirakamkan pada 2001 itu.
Bagaimanapun, Lingam tetap mengambil pendirian yang sama dengan enggan mengesahkan atau menafikan imej itu adalah beliau. Ini menyebabkan ramai tertawa serta menggeleng-gelengkan kepala.
Selepas diasak berkali-kali dengan soalan yang berkaitan, Lingam hanya menjawab: ‘‘Kalau awak tanya 100 kali pun, saya akan beri jawapan yang sama.’’
Dalam prosiding hari ini, Lingam turut ditunjuk dan dibacakan 21 bahagian transkrip yang merujuk kepada perbualan beliau berkisar pelantikan hakim-hakim.
Pada mulanya peguam itu mengatakan perbualan yang mengaitkan nama-nama individu termasuk Menteri Pelancongan, Tengku Adnan, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Tun Ahmad Fairuz serta lain-lain adalah tidak benar.
Bagaimanapun, jawapan itu dipersoalkan oleh Mahadev kerana Lingam tidak sepatutnya tahu sama ada ia benar atau sebaliknya kerana peguam itu tidak pernah mengaku berkata demikian.
Berikutan itu, beliau menukar semua jawapannya kepada: ‘‘Saya tidak ingat pernah bercakap tentang perkara itu.’’
Malah, Lingam turut gagal mengingati hari klip video itu dirakam di rumahnya sedangkan ahli perniagaan, Loh Mui Fah dan anaknya, Loh Gwo Burne memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja bahawa mereka berkunjung ke rumah peguam itu di Kelana Jaya pada 20 Disember 2001.
Katanya, kemungkinan ada pesta dan beliau mabuk pada hari tersebut berdasarkan paparan klip video yang jelas menunjukkan botol-botol arak wain, wiski dan brandi di atas meja.
Kata Lingam, beliau hanya minum arak ketika berada di rumah atau majlis tertentu dan akan berasa pening dan mabuk selepas mengambil dua setengah gelas wain.
‘‘Mungkin saya minum (minuman keras) terlalu banyak (pada hari tersebut).
‘‘Kawan-kawan saya kata, saya suka cakap benda-benda mengarut apabila minum wain,’’ katanya.
Menyentuh tentang penolakan pelantikan dua peguam sebagai hakim Mahkamah Tinggi, Dr. Andrew Chew dan Zainuddin Ismail pada tahun 2001 sebagaimana yang disebut di dalam klip video itu, Lingam mengaku dia mengetahui tentang perkara itu.
Katanya, beliau tidak mengetahui mengenai surat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Mohamed Dzaiddin dan memperoleh maklumat itu daripada rakan-rakan peguam semasa berbual di mahkamah.
‘‘Cerita tentang pelantikan, persaraan dan hakim-hakim yang naik pangkat biasa dibincang di kalangan peguam. Ia gosip biasa apabila ada di kalangan kami yang dilantik sebagai hakim,’’ katanya.
Beliau memberikan jawapan yang sama semasa ditanya mengenai sumber maklumat kekosongan enam hakim rayuan serta masalah kesihatan yang dihadapi oleh Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu, Tan Sri Wan Adnan Ismail.
Lingam juga tidak mengaku pernah menghantar apa-apa memo kepada Dr. Mahathir berhubung pelantikan Ahmad Fairuz sebagai Hakim Besar Malaya dan Presiden Mahkamah Rayuan.

No comments: