Friday, January 25, 2008

Lewat kesan Sharlinie - Muslimat PAS persoal kelemahan polis

Lewat kesan Sharlinie - Muslimat PAS persoal kelemahan polis
Saidah Hairan Thu Jan 24, 08 1:39:10 pm MYT

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Hrkh) - Dewan Muslimat PAS Pusat kecewa dan kesal dengan keberkesanan pihak polis menangani kes penculikan kanak-kanak sehingga perbuatan itu seolah-olah menjadi perkara biasa di negara ini.
Walaupun banyak pihak membantu anggota polis menjalankan penyiasatan dan pencarian kehilangan Sharlinie Mohd Nasar,5, namun kanak-kanak comel ini masih belum ditemui.
Sehubungan itu, Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh ditemani Ketua Penerangannya, Salbiah Abd Wahab dan muslimat PAS Wilayah Persekutuan telah menemui keluarga Sharlinie di rumahnnya di Taman Medan, Petaling Jaya, 5 petang semalam.
Dalam pertemuan itu, ibu bapa Sharlinie menghargai bantuan berupa nasihat, solat hajat dan doa yang telah dilakukan oleh ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat.
Nuridah turut memberi doa dan zikir untuk dijadikan amalan kepada bapa Sharlinie, Mohd Nasar dan ibunya, Suraya supaya berada dalam keadaan tenang dengan kehilangan anaknya.
Keadaan rumah Sharlinie sentiasa dikunjungi orang ramai.
Jiran-jiran pula sentiasa berkumpul di halaman rumahnya yang disediakan khemah.
Menurut jiran yang ditemui, solat hajat dan bacaan yasin diadakan setiap malam.
Berhubung kehilangan Sharlinie, Nuridah mempersoalkan mengapa pihak polis terlalu lewat mengesan penjenayah yang menculik kanak-kanak.
"Apakah disebabkan tenaga polis yang digunakan tidak mencukupi disebabkan mereka lebih banyak diagihkan pada kes pengintipan ahli politik, pelajar dan persatuan NGO yang berpihak kepada pembangkang," soalnya.
Beliau berkata, kelewatan itu amat mengecewakan kerana kes penculikan kanak-kanak bukan kali pertama tetapi sudah acap kali.
Seringkali penjenayah yang terlibat dengan penculikan mempunyai rekod jenayah atau sakit mental, tegasnya.
Kata beliau, bagaimana kerajaan melaksanakan sistem pendidikan di penjara sehingga bekas banduan boleh mengulangi kes jenayah yang sama.
Mungkin ini akibat kerajaan melaksanakan undang-undang secara `diskriminasi' contoh dalam kes rasuah jika pembangkang atau rakyat biasa melakukannya mereka cepat dikenakan tindakan, katanya.
Bagaimanapun, tambah beliau jika `jerung' yang terlibat dengan rasuah mereka akan terlepas.
"Cara diskriminasi yang dilaksanakan kerajaan ini sebenarnya mengajar rakyat cenderung melakukan kejahatan," tegasnya.
Beliau berkata, PAS sudah banyak kali mendesak kerajaan supaya kembali pada undang-undang Islam kerana hanya dengan cara itu segala masalah negara dapat diselesaikan.

No comments: