Monday, January 28, 2008

Air paip percuma jika keADILan menang - Khalid Ibrahim

Air paip percuma jika keADILan menang - Khalid Ibrahim
Azamin Amin Sun Jan 27, 08 12:24:52 pm MYT

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Hrkh) -Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim memberi jaminan bahawa rakyat seluruh negara akan menikmati bekalan air paip percuma sekiranya KeADILan diberi mandat memerintah negara ini. -->
"Kalau kita menang, setiap isi rumah kediaman akan memperolehi air paip bersih percuma. Rakyat berhak mendapat bekalan air bersih percuma," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu forum 'Tawaran Keadilan Untuk Rakyat', di padang awam Sungai Lallang, Kedah baru-baru ini.
Ini menurut Khalid merupakan sebahagian daripada konsep merakyatkan ekonomi Malaysia termasuk akan menurunkan harga minyak sekiranya rakyat memberi mandat kepada Barisan Alternatif (BA) memerintah negara selepas pilihan raya umum ke-12.
"Saudara Anwar akan mengumumkan RM10 bilion akan digunakan untuk menurunkan kos minyak," katanya yang ditulis oleh Zulkifli Mohamed di laman web Malaysia Today.
Selain itu, tambah Khalid KeADILan juga akan memperkenalkan sistem pendidikan percuma untuk rakyat Malaysia.
"Sekolah percuma, peningkatan kemahiran percuma dan sebagainya, sebab kita perlu tingkatkan pendapatan rakyat kita supaya dia dapat bersaing," kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Berhad (1979-1994 )yang juga mengumumkan sedang mengkaji dan akan melaksanakan skim bantuan kesihatan untuk semua.
Berhubung konsep 'merakyatkan ekonomi' Malaysia, ianya menjurus kepada agihan dan perkongsian kekayaan negara secara sama rata kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum, kata Khalid.
Katanya lagi konsep ini mampu dilaksanakan kerana hasil kekayaan negara sekarang sudah lebih daripada mencukupi bagi menampung keperluan 26 juta rakyat Malaysia.
Bahkan katanya, mengikut ukuran untuk menjadi sebuah negara maju, pendapatan perkapita rakyat mestilah berjumlah USD10 ribu atau kira-kira RM35 ribu setahun, Malaysia telahpun mencapainya.
"Malaysia bukan sebuah negara miskin,sebab negara telah sampai taraf (negara maju). Kalau dikira purata, semua orang boleh mendapat pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan sebuah keluarga," katanyanya.
Bagaimanapun menurut Khalid, oleh kerana kerajaan tidak melaksanakan dasar merakyatkan ekonomi, kek kekayaan negara hanya diagih dan berlegar di kalangan segelintir golongan tertentu menjadikan majoriti rakyat terus dibelenggu kemiskinan.
Beliau memberikan contoh, bagaimana cara pengagihan pendapatan negara berjumlah RM1 bilion berdasarkan konsep merakyatkan ekonomi negara.
"Mahu beli kapal terbang untuk Abdullah Badawi ke luar negara? Mahu beli kapal selam? Mahu naikkan gaji menteri-menteri? Mahu buat hospital? Atau mahu buat sekolah untuk rakyat, mana yang saudara akan pilih?" soalnya.
Jelasnya, sekiranya diberi keutamaan membina hospital dan sekolah, itulah antara yang dimaksudkan dengan konsep merakyatkan ekonomi negara.
Sebaliknya, kata Khalid kerajaan pimpinan Abdullah Badawi lebih mengutamakan pembelian kapalterbang untuk Perdana Menteri dan pembelian kapal selam.
"Selepas itu, apabila rakyat minta turunkan harga minyak, dia kata duit tidak cukup, negara boleh bangkrap," katanya.
Forum yaang dipengerusikan oleh Pengerusi keADILan Kedah Ir Zamri Yusof turut menampilkan penceramah terdiri daripada Bendahari keADILan William Wong, Ahli MPT Johari Abdul, Timbalan Pengarah Pilihan raya Fuziah Saleh dan Ketua Operasi KeADILan Din Merican.

No comments: