Friday, January 25, 2008

Tekanan, kuasa rakyat mampu atasi gejala rasuah

Tekanan, kuasa rakyat mampu atasi gejala rasuah
Salmiyah Harun & Azamin Amin Fri Jan 25, 08 6:42:15 am MYT

Perang rasuah begitu sinonim dengan Gerak Rakyat Anti Korupsi (Gerak) sebuah pertubuhan yang dilihat semakin menyerlah dan mendapat perhatian rakyat. -->
Gerak membawa agenda reformasi utamanya untuk menghapuskan budaya rasuah di kalangan pemimpin kerajaan atas tiket badan 'non political'.
Wartawan Harakah Salmiyah Harun dan Azamin Amin beserta jurugambar Wan Zahari Salleh cuba mencungkil dan sesekali mencuit 'grand design' di sebalik perjuangan Ezam Mohd Noor.
Di samping lamaran daripada parti politik yang berhajat menyunting beliau untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 nanti.
H: Boleh ceritakan serba sedikit tentang latar belakang Gerak, bilakah ia ditubuhkan dan tujuannya?
Ezam: Gerak didaftarkan sebagai syarikat pada November 2005 tetapi kita mulakan operasinya Januari 2006 dan memang cita-cita saya untuk menubuhkan Gerak hendak fokus kepada isu rasuah.
Di samping untuk memperkukuhkan perjuangan reformasi melalui 'non political' entiti kerana saya percaya mana-mana proses reformasi prasyaratnya adalah 'sivil society' yang kuat.
Serta merangkumi parti politik yang progresif dalam kes Malaysia sudah tentu parti pembangkang dan yang paling penting adalah NGO yang progresif yang membentuk 'sivil society' bagi sesebuah negara.
Begitu juga mahasiswa termasuk dalam kelompok NGO tetapi progresif. Tetapi pengalaman saya tujuh tahun dalam pembangkang terlibat dalam elemen 'sivil society' yang political saya dapati bahawa elemen ini dalam NGO lemah di Malaysia.
Dan bagi saya antara sebabnya proses perjuangan reformasi kita ini tidak sampai ke hujung seperti di Indonesia, Thailand dan sebagainya. Kerana elemen itu tertumpu kepada parti politik sahaja.
NGO dan mahasiswa tidak memainkan peranan. Saya tubuhkan Gerak kerana fokus kepada isu-isu rasuah, juga menyuburkan budaya progresif dalam 'sivil society' yang bukan politik.
Saya harap Gerak ini menjadi pencetus kepada gerakan-gerakan bukan politik yang progresif bergerak ke arah matlamatnya.
Gerak bekerjasama dengan semua untuk tentang rasuah
Adakah Gerak menjalinkan hubungan dengan mana-mana NGO di luar negara?
Kita menjalinkan hubungan akrab dengan Indonesia. Sekarang ini kita sedang menjalinkan kerjasama dengan Gerak Indonesia.
Cuma Gerak di Indonesia ini bukan satu entiti tetapi ia merupakan satu gabungan hampir 30 NGO anti korupsi di 26 daerah Indonesia. Kita sekarang menjalinkan kerjasama.
Mac ini kita akan laksanakan satu pertemuan Generasi Muda Serantau anjuran Gerak Malaysia dengan Gerak Indonesia di Kuala Lumpur. Dengan cita-cita dan harapan menggabungkan anak-anak muda dan mahasiswa untuk sama-sama fokus satu isu iaitu isu korupsi.
Kita mengharapkan pertemuan ini menjadi satu titik permulaan supaya tertubuhnya Gerak Serantau.
Dan kita jangkakan tahun ini juga akan tertubuhnya Gerak Serantau yang beribu pejabat di Jakarta. Kertas cadangan juga kita sudah lakukan.
Dasar Gerak adalah bersifat terbuka, kita boleh bekerjasama dengan mana-mana kelompok atau institusi baik kerajaan atau bukan kerajaan asalkan mereka bersama-sama melawan rasuah dan mempercayai rasuah adalah musuh negara dan harus dibanteras.
Dalam konteks negeri kita PAS salah satu parti yang paling jelas memberi dokongan dan aspirasi Gerak melawan rasuah. Begitu juga NGO lain seperti Teras, ABIM, JIM, serta CAP.
Apakah perancangan Gerak dalam memantapkan sebuah organisasi yang menekankan rasuah sebagai musuh nombor satu negara?
Dengan menjalinkan hubungan dengan Indonesia kita dapat manfaat kerana pergerakan reformasi khususnya dalam korupsi di Indonesia lebih ke depan daripada kita.
Saya cukup kagum dengan mahasiswa dalam konteks melawan rasuah ini, daripada 30 gabungan Gerak di Indonesia itu hampir kesemuanya tunjang pergerakan itu adalah di universiti. Maknanya pelajar-pelajar universiti ke depan.
Saya juga tertarik dengan peranan Ulama Indonsia dalam memerangi rasuah seperti Nusa Tenggara Barat di Pulau Lombok. Menariknya sudah ada beberapa pendekatan yang di lakukan oleh pondok-pondok di situ khususnya dalam melawan rasuah.
Mereka ada 'task force' untuk melawan rasuah di daerah mereka. Jadi mereka memainkan peranan yang aktif dengan gabungan Gerak sekarang ini. Yang ini kita harus banyak berlajar, di mana peranan institusi keagamaan dalam melawan rasuah ke depan dan aktif.
Dalam masa yang sama kita sedang merangka modul latihan untuk mahasiswa yang baru disiapkan. Kita target untuk melatih 200 mahasiswa untuk tahun ini.
Kita rasakan kita kena mula daripada awal memerlukan proses yang panjang dan ia mesti bermula di peringkat mahasiswa. Sebagaimana pengalaman di Indonesia.
Abdullah tidak respons terhadap rasuah
Apakah saudara berpuas hati dengan pencapaian Gerak sehingga kini?
Alhamdulillah...walaupun usia Gerak baru dua tahun tetapi kita berjaya menarik perhatian masyarakat tentang keperluan untuk memfokuskan usaha melawan rasuah.
Kita berjaya menampilkan beberapa pendedahan penting khusunya dalam kes Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) dulu dan juga beberapa pimpinan dalam negara tidak termasuk dokumen yang kita hantar kepada Perdana Menteri yang membabitkan menteri.
Dan bagi kita ini merupakan satu kejayaan dan yang lebih mengembirakan ialah respons masyarakat, semakin lama semakin banyak kita dapat sokongan dan penglibatan sukarelawan, mahasiswa.
Antara isu-isu rasuah besar yang pernah dibangkitkan dan dilaporkan oleh Gerak?
Antara Isu yang paling besar ialah melibatkan Ketua Pengarah BPR Dato' Zulkifli Mohd Nor yang mana pendedahan dibuat oleh Ramli Manan. 600 helai dokumen yang membabitkan seorang menteri yang dihantar kepada PM. Dua kes ini yang dimulakan oleh Gerak.
Kita juga membuat tindakan susulan berhubung kes-kes profail tinggi seperti kes Osu Sukam yang membabitkan duit RM35 juta. Dan Tan Sri Khalil Yaacob yang terbabit dengan kes rasuah balak yang mana dilaporkan oleh BPR kes itu telah ditutup. Kita masih tidak berpuas hati kerana kerajaan tidak mendakwa beliau.
Ini antara kes-kes utama yang menjadi tumpuan kita. Kita juga lakukan inisiatif terhadap kes-kes yang tidak membabitkan pemimpin politik seperti kes Majlis Sukan Negara, FAMA dan beberapa kes lain.
Bagaimana pandangan Gerak terhadap BPR?
BPR adalah satu institusi yang mana kita boleh lakukan kerjasama sebab itu kita sendiri pernah memberi satu surat kepada ketua BPR untuk berjumpa tetapi beliau sibuk dan mengarahkan pengarah siasatan BPR berjumpa.
Kita berbual panjang dan saya agak gembira melihat respons daripada pegawai tinggi BPR yang sudi berkongsi banyak perkara dengan kita. Tetapi akhirnya saya percaya keputusannya bukan di tangan BPR, tetapi diparlimen.
BPR cukup terbatas kuasa mereka ada kemahuan tetapi tidak ada fokus. Begitu juga dengan Institut Integriti yang mana kita juga menjalinkan kerjasama.
Bagaimana dengan maklum balas Abdullah Badawi terhadap laporan rasuah 600 helai itu? Apakah Gerak memberi tempoh masa kepada beliau?
(Tersenyum) Tak ada, kita tidak dapat apa-apa respons daripada PM sama ada bertulis ataupun berjumpa.
Saya tak bagi tempoh...kita ada tempoh sendiri untuk dia. Saya merasakan keperluan BPR itu bersikap proaktif kerana saya memberi maklumat itu secara terbuka kepada PM. Bahkan BPR tahu dokumen itu ada pada PM. Dan seharusnya BPR jumpa PM dan dapatkan dokumen tersebut.
Kalau BPR boleh cari dan jumpa Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan soal siasat beliau dalam kes kononnya beliau ada menyimpan maklumat rasuah tidak lama dulu.
Jadi apa bezanya beliau dengan PM sedangkan PM menyimpan dokumen rasuah. Ini saya nyatakan secara terbuka, sepatutnya BPR pergi dan ambil dokumen tersebut daripada PM.
Dengan sikap berdiam diri Abdullah Badawi itu berjayakah beliau membendung gejala rasuah di dalam negara?
Kalau tanya Gerak kita masih belum yakin. Dari segi penggubalan undang-undang di parlimen tidak berlaku sepanjang tempoh empat tahun...dah nak habis pun.
Sehingga kini tidak ada satu pun penggubalan undang-undang di parlimen yang membabitkan rasuah berlaku. Kalau betul hendak melakukan perubahan ianya harus bermula dengan penggubalan undang-undang dalam parlimen.
Tanpa penggubalan undang-undang di parlimen laungan reform tidak akan berkesan.
Kita lihat di Indonesia bagaimana reform berlaku yang mana ia bermula dengan Habibi apabila menjadi presiden terus menggubal berpuluh-puluh undang-undang membabitkan media, korupsi, pendaftaran parti-parti politik dan sebagainya. Barulah berlaku reform.
Beberapa opsyen dalam menghadapi pilihan raya
Dalam hendak menghadapi pilihan raya umum ke-12 nanti, apakah Gerak juga memainkan peranan sebagaimana Suqiu membuat beberapa tuntutan dalam pilihan raya umum di negaranya.
Kita ada beberapa opsyen sekarang ini dalam Gerak menghadapi pilihan raya. Saya sendiri didatangi sahabat-sahabat parti politik yang Umno dan bukan Umno meminta saya pertimbangkan untuk bertanding menerusi parti-parti mereka.
Ada tiga parti semuanya yang menawarkan kerusi, tetapi bukan parti KeADILan. Tiga parti yang menawarkan saya untuk bertanding.
Ketawa... kita tidak 'sign' lagi bermakna kita tidak bersetuju lagi la..sekarang kita sedang berunding dan bagi saya niat mereka semuanya baik untuk saya membawa agenda ini dalam parlimen di bawah parti mereka. Malah mereka sedia memberi tempat untuk saya bertanding. Ini satu opsyen.
Sedang mempertimbangkan tawaran itu?
Ya..sedang mempertimbangkan untuk bertanding (Ketawa). Opsyen kedua, untuk Gerak tidak terlibat sama sekali dalam pilihan raya tetapi kita terlibat aktif dalam mendidik masyarakat tentang rasuah dalam pilihan raya, rasuah politik dan bukan politik.
Sepanjang kempen pilihan raya tersebut tanpa melibatkan parti-parti politik. Opsyen ketiga, yang saya terima juga untuk Gerak bertanding sebagai Gerak atas tiket independent atau calon bebas tetapi membawa agenda rasuah.
Ini saya rasa satu opsyen kalau Gerak tidak terlibat sama sekali tetapi kita pergi kempen rasuah tanpa terlibat dalam pilihan raya, jadi tumpuan itu kurang.
Tetapi kalau saya bertanding sebagai calon bebas di sesuatu kawasan ia jadi akan jadi tumpuan. Yang penting mesej kita sampai kepada masyarakat. Jadi ini tiga opsyen yang ada pada Gerak semuanya menarik.
Seandainya saudara menerima salah satu opsyen dan bertanding, bagaimana saudara hendak mengikis pandangan ramai bahawa saudara pernah berjuang dalam KeADILan kemudian keluar menubuhkan Gerak?
Kalau saya nak bertanding saya melihat opsyen yang terbaik... kalau saya bertandinglah... sebagai independent kerana saya telah nyatakan apabila saya keluar parti KeADILan tumpuan saya adalah untuk agenda Gerak.
Apabila saya bertanding di bawah parti-parti lain ianya sudah lari dari tujuan itu. Kalau saya bertanding atas independent tetapi saya membawa agenda Gerak ke parlimen, saya bertanding bukan untuk melawan mana-mana parti tetapi fokus tentang rasuah dalam parlimen.
Fokus satu isu sahaja, kalaulah saya bertanding.
PAS dan KeADILan juga membawa isu rasuah, bagaimana Gerak boleh memberi kerjasama kepada mereka?
Kita jelas, malah nama Gerak pun sudah berubah kalau dulu Gerak Demokrasi Anti Korupsi sekarang Gerak Rakyat Anti Korupsi. Yang utama kita nak sejajarkan dengan Indonesia yang mana nama pertubuhan yang sama.
Kedua, yang kita tekankan ialah agenda menghapuskan rasuah, misalnya Bersih memainkan peranan yang cukup baik dalam isu demokrasi jadi Gerak menjadi salah satu ahli dalam gabungan Bersih.
Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang hendak melawan rasuah. Setakat ini saya katakan parti politik ini adalah PAS dan DAP yang memberi ruang kepada Gerak untuk menyampaikan mesejnya dengan kerjasama mereka.
Saya tidak dapat kerjasama dengan Parti KeADILan, saya tidak tahu kenapa mereka tidak mahu berkerjasama. Tetapi bagi kita 'simple' dan terbuka, misalnya esok dia panggil kita dan saya akan hadir sebagai suara Gerak bukan sebagai parti untuk saya balik ke sana.
Dia tak panggil dan saya dengar ada halangan-halangan untuk saya. Saya kira tak apalah, kita bukannya nak gaduh kita bukan parti politik. Jadi fokus kita mana yang nak bekerjasama dengan kita alu-alukan.
Maklumat babitkan bank terbesar bakal didedahkan
Apa isu rasuah yang akan didedahkan selepas ini?
Sekarang ini kita masih dalam mengumpul maklumat mengenai penyelewengan yang membabitkan sebuah bank perdagangan terbesar dalam negara. Isu ini agak susah sedikit.
Untuk kes rasuah politik masih ada satu dan dua kes yang belum selesai, dijangkakan menjelang pilihan raya nanti masih banyak yang perlu diketengahkan.
Gerak kena mengumpul bahan maklumat dan bila betul-betul lengkap dengan bukti barulah kita buat dedahan dan buat laporan pada tahun ini.
Momentum dalam memerangi rasuah di Malaysia dengan Indonesia jauh berbeza, kenapa Malaysia berlaku dalam suasana yang agak lesu seolah-olah rakyat Malaysia berhadapan dengan budaya 'mangli'. Apa pandangan saudara?
Banyak faktor, satunya kita kena faham rasuah ini umpama batu karang dalam laut orang tak akan nampak kiranya air pasang, bila ekonomi bagus umpamanya air pasang, walaupun benda itu ada orang tak nampak sebab air pasang.
Mereka hanya akan nampak bila air surut yang mana bila ekonomi negara jatuh jadi rasuah ini akan nampak. Isu rasuah ini apabila kita ceritakan kepada mereka yang dapat makan, sekejap sahaja masuk kepala dia, tetapi kalau dia tak dapat makan kita ceritakan pasal rasuah, kita suruh dia bunuh orang pun dia bunuh orang.
Ini adalah teori rasuah, ia bergantung kepada suasana ekonomi. Jadi dalam konteks Malaysia dengan Indonesia memang Malaysia ini mereka boleh tampung lagi dengan ekonomi negara yang masih boleh membuatkan rakyat negara ini masih leka.
Faktor kedua, ialah peranan 'sivil society' isu rasuh hanya dilihat sebagai isu 'political' kerana yang membawa isu ini hanya parti politik.
Jadi kita sudah mangli dengan isu politik, orang yang atas pagar ini tidak melihat perkara ini serius dan melihat perkara ini sebagai isu politik. Tetapi di Indonesia yang membawa isu rasuah bukan parti politik tetapi mahasiswa dan ulama.
Kenapa masyarakat memilih Gerak berbanding BPR?
Pengalaman kita selama dua tahun selalunya orang datang terus kepada kita, ada juga yang pergi kepada kita selepas mereka pergi kepada polis dan BPR tetapi tidak ada tindakan.
Contohnya dalam kes Ramli Manan, mereka pergi kepada pejabat perdana Menteri, BPR, Ketua Audit Negara dan beberapa tokoh ahli parlimen tetapi tidak ada orang yang 'pick up' barulah mereka datang kepada kita.
Jadi memang nampak sistem yang ada itu tidak benar-benar memberi ruang kepada rakyat untuk membanteras rasuah. Saya rasa mereka tidak ada alternatif sebab itu datang kepada kita.
Tiada tekanan daripada rakyat
Pandangan Gerak terhadap Abdullah Badawi dalam menangani isu rasuah, memandangkan indeks rasuah semakin merosot? Adakah Gerak mempunyai keyakinan terhadap PM dalam menangani masalah ini? Cadangan Gerak kepada rakyat untuk menyedarkan PM dalam menangani rasuah?
Tidak yakin. Tidak ada yang menyakinkan kita bahawa perjuangan beliau dalam menangani rasuah tidak berkesan.
Saya lihat isu melawan rasuah ini membabitkan kepentingan pemerintah dan orang-orang yang berkuasa. Kita mengharapkan perubahan yang berlaku daripada mereka.
Malangnya ia tidak akan berlaku tanpa tekanan dan hak daripada kelompok rakyat. Perubahan harus bermula di bawah dengan pemahaman rakyat tentang rasuah musuh utama.
Khususnya mahasiswa. Mahasiswa adalah tunjangnya kalau mahasiswa tidak faham tentang rasuah macam mana kita nak harapkan orang biasa.
Kalau rakyat pun tidak bersungguh-sungguh macam mana kita nak memberi tekanan kepada PM untuk memerangi rasuah.
Ini memerlukan proses yang panjang kita kena persiapkan masyarakat betul-betul anti rasuah. Kalau kita bandingkan di Indonesia pemimpin mereka jauh lebih serius untuk memerangi rasuah, kerana kelompok NGOnya semuanya fokus. Ini yang tidak ada dalam rakyat kita pada hari ini.
Isu bertanding pilihan raya. Saudara rasa masyarakat lebih selesa bertemu saudara sebagai independent namun jika saudara menang dalam pilihan raya dan menjadi ahli politik. Apakah masyarakat mempunyai persepsi yang sama seperti sebelumnya?
Itulah kita memang tidak boleh lari daripada pentafsiran masyarakat ada positif dan ada negatif. Tetapi bagi saya yang penting usaha saya.
Saya percaya masyarakat akan membuat penilaian atas apa yang akan saya lakukan. Sekarang ini orang kata macam-macam ada kata saya masuk Umno. Tunggulah nanti saya buat keputusan, mereka akan tahulah.
Kalau diberi peluang bertanding, kerusi mana yang dipilih?
(Ketawa). Adalah dua tiga tempat yang ditawarkan dan kita sedang kaji.
Apakah kriteria menarik yang ditawarkan oleh tiga parti itu membuatkan saudara jatuh hati dan ingin mempertimbangkan?
(Terdiam seketika). Asasnya mereka akan memberi kawasan yang agak selamat kepada saya supaya saya bertanding dan menang. Niat mereka adalah untuk lihat saya dalam parlimen, dan membawa agenda rasuah. PAS memang jelas, ia sebuah parti yang memang mengalu-alukan.
Daripada pertimbangan saudara sendiri, atas tiket mana paling menarik minat saudara?
Pertama saya nyatakan, ramai yang harapkan saya kembali ke politik. Semua yang nyatakan "baliklah kepada politik". Tak payahlah bawah NGO, bagilah orang lain buat NGO, baliklah ke politik. Kita perlukan orang macam saya dalam politik.
Ramai yang berharap dan cenderung untuk saya bersama dengan PAS sebab saya dilihat lebih dekat dengan PAS. Ada juga yang melihat saya akan masuk Umno. Ini tiga persepsi yang saya dapat.
Saya kena tampilkan dahulu imej berjuang tanpa partisan. Saya nak isu rasuah betul-betul menjadi titik tengah.
Kalau saya dengan parti ia akan mendominankan parti terlebih dahulu barulah isu. Sekarang saya nak isu dahulu ditonjolkan untuk beberapa tahun akan datang, biarpun susah sedikit.
Kalau saya nak mudah saya masuk partilah...Tak payah saya carikan duit sendiri, boleh tubuhkan organisasi besar dan saya tak perlu peningkan kepala ini.

No comments: