Posted on Thursday, January 24 @ 12:31:22 EST by reformis
Jikalau Mahathir mampu melihat dasar ini (pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris - PPSMBI) sebagai satu cara menjatuhkan maruah dan harga diri bangsa Melayu, nescaya beliau tiadalah berbuat sedemikian. Ini kerana, Tun Dr Mahathir orang yang punya maruah diri dan jika beliau tersilap, beliau tidak sedar beliau telah menjatuhkan maruah dirinya sendiri. Oleh Ali Bukhari AmirBAHASA berkembang dalam sesebuah bangsa. Bahasa boleh menentukan darjat serta mutu pemikiran sesuatu bangsa. Ertinya penggunaan bahasa yang indah dan cantik menentukan kemajuan daya berfikir sesebuah bangsa itu.
Ini kerana, bahasa adalah alat pemikiran atau ia adalah alat untuk berfikir. Tetapi kekeliruan yang kerap timbul di sini ialah bagaimana mahu menafsirkan kemajuan dan pembangunan? Sesetengah pihak menafsirkan kemajuan dan pembangunan daripada segi taraf ekonomi, kekayaan dan kebendaan. Ini nilai yang boleh nampak dan dihitung. Adapun jenis kemajuan dan pembangunan yang satu lagi dihitung bukannya dengan taraf ekonomi tetapi kemerdekaan fikiran dan kebebasan melontarkan pandangan sehinggakan dengan itu wujudnya budaya saling tegur-menegur secara sihat dan ia mengikis ketakutan kepada penguasa. Pada tahap inilah sepatutnya kemajuan jenis ini dicapai dalam negara. Semua teguran ini memerlukan bahasa sebagai alat untuk berfikir. Dan, hal ini yang tiada pada haiwan. Mereka tidak perlukan bahasa bagi menegur kesilapan kerana konsep dosa, pahala, benar, salah, kebenaran, keadilan, kezaliman, kebatilan tiada dalam dunia mereka. Semua konsep di atas wujud dalam dunia manusia kerana kemanusiaan itu ada hubungan rapat dengan kekuasaan. Kepemimpinan, khilafah atau khalifah itulah yang menyebabkan konsep-konsep di atas mula dibincangkan sepanjang kewujudan tamadun manusia. Kesan dan hubungan 'Teori M' dan 'Teori maju bahasa' dari segi kebendaan Dari sudut lain tidaklah salah untuk kita kembangkan perbahasan mengenai hal kemajuan dan pembangunan bahasa itu dengan ekonomi, kebendaan dan material sesebuah bangsa. Dalam rupa wajah Malaysia hari ini, telah terbina seolah-olah dua 'teori' mengenai perihal kemajuan bangsa dan hubungannya dengan bahasa. Kedua-dua teori tersebut secara tidak sengaja telah 'dibangunkan' dalam ucapan pejuang, tokoh bahasa dan pemerintah. Teori pertama dinamakan 'Teori M' ini bermuara daripada kesan dan pengaruh pemikiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed. Dalam beberapa siri ucapan, Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa 'bahasa sesebuah bangsa menjadi maju jika bangsa itu maju'. Teori kedua yang kita namakan 'maju bahasa' diasaskan dan dikembangkan oleh pejuang dan tokoh bahasa ini menyatakan bahawa bahasa perlu dimajukan dan diperkembangkan dan melalui cara inilah sesebuah bangsa itu dapat dimajukan dari sudut kebendaannya. Ringkasnya, Teori M (Teori Mahathir) ini memusatkan perhatiannya kepada usaha untuk memajukan bangsa dari sudut kebendaan melalui perkembangan sains dan teknologi. Dan setelah maju bangsa sekali gus dan secara tidak langsung terjulanglah 'bahasa bangsa' itu. Hujah Tun Dr Mahathir ini berdasarkan kepada realiti dunia pada hari ini yang melihat kebanyakan ilmu dicatatkan dalam bahasa Inggeris dan perkara ini, menurut hematnya, bermuara daripada kemajuan bangsa yang telah maju keilmuannya di negara maju itu. Ertinya, 'Teori M' kelihatan benar dari suatu segi. Iaitu, sememangnya bangsa yang maju itu akan sering dijadikan rujukan dan bahasa merekalah yang akan dipelajari secara tidak langsung. Maka, kebenaran hujah ini ada benarnya dari suatu segi. Bahasa Inggeris, menurut Mahathir, telah mencapai kemajuan setelah bangsa Barat maju dalam sains dan teknologi. Tapi, beliau mungkin lupa bahawa bangsa Barat maju melalui pembelajaran dan pengajaran ilmu dalam 'bahasa ibunda' mereka sendiri, iaitu Inggeris. 'Teori maju bahasa' dipelopori pejuang bahasa Manakala tokoh pejuang bahasa menyatakan sebaliknya. Aliran ini menyatakan bahawa usaha memajukan bangsa itu berawal daripada kesedaran menguatkan dan meneguhkan bahasa. Dalam hal memajukan orang Melayu, maka bahasa Melayu itu perlu dimajukan. Untuk hal inilah maka sebuah universiti telah dibangunkan, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan bertujuan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan pembelajaran ilmu-ilmu sains kepada para mahasiswanya. Idea ini awalnya dikembangkan oleh mahasiswa sekitar 70-an bersama pensyarah ketika itu antaranya, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas. Idea-idea mereka menubuhkan universiti ini ditentang keras oleh sesetengah pihak yang amat tebal dan setia dengan cara berfikir ala penjajahnya.
Bagaimanapun, pada akhirnya UKM telah tegak berdiri sebagai sebuah universiti ulung. Pengerusi Yayasan Karyawan, Dato' Dr Hassan Ahmad di dalam sebuah ucapannya telah menjelaskan bahawa teori maju bahasa, maju bangsa ini akhirnya membuahkan hasilnya. ''Akhirnya, UKM telah melahirkan puluhan ribu graduan. Antara mereka, ada yang telah pun menjadi pakar perubatan dan doktor tanpa ada masalah pun dengan bahasa Melayu. ''Selain usaha meneguhkan bahasa melalui penubuhan universiti, agensi kerajaan seperti DBP mengambil langkah mengembangkan istilah sains dalam Inggeris ke Melayu, serta membuat usaha penterjemahan,'' kata beliau ketika mengulas kedudukan 'Teori M' serta asal-usul kelahiran teori yang dibangunkan oleh para pejuang bahasa itu. Semua ini, tambah beliau, telah berjalan dengan licin dan lancar tanpa sebarang gangguan sedikit pun. Dengan jiwa besar, kedua-dua aliran ini (penguasa dan pejuang bahasa) telah bergabung tenaga dan tiada masalahnya sehinggalah wujudnya keputusan mengejut ini. Keputusan Tun Dr Mahathir mewujudkan dasar pengajaran dalam bahasa Inggeris telah membatalkan 'Teori M' yang tiada jurang perbezaan ketara dengan aliran pejuang bahasa itu pada awalnya. Dasar ini menunjukkan beliau tidak konsisten dengan teorinya sendiri. (Ketika itu, belum termasyhur lagi kisah Dr Syeikh Muzaffar dan adik Adi Putra yang maju dalam Sains dan Matematik di mana pembelajarannya dibuat dalam bahasa Melayu, sama ada di rumah atau pun di kuliah.) Kata Dr Hassan Ahmad, samada teori yang dikembangkan oleh pejuang bahasa dan Teori M, kedua-dua mempunyai bukti yang jelas. Dengan wujudnya UKM, maka graduan telah pun memasuki pasaran kerja tanpa masalah. Dan, berdasarkan Teori M, bahasa Melayu hampir sedikit lagi mencapai tahap kemajuan di dunia kerana Melayu (Malaysia) dilihat sebagai suatu negara bangsa yang maju, sekali gus mampu melambakkan pengetahuan sains dan teknologi dalam bahasa Melayu. Demikian, hal ini diucapkan oleh Prof Dr Shaharir Md Zain dalam Kongres Kepentingan Bangsa pada Disember 2005 yang lalu. ''Saya ada bukti dan boleh tunjukkan tesis disertasi yang ditulis pelajar kita dalam bahasa Melayu dan yang tesis tersebut telah dijadikan rujukan para pelajar antarabangsa,'' kata beliau dalam suatu temu bual eksklusif mengenai bahasa di Siasah. Bahasa Arab al-Qur' an memajukan umat Islam Menurut Fansuri, antara hujah lain bahawa bahasa boleh memajukan bangsa ialah bahasa Arab al-Qur'an telah memerdekakan pemikiran bangsa Arab sejak awal-awal kemunculan bahasa Arab dalam bentuk gaya bahasa al-Qur'an. Tradisi ini berlanjutan sehinggalah ke era yang dinamakan Zaman Keemasan Islam yang mana hampir keseluruhan kitab yang memuatkan pengetahuan sains dan teknologi dicatat dalam bahasa Arab. Ini menyebabkan kebanyakan sarjana Barat mula mempelajari bahasa Arab untuk mahir dalam ilmu tersebut dan sebahagian besar mereka menterjemahkan isi kandungan bahasa Arab ke bahasa Inggeris dengan menukar beberapa istilah Arab itu kepada Inggeris. Ertinya, bahasa Arab al-Qur'an telah melawan arus bahasa Arab Jahiliyyah di mana pada sebelum itu tidak banyak membawa kemajuan dan kemerdekaan fikiran. Salah satu sebab keadaan itu ialah, kebanyakan bait syair Jahiliyyah banyak mengheret pemikiran ke arah membesar-besarkan kemegahan puak, menonjolkan kesombongan kabilah malah hal itu telah melebarkan jurang perkauman sekali gus merencatkan perkembangan akliah. Sedangkan bahasa Arab al-Qur'an mula mengajak masyarakat untuk mengkaji fenomena alam, air hujan, haiwan unta dan semua pertanyaan yang terangkum dalam al-Qur' an itu telah pun menggerakkan pemikiran manusia dan menjana tenaga ilmu di zamannya untuk meneruskan kembara penerokaan ilmu sains sekali gus memperkembangkan teknologi. Mahathir-Abdullah, hubungannya dengan maruah dan harga diri Tidak lengkap jika tidak ditamatkan isu bahasa dengan hubungan Mahathir dan Abdullah. Oleh kerana aliran perjuangan bahasa yang dipegang Dr Shaharir memusatkan ke atas hal maruah dan harga diri dan bukanlah hal kemajuan akademik pelajar sekolah semata-mata, maka saya suka menulis dari sudut itu. Ini kerana, saya selesa memegang aliran ini. Di dalam ucapannya di Kelab Century Paradise ketika mengkritik pentadbiran Abdullah, tanpa segan silu beliau mengaku melakukan kesilapan sepanjang pemerintahannya. Cuma Mahathir tidak memperincikan secara jelasnya satu persatu kesilapan tersebut. Dalam ucapannya selama lebih kurang sejam itu dapat dirumuskan secara mudah bahawa Mahathir enggan berkompromi dengan soal maruah dan harga diri sesebuah negara. Bagi Mahathir, maruah dan harga diri adalah segala-galanya. ''Dalam kes Jambatan Bengkok, akhirnya kita minta persetujuan Singapura walaupun hal itu berada dalam wilayah kita sendiri,'' demikian kata Mahathir di mana ucapan itu jelas memperlihatkan kepekaannya ke atas kedaulatan dan maruah negara. ''Bukan cakap di mulut saja, perang pun saya sanggup.'' Sepanjang tempoh pentadbirannya, tambah beliau, usaha berbaik-baik dengan Singapura selalu menemu jalan buntu lantaran sifat pentingkan diri dan sikap 'kiasu' yang ada pada pimpinan negara itu. Demikianlah cara Mahathir pertahankan maruah dan harga diri itu. Sekali imbas, meninjau pelaksanaan 'Teori M' yang bersalahan dengan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMBI), mungkinlah Mahathir akan mempertahankan dasarnya habis-habisan atas nama maruah dan harga diri juga. Tapi, beliau tidak berbuat demikian. Di sini mungkin ada dua penyebabnya. Pertamanya, beliau terlupa, tersengaja melupakan 'Teori M' itu atau, beliau tidak menafsirkan bahawa hal PPSMBI sebagai suatu dasar yang menjejaskan maruah dan harga diri negara bangsa. Tapi dengan kuasa yang ada, Abdullah Ahmad Badawi mungkin juga tidak akan menukar dasar PPSMBI ini kepada tradisi warisan pembelajaran yang asal juga kerana mereka ini tidak akan dapat memandang jauh ke dalam bahawa hal ini menjejaskan maruah negara. Abdullah tidak menukar PPSMBI bukan kerana khuatirkan serangan Mahathir ke atasnya buat kali kedua. Malah, Abdullah tidak menukarnya kerana beliau tidak dapat melihat dasar ini telah menjatuhkan maruah dan harga diri Melayu yang ditakdirkan Allah sebagai tuan punya dan pemilik asal di bumi merdeka ini di mana tanah ini diserahkan kepada mereka. Mahathir memajukan dasar PPSMBI ini, bukan untuk menjahanamkan maruah dan harga diri bangsa Melayu. Sebaliknya, beliau silap faham atau terkeliru dengan 'Teori M' pada awal pemerintahannya dengan cara fikirannya di hujung penamat riwayat pentadbirannya itu. Jikalau Mahathir mampu melihat dasar ini sebagai satu cara menjatuhkan maruah dan harga diri bangsa Melayu, nescaya beliau tiadalah berbuat sedemikian. Ini kerana, Tun Dr Mahathir orang yang punya maruah diri dan jika beliau tersilap, beliau tidak sedar beliau telah menjatuhkan maruah dirinya sendiri.
No comments:
Post a Comment