Friday, January 25, 2008

Tok sidang kawasan Khir Toyo halang penduduk berjemaah

Tok sidang kawasan Khir Toyo halang penduduk berjemaah
Saidah Hairan Thu Jan 24, 08 8:04:18 pm MYT

SUNGAI PANJANG, 24 Jan (Hrkh) - Sejumlah tok-tok sidang (Ketua kampung) dalam kawasan Dun Sungai Panjang di sini didakwa mengugut dan menyekat penduduk daripada menunaikan solat berjemaah di masjid-masjid kawasan berkenaan. -->
Penduduk dihalang daripada hadir berjemaah di masjid kerana bimbang mereka dipengaruhi ilmu yang boleh meningkatkan kematangan minda rakyat dan ekoran daripada itu, mereka berkemungkinan akan menyokong parti pembangkang
Sumber memberitahu Harakah, ketua-ketua kampung dalam Dun yang diwakili Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo itu, yang juga Menteri Besar Selangor, bertindak menunggu di setiap kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menghalang penduduk ke masjid.
Sudah keterlaluan
Selain itu, mereka turut menghalang penduduk beberapa desa seperti kampung Sungai Nibung daripada menunaikan solat berjemaah di masjid.
Sumber yang ditemui wakil Harakah di Sungai Panjang berkata, tindakan ketua-ketua kampung itu sudah keterlaluan kerana menghalang seseorang daripada menunaikan solat berjemaah adalah satu kesalahan besar.
"Tok sidang terbabit turut mengawal pergerakan penduduk supaya tidak bergaul dengan masyarakat di kalangan penyokong pembangkang," tambah sumber itu lagi.
Katanya, ketika kelas pengajian agama diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sungai Nibong, Tok Sidang hanya membenarkan golongan wanita dan kanak-kanak saja menghadiri kelas tersebut.
Beliau mendakwa pengajian agama pula terbatas kepada fiqh wanita yang sudah diketahui umum seperti haid dan nifas.
Tok Sidang amat bimbang sekiranya para ustaz menghuraikan ilmu Islam yang lebih luas meliputi kehidupan manusia, katanya.
Menurut sumber, disebabkan penduduk PPR tidak dibenarkan keluar mengikuti kelas pengajian ramai kalangan para ustaz dan pendakwah bebas berusaha mengadakan kuliah di kawasan PPR sendiri tetapi hal itu pun tidak dibenarkan oleh tok sidang.
Halang pengajian
Penduduk hanya dibenarkan keluar ke masjid untuk solat Jumaat. Selain itu penduduk akan dihalang daripada menghadiri apa saja kelas pengajian agama di masjid terutama golongan lelaki.
Masjid Al-Makmuniah dikatakan antara masjid yang sering mengadakan kelas pengajian agama.
Sumber menambah, dalam pada itu, penduduk langsung tidak boleh mendekati ahli atau pemimpin parti pembangkang PAS.
"Jika didapati mereka bergaul dengan pembangkang, tok sidang mengugut menarik bantuan daripada kerajaan Selangor.
"Bagaimanapun penduduk lebih rela hidup dalam kemiskinan daripada kekurangan ilmu walaupun sebenarnya mereka perlu pembelaan,"katanya.
Tok Sidang difahamkan turut memberi amaran kepada sesiapa saja yang memberi maklumat atau laporan kepada pihak media berkenaan dengan penduduk miskin di Dun Sungai Panjang.
Harakah mendapati ramai penduduk takut untuk memberi maklumat lanjut tentang isu-isu kemiskinan di kawasan berkenaan. Mereka lebih rela menanggung keperitan hidup daripada menerima tekanan lebih teruk daripada pihak berkuasa.
Tidak berani
Sumber tersebut mengakui penduduk di Dun Sungai Panjang memerlukan bantuan dan pembelaan malangnya mereka tidak berani untuk melanggar ugutan tok sidang.
Tidak dapat dipastikan apakah Dr Khir Toyo sendiri yang memberikan arahan agar kes penduduk miskin di kawasannya tidak didedahkan kepada media, terutama Harakah. Bagaimanapun Menteri Besar itu pastinya mahu menunjukkan kepada pucuk pimpinan BN bahawa beliau mempunyai pengaruh besar sehingga parti pembangkang khususnya PAS tidak mendapat tempat.
Banyak pihak mengandaikan posisi Khir selepas pilihan raya akan datang akan berubah. Dijangka beliau tidak lagi diberikan jawatan strategik sebagai menteri besar, apatah lagi seteru kuatnya, Khairy Jamaluddin, yang juga menantu Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan cuba sedaya upaya menyingkirkannya daripada Selangor.

No comments: