Monday, January 21, 2008

VK Lingam beri keterangan

VK Lingam beri keterangan
Jan 21, 08 1:01pm

Peguam Datuk VK Lingam - orang yang menjadi fokus utama dalam klip video Lingam - dipanggil memberi keterangan mulai jam 12.30 tengahari tadi kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat video tersebut.Lingam - saksi ke-13 - dirakamkan dalam video tersebut, sedang berbual melalui telefon tujuh tahun yang lalu, didakwa dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.Menurut Lingam, beliau menyaksikan rakaman selama 14 minit itu, yang didedahkan September lalu, di Internet ketika beliau berada di luar negara.Peguam tersebut memberitahu suruhanjaya berkenaan bahawa beliau kenal ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan dan Menteri Pelancongan Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.
Lingam berkata, firma guamannya merupakan salah sebuah panel peguam bagi syarikat Kumpulan Berjaya milik Vincent Tan dan pernah mengendalikan urusan guaman untuk ahli perniagaan tersebut sejak 1991.Lingam juga berkata, beliau mengenali Tengku Adnan sejak 1990 ketika beliau menjadi pengarah eksekutif Kumpulan Berjaya .
Bagaimanapun, katanya, Loh Mui Fah - ahli peniagaan yang anaknya merakam video tersebut ketika makan malam tujuh tahun lalu - tidak pernah menjadi pelanggannya.“Beliau tidak pernah menjadi pelanggan saya. Saya boleh buktikannya. Tetapi bapanya pernah menjadi pelanggan saya. Seingat saya, saya tidak pernah ada urusan guaman dengan beliau atau pernah menjadi peguamnya," katanya.Lingam kemudiannya ditunjukkan klip video penuh tersebut.
Lingam: Bukan Ahmad Fairuz
Bila ditanya sama ada beliau yang sedang berbual di dalam video tersebut, Lingam berkata: "Nampak macam saya, bunyi pun macam saya".
Timbalan Pendakwaraya, Datuk Nordin Hassan kemudiannya mengingatkan Lingam bahawa saksi-saksi sebelumnya telah memberi keterangan bahawa beliau adalah orang dalam video tersebut.
"Tidak kisah apa orang lain kata, jawapan saya tetap sama - Nampak macam saya, bunyi macam saya," kata Lingam.
Beliau berkata, beliau tidak akan mengatakan lebih daripada itu, sehinggalah klip video asal dikemukakan.
"Saya telah menemui pakar-pakar saya, dan satu-satunya cara untuk menentukan kebenarannya ialah dengan memeriksa alat yang digunakan untuk mengambil video tersebut dan klip video asal," katanya.
Beliau juga menafikan bahawa Ahmad Fairuz - yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Negara dan bersara dua bulan yang lalu - adalah orang yang berbual dengannya.“Saya tidak tahu dengan siapa saya bercakap, tapi pastinya bukan dengan Ahmad Fairuz kerana saya tidak pernah ada nombor telefon beliau dan beliau juga tidak ada nombor telefon saya," katanya.Prosiding suruhanjaya tersebut ditangguhkan kira-kira jam 1 tengahari dan akan disambung selepas makan tengahari.

No comments: