Friday, January 25, 2008

Hishammuddin bidas Anwar

Hishammuddin bidas Anwar
Oleh: HELMI MOHD. FOAD
HISHAMMUDDIN.
PUTRAJAYA 24 Jan. – Pergerakan Pemuda UMNO membidas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai angkuh kerana yakin akan tetap menjadi wakil rakyat dengan meminta calon parti itu yang memenangi pilihan raya umum ke-12 berundur bagi memberikan laluan kepadanya.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, PKR belum tentu mampu memenangi satu kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, termasuk mempertahankan kawasan Parlimen Permatang Pauh yang dikuasai parti itu.
Beliau berkata, formula Anwar untuk menjadi wakil rakyat juga menyerlahkan sifatnya sebagai seorang yang mementingkan diri sendiri sedangkan pakatan pembangkang masih belum selesai membuat pengagihan kerusi.
“Saya cukup yakin kerusi Permatang Pauh kita (Barisan Nasional) boleh menang, jadi untuk menyatakan ada pihak yang sanggup mengundurkan diri bagi memberikan peluang kepada Anwar, saya nak nasihatkan supaya mereka menang dulu satu kerusi.
“Dengan menyatakan beberapa kawasan yang disenaraikan untuk dikosongkan supaya dia boleh bertanding, ini menunjukkan Anwar hanya memikirkan tentang dirinya sendiri dan membelakangkan parti pembangkang lain serta meletakkan dirinya sebagai pemimpin unggul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku siri sastera remaja dan kanak-kanak (bahasa Arab) dan siri pendidikan terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di kementeriannya di sini hari ini.
Hishammuddin mengulas laporan akhbar hari ini, yang menyebut pemimpin PKR itu menyatakan beliau mempunyai cara untuk tetap menjadi wakil rakyat iaitu melalui satu pilihan raya kecil selepas April.
Katanya, seorang daripada calon parti itu yang menang dalam pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada Mac ini, akan diminta mengundurkan diri bagi memberikan laluan kepada Anwar untuk bertanding.
Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, rakyat boleh membuat penilaian sendiri ke atas kenyataan Anwar itu bagi menentukan sama ada pakatan pembangkang adalah benar-benar tulen dan ikhlas atau sebaliknya.
“PKR ada harapan untuk menang? Harapan untuk meletakkan seorang individu yang rakus dan angkuh memang itu merupakan rancangan mereka.
“Tetapi lebih baik kita tanya apakah harapan Pas dan DAP apabila sebelum perkara yang paling asas iaitu pengagihan kerusi selesai, seorang individu itu telah tunjukkan dia adalah pemimpin kepada pakatan pembangkang, mereka setuju atau tidak,” katanya.
Beliau menyatakan, formula Anwar itu juga jelas menunjukkan beliau cuba mempermain-mainkan rakyat sebagaimana dalam pilihan raya kecil Ijok, PKR tidak meletakkan calon dari kaum India sedangkan mereka berkempen mahu membela golongan itu.
“Memang dia hendak mengaburi mata rakyat kerana satu ketika dulu Anwar pernah menjadi Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri, harga minyak naik juga masa dia jadi Menteri Kewangan.
“Samalah dengan janji hendak kosongkan kerusi yang belum tentu PKR boleh menang, jadi orang boleh menilai hasrat dia,” katanya.
Sedangkan, katanya, Barisan Nasional (BN) sangat konsisten dalam apa jua tindakannya dan Pemuda UMNO sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan PKR pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya juga nak beri tumpuan kepada kawasan yang hendak dikosongkan oleh PKR bagi memberikan laluan kepada Anwar,” katanya sinis.

No comments: