Tuesday, February 12, 2008

Selangor catat pelaburan tertinggi dalam 10 tahun

Selangor catat pelaburan tertinggi dalam 10 tahun
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
SHAH ALAM 11 Feb. - Selangor mencatat pelaburan melebihi RM10 bilion pada tahun lalu, jumlah tertinggi bagi negeri itu dalam tempoh 10 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif , Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) Berhad, Datuk Mhd. Jabar Ahmad Kembali berkata, sebahagian besar pelaburan itu adalah dalam sektor perkilangan, yang terus menunjukkan pertumbuhan positif.
Katanya, bagi tempoh dari Januari hingga Oktober tahun lalu, Selangor mencatat pelaburan berjumlah RM8.2 bilion dalam sektor tersebut dengan RM4.6 bilion merupakan pelaburan tempatan, manakala bakinya merupakan pelaburan langsung asing (FDI).
Jumlah itu merupakan peningkatan berbanding sebanyak RM7 bilion pada 2006., katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mhd. Jabar berkata, jumlah rasmi pelaburan di Selangor bagi tahun 2007 akan diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz pada Khamis ini.
"Ini menunjukkan Selangor merupakan destinasi pelaburan pilihan bagi pelabur tempatan dan asing.
"Perkembangan ini turut didorong oleh dasar-dasar Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang berusaha meningkatkan sistem penyampaian yang lebih bersifat mesra pelabur," katanya.
Mhd. Jabar berkata, pihaknya akan meningkatkan kempen pelaburan di negeri itu membabitkan kawasan Lembah Klang kedua yang meliputi Kuala Langat serta Sepang pada tahun ini.
"Kita sedang mengadakan rundingan dengan beberapa syarikat serta pelabur asing, terutama dari Eropah serta Asia Timur yang menyatakan minat untuk membuka operasi mereka di kawasan berkenaan," katanya.
Menurutnya, SSIC turut memperuntukkan sebanyak RM75,000 bagi mewujudkan balai polis bergerak bagi meningkatkan tahap keselamatan di setiap kawasan perindustrian di negeri itu.

60% pengundi Johor ahli BN

60% pengundi Johor ahli BN
JOHOR BAHRU 11 Feb. - Lebih 60 peratus atau 877,000 daripada 1.3 juta pengundi berdaftar di Johor merupakan ahli parti komponen Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, perangkaan tersebut akan menjadi kekuatan kepada parti itu untuk memenangi semua 26 kerusi Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-12.
"Kekuatan parti BN di Johor adalah meluas dengan cawangan parti di merata kawasan dan jumlah keahlian yang begitu ramai.
"Kita boleh merujuk kekuatan ini dengan lebih 60 peratus pengundi di negeri ini adalah ahli BN," katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya BN Parlimen Pasir Gudang di Taman Johor Jaya, di sini hari ini.

Amaran kepada mahasiswa

Amaran kepada mahasiswa
PUTRAJAYA 11 Feb. - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana mahasiswa yang terlibat dalam kempen pilihan raya umum ke-12 termasuk menarik balik biasiswa mereka.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ketika ini pihaknya sedang menyiasat penglibatan segelintir mahasiswa dalam politik kepartian dan mereka bakal diambil tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
''Peraturan dalam AUKU jelas menegah pelajar universiti terlibat secara langsung dalam politik dan tindakan tegas berasaskan tahap kesalahan mereka boleh diambil termasuk digantung pengajian.
''Begitupun untuk membuang undi dalam pilihan raya umum itu adalah hak mereka, saya hanya minta mereka turun mengundi dan buat pilihan yang terbaik,'' katanya.

Jelaskan isu harga minyak

Jelaskan isu harga minyak
MUAR 11 Feb. - Semua jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) diminta memberi penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai isu kenaikan harga minyak yang menjadi punca peningkatan harga barangan yang digunakan parti pembangkang untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke-12.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, rakyat perlu mengetahui faktor utama yang mendorong kenaikan harga barangan iaitu harga pasaran minyak mentah dunia yang melambung tinggi sehingga melebihi AS$100 setong.
Menurutnya, rakyat juga perlu diberi penjelasan bahawa kerajaan BN selama ini sentiasa berusaha memastikan peningkatan harga minyak itu tidak membebankan pengguna melalui pemberian subsidi diesel dan petrol serta memperkenalkan 21 jenis barangan pada harga terkawal.
"Tindakan pembangkang yang menabur janji palsu bahawa mereka akan menurunkan harga minyak sebanyak 30 sen jika diberi peluang memerintah negara ini seolah-olah menggambarkan BN tidak prihatin dengan masalah yang dialami oleh rakyat berikutan kenaikan harga minyak dunia.
"Untuk itu, jentera pilihan raya perlu memberi penjelasan secukupnya kepada rakyat kenapa harga barangan naik, sedangkan kerajaan BN kini sedang berusaha memastikan mereka tidak terbeban dengan kenaikan tersebut," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Peti Undi kawasan Sungai Raya, Bukit Pasir dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan ihsan kepada empat penduduk kurang upaya di kawasan itu termasuk kerusi roda kepada ahli jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO cawangan Kampung Batu 7, Rahmah Kassim, 69, yang lumpuh akibat angin ahmar.
Muhyiddin berkata, jentera BN perlu mahir memberi penjelasan kepada rakyat kenaikan harga barang.
''Sebaliknya, cuba kita lihat dan fikirkan, kenapa peningkatan harga komoditi getah dan kelapa sawit tidak digembar-gemburkan, bukankah ia merupakan hasil kejayaan kerajaan BN memastikan harganya meningkat dan memberi keuntungan kepada para pekebun?''soalnya.
Sementara itu di PETALING JAYA, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, parti-parti pembangkang tidak mempunyai ruang untuk menggunakan isu kenaikan harga barang bagi mempengaruhi pengundi pada pilihan raya umum ke-12.
Katanya, ini kerana pihaknya berjaya memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu tersebut melalu siri jelajah di seluruh negara.
Beliau berkata, penjelasan itu meliputi peranan kerajaan untuk membantu rakyat terutama menerusi pemberian subsidi ke atas beberapa harga barangan terutama melibatkan barang-barang kawalan.
''Pembangkang kini ketandusan idea untuk mencari helah bagi meraih undi rakyat. Kita akui mengenai kenaikan harga barang tetapi ia tidak sebesar isu yang dikeluarkan mereka,'' katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Isu Harga Barang di Auditorium Dewan Sivik di sini hari ini.

Mafrel pemerhati pilihan raya

Mafrel pemerhati pilihan raya
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengiktiraf sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) sebagai pemerhati tempatan pada pilihan raya umum ke-12.
Pengiktirafan itu yang dilihat mampu menutup mulut pembangkang yang sering melabelkan pilihan raya di negara ini sebagai tidak bebas, telah dipersetujui oleh suruhanjaya pada 22 Januari lalu.
Surat pengiktirafan berkenaan ditandatangani oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman.
Dalam surat itu, Ab. Rashid melahirkan harapan bahawa peranan yang bakal dimainkan Mafrel akan membantu SPR memastikan pilihan raya berlangsung secara telus.
"Langkah itu juga akan menyumbang kepada usaha SPR untuk menanam keyakinan masyarakat umum mengenai integriti pilihan raya di Malaysia," jelasnya.
Salinan faksimile surat berkenaan dihantar oleh Mafrel ke pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Gagal tapisan BPR

Gagal tapisan BPR
SHAH ALAM 11 Feb. - Beberapa bakal calon yang telah disenaraikan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-12 di negeri ini digugurkan setelah didapati gagal melepasi tapisan pertama Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, pengguguran itu dibuat setelah beberapa nama calon yang terdiri daripada mereka yang menjadi wakil rakyat ketika ini serta muka-muka baru didapati mempunyai masalah tertentu termasuk kes rasuah.
Mohamad Khir yang enggan mendedahkan nama ahli-ahli politik berkenaan berkata, jumlah bakal calon yang gagal itu amat kecil berbanding 200 senarai calon Dewan Undangan Negeri dan Parlimen negeri ini yang telah diserahkan kepada BPR baru-baru ini.
"Sebelum ini, kita telah hantar senarai calon berkenaan kepada BPR untuk diteliti status mereka dan saya akui memang ada yang gagal melepasi tapisan tersebut.
"Saya tidak boleh beritahu dengan terperinci mengenai perkara ini kerana perjanjian kita (BN Selangor) dengan BPR adalah rahsia bagi mengelak berlakunya sebarang spekulasi buruk atau tuding-menuding terhadap mereka yang tidak terbabit.
"Namun, saya boleh katakan jumlahnya terlalu kecil dan BN Selangor masih lagi mempunyai ramai calon yang berkaliber dan berkelayakan," katanya di sini hari ini.
Mohamad Khir berkata, proses tapisan senarai calon BN tidak akan terhenti setakat itu.
Sebaliknya, beliau berkata, senarai calon itu seterusnya akan dihantar kepada pihak polis untuk tapisan kedua dan kemu-dian ke Jabatan Insolvensi serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan mereka bebas daripada jenayah, saman, status bankrap serta terlibat dalam masalah berkaitan dengan cukai.
"Hanya calon terbaik akan dipilih," ujarnya.

Score pacu ekonomi Sarawak

Score pacu ekonomi Sarawak
Oleh Misiah Taib
UNTUK RAKYAT: Abdullah bersama (dari kiri) Awang Tengah; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid; Abdul Taib; Jeanne; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Nor Mohamed melihat model projek hidro elektrik Bakun pada majlis pelancaran Score di Bintulu, semalam.
RM105.6 bilion pelaburan awal jana koridor pembangunan kelima negaraBINTULU: Koridor kelima negara - Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) yang dilancarkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, menerima pelaburan awal bernilai lebih RM105.6 bilion. Sebanyak 13 memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani pada hari pelancaran koridor itu dengan pelaburan terbesar sebanyak RM50 bilion membabitkan kerjasama antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam ucapannya pada majlis pelancaran Score di Bintulu Promenade, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan awal RM5 bilion bagi pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk memacu koridor itu. Abdullah berkata, peruntukan itu disediakan melalui kajian semula projek di bawah RMK-9 serta penambahan peruntukan dalam kajian separuh penggal rancangan berkenaan. "Pembangunan Koridor Sarawak keseluruhannya memerlukan pelaburan lebih RM300 bilion menjelang 2030," katanya pada majlis dihadiri kira-kira 20,000 orang yang disifatkan Perdana Menteri sebagai yang teramai dalam pelancaran koridor wilayah di negara ini.
Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Laila Taib; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Perancangan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan. Ini adalah koridor terakhir dilancarkan Abdullah selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor; Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER); Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC). Score membabitkan kawasan 70,709 kilometer persegi di wilayah tengah Sarawak, iaitu kira-kira 56.8 peratus daripada saiz seluruh negeri ini seluas 124,449 kilometer persegi. Koridor itu merangkumi kawasan sepanjang 320 kilometer dari Tanjung Manis di Sarikei ke Similajau di Bintulu. Dalam tempoh 23 tahun sehingga 2030, Score dijangka membabitkan pelaburan berjumlah RM334 bilion dengan Kerajaan Pusat menyumbang 15 peratus, kerajaan negeri (empat peratus), syarikat berkaitan kerajaan (23 peratus) dan 58 peratus lagi pelaburan swasta.
Sambil mengajak seluruh rakyat Sarawak bersama-sama merealisasikan wawasan Score, Abdullah berkata, pelaksanaan koridor itu mensasarkan membanteras sepenuhnya kemiskinan tegar di negeri ini menjelang 2030. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak pula dijangka meningkat lima kali ganda kepada RM118 bilion pada 2030, berbanding RM23 bilion sekarang. Selain itu, 1.6 juta peluang pekerjaan akan diwujudkan, termasuk lebih 830,000 pekerjaan dalam industri yang ditekankan di Koridor Sarawak. Abdullah berkata, Sarawak menjadi negeri terakhir untuk pelancaran koridor pembangunan wilayah kerana negeri ini sangat luas sehingga memerlukan perancangan rapi dan teliti. "Pembangunan Koridor Sarawak bersifat 'broad-based' yang merangkumi pembangunan ekonomi, perindustrian dan modal insan. "Sasaran kita adalah untuk membawa pembangunan ke seluruh pelosok Sarawak, menjana dan mengagihkan peluang bermutu secara meluas dan memastikan rakyat Sarawak dapat menikmati pendapatan lebih tinggi, yang diagihkan secara lebih rata dan menyeluruh. "Matlamat kita adalah untuk mendidik dan membuka peluang kepada rakyat Sarawak, khususnya di pedalaman dan kawasan kurang maju untuk turut serta dalam ekonomi moden," katanya. Perdana Menteri berkata, Sarawak bertuah kerana dianugerahkan kekayaan sumber alam, misalnya wilayah tengah Sarawak mempunyai pinggir laut yang panjang serta kawasan tanah suai tani yang besar. "Kawasan ini juga kaya dengan sumber tenaga asli seperti tenaga hidro, arang dan gas asli yang dapat menjana tenaga bagi tujuan perindustrian atau dimajukan sebagai satu industri eksport. "Atas dasar ini, kita memutuskan Koridor Sarawak dibangunkan di wilayah tengah Sarawak merangkumi Bintulu, Kapit, Sibu, Mukah dan Sarikei," katanya. Beliau berkata, tenaga menjadi teras utama Score dan elemen terpenting bagi menjayakan pembangunan koridor berkenaan. Sepuluh industri berkeutamaan tinggi dikenal pasti untuk diberi penekanan khusus iaitu industri berasaskan petroleum dan gas; aluminium; keluli; kaca; minyak sawit; pembalakan; kejuruteraan marin; ternakan serta perikanan dan akuakultur. Industri itu akan dijadikan asas membangunkan industri hiliran, sekali gus membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berakar dan berkembang di negeri ini. Abdullah juga memberi jaminan dalam membangunkan Sarawak, kerajaan akan memastikan alam sekitar dan khazanah alam negeri sentiasa terpelihara. "Saya sudah mengarahkan supaya satu kajian 'Green Development Framework' dihasilkan untuk memastikan Koridor Sarawak dilaksanakan secara mesra alam," katanya. Beliau juga memuji langkah proaktif kerajaan negeri menubuhkan badan pelaksana khas, Regional Corridor Development Authority of Sarawak (Recoda) yang bertanggungjawab bagi melaksana dan memantau pembangunan Koridor Sarawak. INFO: 13 MoU pada pelancaran Score
Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mewujudkan komitmen bagi menyediakan struktur dan asas kerjasama serta usaha sama membabitkan pelaburan RM50 bilion.
Pelaksanaan projek loji penyaluran tenaga termasuk pembinaan dua kabel dasar laut untuk menghubungi projek Hidro Bakun dengan Semenanjung membabitkan pelaburan bernilai RM22 bilion antara SEB dan Kumpulan Sime Darby Berhad.
Projek membangunkan penjanaan dan penyaluran tenaga di Sarawak membabitkan pelaburan antara RM3 bilion hingga RM20 bilion antara SEB, RHB Islamic Bank Berhad, Unicorn International Islamic Bank Malaysia Berhad, Asian Finance Bank Berhad dan Kuwait Finance House.
Membekalkan tenaga antara 900 megawat sehingga 1,200 megawat kepada Kilang Peleburan Alumunium yang akan dibina di Similajau, Bintulu membabitkan pelaburan bernilai RM5.25 bilion antara SEB, Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS) dan Rio Tinto Aluminium Limited (RTA).
Membangunkan kluster bersepadu keluli di Sarawak membabitkan pelaburan AS$1.5 bilion antara CMS, MMC Corporation Bhd dan Pan Kingdom Invesment Co.
Membekalkan tenaga tambahan sebanyak 510 megawat kepada Kilang Peleburan Alumuminium yang akan dibina di Mukah menjelang 2010 membabitkan pelaburan RM2.5 bilion antara SEB dan Press Metal Berhad (PMB).
Membina Kilang Penapisan Zinc Electro di Bintulu membabitkan pelaburan AS$350 juta antara Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Asia ZincOX Resources Plc United.
Membangunkan projek tenaga dan sumber biofuel diperbaharui membabitkan pelaburan AS$300 juta antara Kumpulan Carbon Corporation Sdn Bhd dan Japan Carbon Company Limited.
Menjalankan perniagaan dalam industri perikanan dan akuakultur membabitkan pelaburan RM100 juta antara Konsortium Galdasar Sdn Bhd (Malaysia) dan Yuh Yow Fishery Company Limited.
Membangun dan menyelenggara limbungan kapal membabitkan pelaburan RM40 juta antara Konsortium Galdasar Sdn Bhd (Malaysia) dan Shei Chui Oceanic Enterprise Company Limited.
Menyediakan latihan kepada kakitangan teknikal Syarikat Alumunium Sarawak (Salco) antara Kumpulan CMS, Rio Tinto Alumunium dan Matt Liddy dan International College of Advanced Technology Sarawak (ICATS).
Menyediakan teknologi kepada Salco antara Kumpulan CMS dan Rio Tinto Aluminium Limited.
Menyediakan 1.6 juta ADT kayu palpa kepada Acacell setiap tahun antara Acacia Cellulose International Sdn Bhd (Acacell) dan Sarawak Planted Forest Sdn Bhd (SPF).