Tuesday, January 29, 2008

MAHKAMAH Kini Sudah DIPERALAT Polis? Undang-Undang Apa Yang DIPAKAI Untuk Halang

MAHKAMAH Kini Sudah DIPERALAT Polis?
Undang-Undang Apa Yang DIPAKAI Untuk Halang
Posted on Tuesday, January 29 @ 12:22:18 MYT by greenboc
Oleh Prof Dr Abd Aziz BariUIAM
ADA beberapa hal yang perlu dinilai semula bagi mengelakkan kekeliruan dan ketakutan dalam kalangan rakyat ekoran tangkapan polis baru-baru ini.Laporan Malaysiakini.Com menyatakan bahawa pihak polis, buat kali ketiga, mendapat perintah mahkamah untuk menghalang beberapa tokoh tertentu untuk mengadakan protes.
Yang pertamanya, ialah perintah mahkamah yang didakwa oleh polis itu hanyalah perintah Mahkamah Majistret.
Di sisi undang-undang mahkamah, hatta Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi negara, tidak boleh menggantung isi dan hak yang dijamin Perlembagaan.
Inikan masih lagi Mahkamah Majistret?
Yang kedua, kita tidak pasti undang-undang apa yang dipakai mahkamah berkenaan dalam memberi perintah yang dipohon oleh polis.
Apa pun, perlembagaan adalah undang-undang tertinggi dan undang-undang lain tidak boleh mengatasinya. Mahkamah tidak boleh mengambil 'precedent' dari England kerana negara itu tidak mempunyai undang-undang bertulis.
Yang ketiga, hanya Parlimen boleh menyekat hak di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Peranan mahkamah ialah mempertahankan hak itu. Bukannya menggantung atau menafikannya.
Majistret mungkin salah memahami perundangan?
Itu pun hanya boleh dibuat secara tidak langsung; yakni melalui undang-undang sebagai mana Akta Polis atau AUKU. Saya fikir majistret berkenaan telah salah dalam memahami undang-undang.
Perintah ini sebenarnya menyeret mahkamah ke kancah politik. Cuma yang menyedihkan ialah kenapa mahkamah mengeluarkan perintah itu?
Siapa dia majistret yang berbuat demikian dan di atas dasar apa? Undang-undang yang mana?
Apa pun seperti yang disebut di atas, tiada undang-undang yang boleh mengatasi perlembagaan. Mahkamah seharusnya membezakan kes ini dengan perintah biasa. Ini bukan kes sivil atau kes cerai dan lain-lain.
Sekarang, kita bercakap soal perlembagaan, yakni undang-undang awam bukan undang-undang keluarga atau undang-undang sivil tentang hubungan sesama individu yang tiada kena-mengena dengan hak awam.
Ini bukan kes melibatkan pergaduhan suami-isteri atau jiran tetangga yang mahkamah boleh mengeluarkan perintah seperti itu.
Nampaknya, majistret lupa kedudukan dan signifikan perlembagaan. Polis memang sudah lama tidak mempedulikan perlembagaan.
Dengan itu, tak timbul soal menghina mahkamah sebab perintah itu pun diragui kesahihannya. Dan apakah Mahkamah Majistret berkuasa menghukum apa yang dipanggil sebagai menghina mahkamah itu?
Perkara 126 dalam perlembagaan telah menyatakan bahawa kuasa menghukum itu berada di tangan Mahkamah Tinggi ke atas. Mahkamah Majistret adalah mahkamah rendah.
Agak jelas polis sudah kian terdesak dan kita tidak pasti apakah ini nasihat yang diberi oleh Peguam Negara?
Agensi-agensi ini perlu memahami prinsip-prinsip dasar perlembagaan.
'Go to the basics!'

No comments: