Thursday, January 24, 2008

Dr. Mahathir ramal BN menang besar

Dr. Mahathir ramal BN menang besar
Oleh Diyana Rose Kamalludeen

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Tun Dr. Mahathir Mohamad meramalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menang besar pada pilihan raya umum ke-12 nanti.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa BN akan meraih majoriti undi terbesar hasil sokongan para pengundi yang percaya dengan kemampuan kerajaan mentadbir negara.
Katanya, sekarang merupakan waktu paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya memandangkan situasi ekonomi negara yang stabil meskipun berdepan dengan masalah kenaikan harga barang.
‘‘Sebagai orang yang pernah memutuskan tarikh pilihan raya, saya hanya akan mengadakan pilihan raya apabila saya percaya kerajaan boleh menang.
‘‘Jadi, jika hendak tahu bilakah pilihan raya ialah apabila kerajaan yakin ia boleh mencapai kejayaan, barulah tarikh pilihan raya umum ke-12 akan diumumkan nanti,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan restoran The Loaf di pusat beli-belah Pavilion di sini hari ini.
Sementara itu, menjawab soalan lain, Dr. Mahathir berkata, lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush ke Asia Barat tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada mana-mana pihak.
‘‘Kalau dia (Bush) boleh menghentikan tindakan Israel untuk menyekat bekalan elektrik baguslah juga tetapi selepas selesai lawatan Presiden Amerika itu, bekalan elektrik masih terputus.
‘‘Di Malaysia, jika elektrik terputus sejam sahaja orang sudah mengamuk tetapi ini sehingga berhari-hari dan boleh mengancam nyawa pesakit yang bergantung hidup pada mesin bantuan pernafasan. Saya rasa amat sedih,’’ katanya.

No comments: