Tuesday, January 15, 2008

BPR: Perbualan telefon di bilik tamu Lingam

BPR: Perbualan telefon di bilik tamu Lingam
Soon Li Tsin Jan 14, 08 8:34pm
Dua pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberitahu suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam hari ini bahawa bilik yang kelihatan dalam klip tersebut adalah bilik tamu di rumah peguam tersebut.Penolong kanan penguatkuasa BPR, Bahagian Risikan, Cawangan Bantuan Teknik, Shahadan Mohd Yatim, 53, berkata, beliau telah membandingkan gambar-gambar yang diambilnya di rumah Lingam di Kelana Jaya, dengan yang ditunjukkan dalam klip video tersebut, dan membuat kesimpulan bahawa perbualan telefon itu dibuat di tempat yang sama.Pegawai BPR yang mempunyai 30 tahun pengalaman itu berkata, beliau telah mengambil 17 keping gambar dalam bilik tamu rumah Lingam di Kelana Jaya pada pagi 25 Disember.“Beliau menunjukkan bilik tersebut kepada saya. Beliau tidak bertanya mengapa saya mengambil gambar, saya rasa beliau sudah tahu mengapa saya pergi ke sana," katanya kepada suruhanjaya tersebut.Pegawai atasan Shahadan - Chuah Lay Choo - yang memberi keterangan kemudian, mengesahkan beliau telah mengarahkan Shahadan mengambil gambar tersebut.Beliau juga menunjukkan salinan klip video dalam cakera padat yang diberikan kepadanya pada 19 Disember tahun lalu. Klip video penuh itu kemudiannya ditayangkan di skrin besar. Ketua pendakwa dari BPR, Nordin Hassan, yang membantu siasatan suruhanjaya tersebut, juga menggunakan skrin untuk memboleh Chuah membandingkan gambar-gambar tersebut dengan beberapa bahagian dari klip berkenaan.Chuah mengesahkan bahawa gambar-gambar tersebut sama dengan latarbelakang dalam klip video itu di mana Lingam kelihatan bercakap mengenai pelantikan hakim-hakim pada hujung tahun 2001.Chuah juga mendedahkan bahawa klip video penuh itu diserahkan kepada CyberSecurity Malaysia untuk disahkan ketulenannya pada 26 Disember dan dipulangkan kepadanya dua hari kemudiannya.Ranjit Singh yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam telah meminta Chua mengenalpasti individu-individu dalam klip video tersebut, memandangkan beliau telah bertemu dengan Lingam ketika pergi ke rumah peguam tersebut.Ranjit juga meminta transkrip yang disediakan oleh Chua untuk dibandingkan dengan salinan transkrip yang dibuat oleh Majlis Peguam.Anggota suruhanjaya itu, yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shanker kemudian berkata, soalan-soalan hendaklah ditanya secara bersama. Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Haidar kemudiannya menangguh prosiding sehingga esok.'Menghina mahkamah'Sementara itu, peguam Lingam’, S Thayalan berkata, prosiding menghina mahkamah seharusnya diambil terhadap ahli perniagaan Loh Mui Fah kerana memberi interviu (kepada media) mengenai peranannya dalam klip video tersebut dan bukannya memberi keterangan kepada suruhanjaya tersebut.“Ia satu perbuatan yang tidak menghormati suruhanjaya ini, dengan membawanya kepada pihak akhbar terlebih dahulu," katanya.Sabtu lalu, Loh mendedahkan kepada Malaysiakini butir-butir lanjut, termasuk apa yang berlaku dan pembabitannya anak lelakinya merakamkan klip video tersebut.Bagaimanapun, anggota suruhanjaya itu, Datuk Steve Shim Lip Kiong menjawab, pihaknya akan menimbang permohonan Thayalan itu apabila Loh memberi keterangan esok.Thayalan juga cuba menimbulkan keraguan terhadap ketulenan klip video yang ditunjukkan itu, dengan bertanya kepada Chua sama ada versi cakera padat yang diberikan kepadanya itu adalah salinan atau dalam bentuk asalnya.Prosiding suruhanjaya tersebut berlangsung di sebuah bilik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dijadualkan berakhir pada 25 Januari depan.Nordin berkata, 16 saksi akan dipanggil. Antara mereka yang disenaraikan itu termasuklah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Anwar dijangka memberi keterangan esok.Para wartawan dan orang ramai terpaksa beratur seawal jam 7.30 pagi. Dua puluh 20 pas yang diperuntukkan kepada orang ramai.Apabila prosiding itu bermula jam 10 pagi, bilik mahkamah itu penuh sesak dengan wartawan, peguam dan orang ramai.Lima anggota suruhanjaya itu - Haidar, Shim, Pesuruhjaya Suhakam Dr Datuk Khoo Kay Kim, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Steve Shim dan bekas Peguamcara Negara Datuk Zaitun Zawiyah Puteh - dibantu oleh Ketua Pengarah Bahagian Perundangan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Sani sebagai setiausaha suruhanjaya tersebut.

No comments: