Tuesday, January 29, 2008

Eusoff Chin nafi tidak baik dengan Dzaiddin

Eusoff Chin nafi tidak baik dengan Dzaiddin
Jan 29, 08 11:54am

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin menafikan bahawa beliau dan Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah tidak berbaik-baik dan tidak ada puak dalam bidang kehakiman semasa beliau memegang jawatan Ketua Hakim Negara. Eusoff, yang dipanggil semula untuk memberikan keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja semalam mengenai kontroversi klip video mendakwa peguam Datuk VK Lingam terbabit dalam pelantikan hakim dengan seorang hakim kanan, berkata, "hubungannya dengan Dzaiddin adalah mesra". Beliau menjawab soalan peguam Ranjit Singh yang mewakili Majlis Peguam berkaitan dakwaan dalam transkrip perbualan lelaki dalam klip video itu yang membayangkan hubungan Eusoff dan Mohamed Dzaiddin yang menggantikan beliau (Eusoff) sebagai Ketua Hakim Negara selepas Eusoff bersara pada 2000, adalah tidak baik. Menurut laporan Bernama, perenggan transkrip itu yang dirujuk kepada Eusoff ialah "Anda tahu bahawa masalah yang sama Tun Eusoff Chin ada... Beliau cuba buat semua ini dan... beliau menemui jalan buntu. Beliau tidak boleh berbuat demikian kerana ramai di puak sana..." Eusoff, 73, menjawab: "Saya tidak faham apa yang beliau cakap". Sambil ketawa, Eusoff berkata: "Tidak ada perkara seperti itu. Sebenarnya Saya tidak tahu apa yang beliau (orang yang bercakap di klip video itu) cakapkan."Bekas Ketua Hakim Negara itu dipanggil semula untuk memberikan keterangan semalam setelah suruhanjaya itu menangguhkan keterangan beliau pada 18 Januari lalu bagi membenarkan Eusoff melantik peguam. Eusoff kini diwakili peguam Zamani Ibrahim dan Datuk Hazman Ahmad. Merujuk kepada perenggan lain transkrip itu "Satu hari saya ke rumah Vincent Tan, saya marah dia... pada malam itu di rumahnya. Saya kata "celaka" jika awak tidak buat ini siapa lagi yang akan buat? Semua orang ini, Tun Eusoff Chin, Datuk Ahmad Fairuz, Tan Sri Zainon semua berbuat bersungguh-sungguh untuk kita", Eusoff berkata, makna perenggan itu tidak masuk akal kepada beliau dan hanya Lingam tahu jawapannya.'Pembohongan besar' Menjawab soalan lain sama ada bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim (lelaki yang dikatakan Lingam bercakap dengannya menerusi perbualan telefon) setia dengan beliau, Eusoff berkata, bukan hanya kepada beliau tetapi juga kepada sesiapa pun kerana mereka telah mengangkat sumpah jawatan.Beliau menafikan dakwaan bahawa beliau menerima sebuah telefon bimbit, sebuah beg tangan wanita dan satu dompet dari Lingam pada 1996 sambil mengatakan bahawa dakwaan perbualan dalam tanskrip tersebut itu direka-reka dan adalah satu pembohongan besar. Mengenai dakwaan adik lelaki Lingam bahawa Lingam memberikan sebuah rumah di Kampung Tunku kepada Eusoff pada Oktober 1995 tetapi Eusoff dan isterinya tidak berpuashati dengan rumah itu sebaliknya mereka mahu sebidang tanah yang lebih luas untuk membina sebuah rumah pilihan mereka, Eusoff berkata, tidak perlu bagi beliau mempunyai satu lagi rumah kerana isterinya telah membeli rumah yang mereka duduki sekarang pada 1995 melalui pinjaman kerajaan. Merujuk kepada perenggan lain dalam transkrip itu yang membayangkan orang yang bercakap melalui perbualan telefon rapat dengan beliau, Eusoff menafikan Lingam melawat beliau pada waktu siang atau malam. Eusoff menegaskan bahawa beliau tidak ada hubungan dengan Lingam. Menjawab soalan Ranjit kenapa beliau memikirkan orang yang bercakap melalui perbualan telefonnya bahawa beliau boleh pergi jumpa awak (Eusoff), Eusoff berkata: "Sesiapa boleh berjumpa dengan saya. Pintu terbuka walaupun bagi kakitangan beliau boleh jumpa saya. Saya tidak akan mengecewakan mereka." Beliau bersetuju dengan Ranjit bahawa Lingam boleh ke bilik pejabatnya jika beliau mahu tetapi menambah bahawa Lingam tidak pernah berbuat demikian. Eusoff juga berkata beliau tidak terbabit dengan dalam cara apa pun dalam pelantikan hakim sejak persaraan beliau kerana ada lagi ketua hakim sedang dilantik untuk mengendalikan perkara itu.

No comments: