Friday, January 25, 2008

Rundingan DAP, PKR di Selangor buntu

Rundingan DAP, PKR di Selangor buntu
Utusan Malaysia
PUTRAJAYA 24 Jan. – Rundingan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pengagihan kerusi di Selangor menemui jalan buntu apabila masing-masing berkeras untuk bertanding di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang sama, pada pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San berkata, kedua-dua parti itu masih gagal mencapai kata sepakat mengenai soal pengagihan kerusi di negeri itu walaupun beberapa siri perbincangan telah diadakan.
Sehubungan itu, beliau tidak menafikan kemungkinan wujud dua calon pembangkang di sesetengah kawasan pilihan raya di Selangor pada pilihan raya akan datang.
“Setakat ini wujud `perebutan’ di tujuh kerusi dan kebanyakan kerusi ini terdiri daripada kerusi DUN.
“DAP Selangor kini diwakili Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Tan Kok Wai dan Ahli Jawatankuasa Pusat, Ronnie Liu untuk berbincang dengan wakil-wakil PKR,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, DAP dan PKR bagaimanapun belum berputus asa dan akan meneruskan rundingan bagi membolehkan strategi satu lawan satu dilaksanakan bagi menghadapi Barisan Nasional (BN).
“Perbincangan masih dijalankan dan kami berharap ia boleh membawa hasil menjelang akhir bulan ini.
“Jika tidak (berhasil), ia bermakna akan wujud fenomena dua calon pembangkang iaitu calon DAP dan PKR di sesetengah kawasan,’’ ujarnya.
Mengenai sasaran parti itu di Selangor pada pilihan raya akan datang, Weng San memberitahu, matlamat pembangkang ialah memenangi satu pertiga daripada kerusi DUN di Selangor.
“Untuk kerusi Parlimen pula, DAP Selangor berharap dapat mencapai kemenangan di beberapa kerusi seperti di Petaling Jaya Utara, Klang dan Serdang,’’ jelasnya.
Dalam pilihan raya umum 2004, DAP hanya berjaya memenangi dua kerusi DUN di Selangor iaitu di Sungai Pinang dan Sekinchan.

No comments: