BN kian hampir jadi pembangkang
Suhaimi Taib Thu Jan 24, 08 11:33:40 am MYT
Umno Terengganu kini cukup bimbang dengan senario politik negeri sekarang sehingga terpaksa memasang beberapa kain rentang dan panji-panji slogan termasuk 'Kami Mahu Idris Jusoh kekal MB' dan 'Malaysia Negaraku, Terengganu negeriku, BN partiku'. -->
Mengapa Idris tidak perlu dikekalkan bahkan BN perlu dihentikan daripada memerintah Malaysia serta Terengganu khususnya? Banyak hujah atau faktor boleh dijelaskan betapa perlunya gabungan parti ini bertukar menjadi pembangkang.
Antaranya kerana khazanah negara dan sosial rakyat tidak pernah selamat di bawah pemerintahan BN. Bahkan ia menjadi bertambah buruk pada zaman Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan Idris ebagai Menteri Besar.
Janji - BN menang, rakyat senang - yang ditabur kepada rakyat Terengganu adalah kosong dan bohong semata-mata. Yang nampak jelas adalah pembangunan untuk hanya rakyat menjadi penonton seperti cerita Pak Kadok bersama ayam sabungnya, menang sorak kampung tergadai.
Rakyat semakin tersisih di bawah BN Terengganu. Kemiskinan semakin parah, kehidupan semakin terhimpit dengan kenaikan harga barang hampir setiap bulan.
Kos hidup tinggi sedangkan pendapatan rakyat tidak meningkat, peluang pekerjaan tidak banyak, pengangguran menjadi-jadi, inflasi meningkat, kes jenayah semakin bertambah dan banyak lagi kepincangan serta kesusahan berlaku.
Semua peristiwa berkenaan menunjukkan keupayaan BN sebagai kerajaan sudah berakhir dalam tempoh 50 tahun usia perkhidmatannya kepada negara dan rakyat.
Rakyat kebanyakannya sudah berpelajaran dan tidak lagi terkongkong dengan pengaruh propaganda BN melalui media bersifat bias milik parti itu.
Keupayaan pemerintahan negeri di bawah PAS, Barisan Alternatif (BA) Terengganu dan Kelantan sudah terbukti lebih baik dan bersifat mesra rakyat dan berkebajikan berbanding pentadbiran Umno/BN.
Kebaikan bukan sekadar cakap tetapi dibuktikan dengan pelaksanaan semasa pemerintahan kepimpinannya yang lebih dinamik dan bermaruah.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nikmat sebagai Menteri Besar Kelantan banyak mempelopori pembaharuan dalam soal menjaga kebajikan rakyat dengan melancarkan program armalah dan kaffalah yang terkenal itu bagi membiayai golongan warga emas dan ibu tunggal yang kini terhimpit dengan masalah ekonomi dan kesan sosial akibat kepincangan politik BN.
Terengganu di bawah Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, mempelopori penyelesian masalah kependudukan rakyat negeri itu dengan meluluskan lebih 60,000 lot tanah sepanjang empat tahun pemerintahannya untuk didiami dan dimanfaatkan sebagai asas kediaman dan pertanian kepada rakyat yang kini dihapuskan BN.
BN telah menggunakan tanah-tanah rakyat untuk kononnya atas nama pembangunan bagi mempastikan kroni parti mendapat manfaat untuk membolot kekayaan. Wang rakyat digunakan bagi membeli undi mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
Agenda pembangunan hanya gendang lama yang dipalu untuk melekakan rakyat daripada menunaikan peranan sebenar menjaga negeri dan negara mereka dari terus dipimpin manusia dan parti yang korup dan bankrap prinsip dan idea seperti Umno/BN.
Pembangunan yang dikompangkan itu hanya fatamorgana yang dilihat indah tetapi manfaat kepada rakyat, tidak seindah yang dilihat.
Itulah apa yang dibangunkan di Terengganu, dengan bandar raya pesisir airnya di Kuala Terengganu, hanya sekadar mewujudkan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, untuk indah ditonton, kononnya untuk menarik pelancong ke negeri itu.
Kehidupan rakyat berhampiran pulau itu bagaimana? Adakah lebih indah daripada taman itu? Tidak, mereka hanya menjadi penonton melihat tanah-tanah mereka diambil untuk projek pembaziran seperti itu sedangkan kehidupan mereka tidak berubah.
Ini sebenarnya strategi Umno untuk terus menguasai rakyat Terengganu. Umno mahu rakyat negeri itu dan negeri lain terhimpit dan susah supaya mereka sentiasa terikat dengan bantuan kerajaan di bawah kelolaan parti itu.
Ketika wang ihsan diserahkan kepada rakyat miskin dan mereka yang inginkannya, sentiasa diingatkan tanggungjawab mereka untuk mengundi BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Nah, inilah letaknya strategi mengekalkan kemiskinan rakyat Terengganu walaupun lebih teruk daripada kedudukan nombor dua dalam Malaysia supaya mereka kekal di bawah pengaruh parti itu sehingga BN dikekalkan lagi sebagai kerajaan bukan pembangkang.
Adalah lebih baik BN menjadi pembangkang kerana kemampuan mengurus tadbir negeri dan negara semakin terhakis dari semasa ke semasa.
Dalam soal menjadikan parti itu sebagai parti mesra undang-undang, ia terbukti gagal apabila banyak kes membabitkan politik dan undang-undang, pembangkang berjaya mendapat kemenangan.
Dalam kes Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu melawan Kerajaan Malaysia berkait dengan ceramah di Negeri Sembilan, beliau memenangi kes perbicaraan di negeri itu atas hujah tidak perlu permit polis ketika berceramah dalam permis persendirian.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah membuat keputusan semua pihak khususnya kerajaan perlu menghormati hak rakyat untuk berhimpun di negara ini kerana ia termaktub dalam Perlembagaan selagi tidak menggugat keselamatan negara bukan keselamaan Umno.
Dan banyak lagi kes lain membuktikan Umno kecundang dengan undang-undang yang diciptanya sendiri, menunjukkan masa untuk BN menjadi kerajaan sudah tamat.
Rakyat tidak boleh membiarkan parti berterusan memegang polisi negara sebagai pemerintah bagaimanapun tidak menjadi masalah mereka membenarkan parti itu berpeluang menjadi pembangkang yang kuat agar parti-parti lain termasuk PAS, Parti Keadilan Rakyat dan sebagainya di bawah BA bersatu membentuk negara Malaysia baru iaitu negara berkebajikan menggantikan negara penuh penyelewengan, jenayah dan korupsi di bawah BN.
Sebagai pembangkang rakyat yang masih segan untuk meninggalkan BN berpeluang mengundi parti itu dalam pilihan raya umum akan datang seadanya agar tidaklah mereka terkilan sangat dengan kegagalan parti itu memerintah semula Malaysia pada masa akan datang.
Dengan itu demokrasi di Malaysia berkembang dengan subur, media diberi kebebasan atas dasar kebebasan bermaklumat selagi tidak mengancam dan menggugat keselamatan negara bukan seperti sekarang.
BN akan menyekat mana-mana media sekiranya ia dapati institusi berkenaan menggugat keselamatannya bukan negara.
Menggugat keselamaan negara atau kesetabilan politik negara hanya sebagai alasan untuk menyelamatkan Umno/BN supaya kekuasaannya sebagai kerajaan dikekalkan sehingga polis diperalatkan begitu rupa untuk tujuan tersebut.
Justeru rakyat perlu berfikir untuk melaksanakan tugas menjadikan BN sebagai pembangkang bukan lagi kerajaan mulai saat ini.
Thursday, January 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment