Sunday, January 20, 2008

PAS harap Anwar dapat bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-12

PAS harap Anwar dapat bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-12
Basiron Abdul Wahab Sun Jan 20, 08 4:57:06 pm MYT

KUANTAN 20 Jan (Hrkh) - PAS berharap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim dapat bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke -12 ini.

Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan di akhir majlis dialog dengan kaum Cina dan India, dekat sini semalam.
Beliau menegaskan PAS membuat persiapan rapi untuk menghadapi pilihan raya umum kali ini.
Mengulas mengenai calon, beliau berkata, badan perhubungan di setiap negeri telah menghantar senarai calon masing-masing untuk diperhalusi dan ditapis oleh Majlis Syura Ulama yang akan bermesyuarat Selasa ini (22 Januari).
Beliau yakin akan berlaku kejutan dalam pilihan raya kali ini dan ia akan memberi hasil yang lebih baik kepada Barisan Alternatif (BA) berbanding beberapa pilihan raya terdahulu.
Bagaimanapun, kejayaan PAS/BA bergantung kepada sejauh mana proses pilihan raya berjalan dengan bersih dan adil, katanya.
Ditanya mengenai kerjasama PAS-DAP, katanya PAS akan bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu manakala DAP di kawasan majoriti pengundi Cina.
"PAS tidak berkerjasama dengan DAP, PAS bertanding di kawasan Melayu, DAP di kawasan Cina," ujarnya.
Tuan Guru Abdul Hadi juga ditanya mengenai laporan media kononya Mursyidul Am PAS, Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat menempelak KeADILan kelmarin.
Mengulas isu itu beliau berkata, laporan itu adalah bohong kerana laporan di antara satu media dengan media lain adalah tidak sama.
Malah, katanya TV3 dalam laporannya tidak menyiarkan visual Mursyidul Am mengenai dakwaan itu sebaliknya hanya menyiarkan tulisan sahaja.

No comments: