Thursday, January 17, 2008

Ezam sedia tanding pilihan raya umum akan datang

Ezam sedia tanding pilihan raya umum akan datang
Azamin Amin dan Salmiyah Harun Thu Jan 17, 08 8:20:13 am MYT

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Hrkh) -Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) Mohamad Ezam Mohd Noor menyatakan bahawa tiga parti politik telah menawarkan 'kerusi' di kawasan masing-masing kepadanya untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang yang dijangka Mac ini.

Katanya beliau sedia bertanding namun perlu menimbangkannya terlebih dahulu dengan mengambil kira beberapa faktor dan akan membuat keputusan dalam jangka masa terdekat.
"Tiga parti politik telah menawarkan kerusi di kawasan masing-masing kepada saya untuk bertanding dalam pilihan raya ke-12 ini supaya dapat meneruskan perjuangan agenda 'perangi rasuah' di negara ini di peringkat yang lebih baik lagi.
"Saya sedia untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk sokongan masyarakat namun masih dalam proses pertimbangan dan akan membuat keputusan berkaitannya hujung bulan ini setelah mengadakan mesyuarat dengan Lembaga Pengarah Gerak," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemubual oleh wartawan Harakahdaily sewaktu mewawancara beliau secara eksklusif di pejabat beliau dekat sini pagi semalam.
Dalam wawancara berkenaan, Ezam menjelaskan secara terperinci objektif beliau termasuk menangkis pelbagai tohmahan serta spekulasi yang bakal dilemparkan kepadanya sekiranya mengambil keputusan untuk menyertai pilihan raya umum akan datang.
"Agenda perangi rasuah masih menjadi fokus saya sama ada saya bertanding ataupun tidak kerana misi saya supaya gejala bahaya ini dibanteras di peringkat atasan dan bawahan sehingga rakyat meletakkan rasuah sebagai musuh nombor satu dalam negera.
"Tetapi ada yang berpendapat saya boleh ketengahkan isu-isu rasuah dan mendedahkan kepincangannya dengan lebih effisien di peringkat Parlimen dan kerana itulah mereka (parti-parti politik) menawarkan kerusi kepada saya," katanya.
Dalam wawancara terbabit beliau menjelaskan kepada wakil Harakahdaily sekiranya beliau menerima tawaran untuk bertanding, beliau mempunyai tiga pilihan atau kaedah tersendiri termasuk memilih parti tertentu untuk menyertai pilihan raya tersebut bagi memastikan matlamat Gerak selama ini tercapai.
Sementara itu ketika ditanya kenapa 'iklim' kebangkitan rakyat memerangi rasuah di Malaysia lesu dan kurang menyerlah jika dibanding dengan negara jiran seperti Indonesia, Ezam menjelaskan bahawa ekonomi negara serta mata pencarian rakyat tidak terjejas teruk akibat gejala rasuah yang berleluasa namun akan memberi kesan buruk jika tidak dikekang daripada sekarang.
"Rasuah ini umpama batu karang, bila air pasang tak nampak tetapi bila surut baru orang sedar akan kesannya.
"Bila orang boleh makan dan tak jejaskan kehidupan, orang tak rasa rasuah ini bahaya tetapi bila menyebabakan orang lapar, tiada pekerjaan dan menyempitkan hidup mereka barulah rakyat tahu betapa buruknya rasuah kepada negara," katanya.

No comments: