Tuesday, February 12, 2008

Selangor catat pelaburan tertinggi dalam 10 tahun

Selangor catat pelaburan tertinggi dalam 10 tahun
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
SHAH ALAM 11 Feb. - Selangor mencatat pelaburan melebihi RM10 bilion pada tahun lalu, jumlah tertinggi bagi negeri itu dalam tempoh 10 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif , Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) Berhad, Datuk Mhd. Jabar Ahmad Kembali berkata, sebahagian besar pelaburan itu adalah dalam sektor perkilangan, yang terus menunjukkan pertumbuhan positif.
Katanya, bagi tempoh dari Januari hingga Oktober tahun lalu, Selangor mencatat pelaburan berjumlah RM8.2 bilion dalam sektor tersebut dengan RM4.6 bilion merupakan pelaburan tempatan, manakala bakinya merupakan pelaburan langsung asing (FDI).
Jumlah itu merupakan peningkatan berbanding sebanyak RM7 bilion pada 2006., katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mhd. Jabar berkata, jumlah rasmi pelaburan di Selangor bagi tahun 2007 akan diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz pada Khamis ini.
"Ini menunjukkan Selangor merupakan destinasi pelaburan pilihan bagi pelabur tempatan dan asing.
"Perkembangan ini turut didorong oleh dasar-dasar Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang berusaha meningkatkan sistem penyampaian yang lebih bersifat mesra pelabur," katanya.
Mhd. Jabar berkata, pihaknya akan meningkatkan kempen pelaburan di negeri itu membabitkan kawasan Lembah Klang kedua yang meliputi Kuala Langat serta Sepang pada tahun ini.
"Kita sedang mengadakan rundingan dengan beberapa syarikat serta pelabur asing, terutama dari Eropah serta Asia Timur yang menyatakan minat untuk membuka operasi mereka di kawasan berkenaan," katanya.
Menurutnya, SSIC turut memperuntukkan sebanyak RM75,000 bagi mewujudkan balai polis bergerak bagi meningkatkan tahap keselamatan di setiap kawasan perindustrian di negeri itu.

60% pengundi Johor ahli BN

60% pengundi Johor ahli BN
JOHOR BAHRU 11 Feb. - Lebih 60 peratus atau 877,000 daripada 1.3 juta pengundi berdaftar di Johor merupakan ahli parti komponen Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, perangkaan tersebut akan menjadi kekuatan kepada parti itu untuk memenangi semua 26 kerusi Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-12.
"Kekuatan parti BN di Johor adalah meluas dengan cawangan parti di merata kawasan dan jumlah keahlian yang begitu ramai.
"Kita boleh merujuk kekuatan ini dengan lebih 60 peratus pengundi di negeri ini adalah ahli BN," katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya BN Parlimen Pasir Gudang di Taman Johor Jaya, di sini hari ini.

Amaran kepada mahasiswa

Amaran kepada mahasiswa
PUTRAJAYA 11 Feb. - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana mahasiswa yang terlibat dalam kempen pilihan raya umum ke-12 termasuk menarik balik biasiswa mereka.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ketika ini pihaknya sedang menyiasat penglibatan segelintir mahasiswa dalam politik kepartian dan mereka bakal diambil tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
''Peraturan dalam AUKU jelas menegah pelajar universiti terlibat secara langsung dalam politik dan tindakan tegas berasaskan tahap kesalahan mereka boleh diambil termasuk digantung pengajian.
''Begitupun untuk membuang undi dalam pilihan raya umum itu adalah hak mereka, saya hanya minta mereka turun mengundi dan buat pilihan yang terbaik,'' katanya.

Jelaskan isu harga minyak

Jelaskan isu harga minyak
MUAR 11 Feb. - Semua jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) diminta memberi penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai isu kenaikan harga minyak yang menjadi punca peningkatan harga barangan yang digunakan parti pembangkang untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke-12.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, rakyat perlu mengetahui faktor utama yang mendorong kenaikan harga barangan iaitu harga pasaran minyak mentah dunia yang melambung tinggi sehingga melebihi AS$100 setong.
Menurutnya, rakyat juga perlu diberi penjelasan bahawa kerajaan BN selama ini sentiasa berusaha memastikan peningkatan harga minyak itu tidak membebankan pengguna melalui pemberian subsidi diesel dan petrol serta memperkenalkan 21 jenis barangan pada harga terkawal.
"Tindakan pembangkang yang menabur janji palsu bahawa mereka akan menurunkan harga minyak sebanyak 30 sen jika diberi peluang memerintah negara ini seolah-olah menggambarkan BN tidak prihatin dengan masalah yang dialami oleh rakyat berikutan kenaikan harga minyak dunia.
"Untuk itu, jentera pilihan raya perlu memberi penjelasan secukupnya kepada rakyat kenapa harga barangan naik, sedangkan kerajaan BN kini sedang berusaha memastikan mereka tidak terbeban dengan kenaikan tersebut," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Peti Undi kawasan Sungai Raya, Bukit Pasir dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan ihsan kepada empat penduduk kurang upaya di kawasan itu termasuk kerusi roda kepada ahli jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO cawangan Kampung Batu 7, Rahmah Kassim, 69, yang lumpuh akibat angin ahmar.
Muhyiddin berkata, jentera BN perlu mahir memberi penjelasan kepada rakyat kenaikan harga barang.
''Sebaliknya, cuba kita lihat dan fikirkan, kenapa peningkatan harga komoditi getah dan kelapa sawit tidak digembar-gemburkan, bukankah ia merupakan hasil kejayaan kerajaan BN memastikan harganya meningkat dan memberi keuntungan kepada para pekebun?''soalnya.
Sementara itu di PETALING JAYA, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, parti-parti pembangkang tidak mempunyai ruang untuk menggunakan isu kenaikan harga barang bagi mempengaruhi pengundi pada pilihan raya umum ke-12.
Katanya, ini kerana pihaknya berjaya memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu tersebut melalu siri jelajah di seluruh negara.
Beliau berkata, penjelasan itu meliputi peranan kerajaan untuk membantu rakyat terutama menerusi pemberian subsidi ke atas beberapa harga barangan terutama melibatkan barang-barang kawalan.
''Pembangkang kini ketandusan idea untuk mencari helah bagi meraih undi rakyat. Kita akui mengenai kenaikan harga barang tetapi ia tidak sebesar isu yang dikeluarkan mereka,'' katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Isu Harga Barang di Auditorium Dewan Sivik di sini hari ini.

Mafrel pemerhati pilihan raya

Mafrel pemerhati pilihan raya
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengiktiraf sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) sebagai pemerhati tempatan pada pilihan raya umum ke-12.
Pengiktirafan itu yang dilihat mampu menutup mulut pembangkang yang sering melabelkan pilihan raya di negara ini sebagai tidak bebas, telah dipersetujui oleh suruhanjaya pada 22 Januari lalu.
Surat pengiktirafan berkenaan ditandatangani oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman.
Dalam surat itu, Ab. Rashid melahirkan harapan bahawa peranan yang bakal dimainkan Mafrel akan membantu SPR memastikan pilihan raya berlangsung secara telus.
"Langkah itu juga akan menyumbang kepada usaha SPR untuk menanam keyakinan masyarakat umum mengenai integriti pilihan raya di Malaysia," jelasnya.
Salinan faksimile surat berkenaan dihantar oleh Mafrel ke pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Gagal tapisan BPR

Gagal tapisan BPR
SHAH ALAM 11 Feb. - Beberapa bakal calon yang telah disenaraikan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-12 di negeri ini digugurkan setelah didapati gagal melepasi tapisan pertama Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, pengguguran itu dibuat setelah beberapa nama calon yang terdiri daripada mereka yang menjadi wakil rakyat ketika ini serta muka-muka baru didapati mempunyai masalah tertentu termasuk kes rasuah.
Mohamad Khir yang enggan mendedahkan nama ahli-ahli politik berkenaan berkata, jumlah bakal calon yang gagal itu amat kecil berbanding 200 senarai calon Dewan Undangan Negeri dan Parlimen negeri ini yang telah diserahkan kepada BPR baru-baru ini.
"Sebelum ini, kita telah hantar senarai calon berkenaan kepada BPR untuk diteliti status mereka dan saya akui memang ada yang gagal melepasi tapisan tersebut.
"Saya tidak boleh beritahu dengan terperinci mengenai perkara ini kerana perjanjian kita (BN Selangor) dengan BPR adalah rahsia bagi mengelak berlakunya sebarang spekulasi buruk atau tuding-menuding terhadap mereka yang tidak terbabit.
"Namun, saya boleh katakan jumlahnya terlalu kecil dan BN Selangor masih lagi mempunyai ramai calon yang berkaliber dan berkelayakan," katanya di sini hari ini.
Mohamad Khir berkata, proses tapisan senarai calon BN tidak akan terhenti setakat itu.
Sebaliknya, beliau berkata, senarai calon itu seterusnya akan dihantar kepada pihak polis untuk tapisan kedua dan kemu-dian ke Jabatan Insolvensi serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan mereka bebas daripada jenayah, saman, status bankrap serta terlibat dalam masalah berkaitan dengan cukai.
"Hanya calon terbaik akan dipilih," ujarnya.

Score pacu ekonomi Sarawak

Score pacu ekonomi Sarawak
Oleh Misiah Taib
UNTUK RAKYAT: Abdullah bersama (dari kiri) Awang Tengah; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid; Abdul Taib; Jeanne; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Nor Mohamed melihat model projek hidro elektrik Bakun pada majlis pelancaran Score di Bintulu, semalam.
RM105.6 bilion pelaburan awal jana koridor pembangunan kelima negaraBINTULU: Koridor kelima negara - Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) yang dilancarkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, menerima pelaburan awal bernilai lebih RM105.6 bilion. Sebanyak 13 memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani pada hari pelancaran koridor itu dengan pelaburan terbesar sebanyak RM50 bilion membabitkan kerjasama antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam ucapannya pada majlis pelancaran Score di Bintulu Promenade, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan awal RM5 bilion bagi pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk memacu koridor itu. Abdullah berkata, peruntukan itu disediakan melalui kajian semula projek di bawah RMK-9 serta penambahan peruntukan dalam kajian separuh penggal rancangan berkenaan. "Pembangunan Koridor Sarawak keseluruhannya memerlukan pelaburan lebih RM300 bilion menjelang 2030," katanya pada majlis dihadiri kira-kira 20,000 orang yang disifatkan Perdana Menteri sebagai yang teramai dalam pelancaran koridor wilayah di negara ini.
Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Laila Taib; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Perancangan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan. Ini adalah koridor terakhir dilancarkan Abdullah selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor; Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER); Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC). Score membabitkan kawasan 70,709 kilometer persegi di wilayah tengah Sarawak, iaitu kira-kira 56.8 peratus daripada saiz seluruh negeri ini seluas 124,449 kilometer persegi. Koridor itu merangkumi kawasan sepanjang 320 kilometer dari Tanjung Manis di Sarikei ke Similajau di Bintulu. Dalam tempoh 23 tahun sehingga 2030, Score dijangka membabitkan pelaburan berjumlah RM334 bilion dengan Kerajaan Pusat menyumbang 15 peratus, kerajaan negeri (empat peratus), syarikat berkaitan kerajaan (23 peratus) dan 58 peratus lagi pelaburan swasta.
Sambil mengajak seluruh rakyat Sarawak bersama-sama merealisasikan wawasan Score, Abdullah berkata, pelaksanaan koridor itu mensasarkan membanteras sepenuhnya kemiskinan tegar di negeri ini menjelang 2030. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak pula dijangka meningkat lima kali ganda kepada RM118 bilion pada 2030, berbanding RM23 bilion sekarang. Selain itu, 1.6 juta peluang pekerjaan akan diwujudkan, termasuk lebih 830,000 pekerjaan dalam industri yang ditekankan di Koridor Sarawak. Abdullah berkata, Sarawak menjadi negeri terakhir untuk pelancaran koridor pembangunan wilayah kerana negeri ini sangat luas sehingga memerlukan perancangan rapi dan teliti. "Pembangunan Koridor Sarawak bersifat 'broad-based' yang merangkumi pembangunan ekonomi, perindustrian dan modal insan. "Sasaran kita adalah untuk membawa pembangunan ke seluruh pelosok Sarawak, menjana dan mengagihkan peluang bermutu secara meluas dan memastikan rakyat Sarawak dapat menikmati pendapatan lebih tinggi, yang diagihkan secara lebih rata dan menyeluruh. "Matlamat kita adalah untuk mendidik dan membuka peluang kepada rakyat Sarawak, khususnya di pedalaman dan kawasan kurang maju untuk turut serta dalam ekonomi moden," katanya. Perdana Menteri berkata, Sarawak bertuah kerana dianugerahkan kekayaan sumber alam, misalnya wilayah tengah Sarawak mempunyai pinggir laut yang panjang serta kawasan tanah suai tani yang besar. "Kawasan ini juga kaya dengan sumber tenaga asli seperti tenaga hidro, arang dan gas asli yang dapat menjana tenaga bagi tujuan perindustrian atau dimajukan sebagai satu industri eksport. "Atas dasar ini, kita memutuskan Koridor Sarawak dibangunkan di wilayah tengah Sarawak merangkumi Bintulu, Kapit, Sibu, Mukah dan Sarikei," katanya. Beliau berkata, tenaga menjadi teras utama Score dan elemen terpenting bagi menjayakan pembangunan koridor berkenaan. Sepuluh industri berkeutamaan tinggi dikenal pasti untuk diberi penekanan khusus iaitu industri berasaskan petroleum dan gas; aluminium; keluli; kaca; minyak sawit; pembalakan; kejuruteraan marin; ternakan serta perikanan dan akuakultur. Industri itu akan dijadikan asas membangunkan industri hiliran, sekali gus membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berakar dan berkembang di negeri ini. Abdullah juga memberi jaminan dalam membangunkan Sarawak, kerajaan akan memastikan alam sekitar dan khazanah alam negeri sentiasa terpelihara. "Saya sudah mengarahkan supaya satu kajian 'Green Development Framework' dihasilkan untuk memastikan Koridor Sarawak dilaksanakan secara mesra alam," katanya. Beliau juga memuji langkah proaktif kerajaan negeri menubuhkan badan pelaksana khas, Regional Corridor Development Authority of Sarawak (Recoda) yang bertanggungjawab bagi melaksana dan memantau pembangunan Koridor Sarawak. INFO: 13 MoU pada pelancaran Score
Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mewujudkan komitmen bagi menyediakan struktur dan asas kerjasama serta usaha sama membabitkan pelaburan RM50 bilion.
Pelaksanaan projek loji penyaluran tenaga termasuk pembinaan dua kabel dasar laut untuk menghubungi projek Hidro Bakun dengan Semenanjung membabitkan pelaburan bernilai RM22 bilion antara SEB dan Kumpulan Sime Darby Berhad.
Projek membangunkan penjanaan dan penyaluran tenaga di Sarawak membabitkan pelaburan antara RM3 bilion hingga RM20 bilion antara SEB, RHB Islamic Bank Berhad, Unicorn International Islamic Bank Malaysia Berhad, Asian Finance Bank Berhad dan Kuwait Finance House.
Membekalkan tenaga antara 900 megawat sehingga 1,200 megawat kepada Kilang Peleburan Alumunium yang akan dibina di Similajau, Bintulu membabitkan pelaburan bernilai RM5.25 bilion antara SEB, Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS) dan Rio Tinto Aluminium Limited (RTA).
Membangunkan kluster bersepadu keluli di Sarawak membabitkan pelaburan AS$1.5 bilion antara CMS, MMC Corporation Bhd dan Pan Kingdom Invesment Co.
Membekalkan tenaga tambahan sebanyak 510 megawat kepada Kilang Peleburan Alumuminium yang akan dibina di Mukah menjelang 2010 membabitkan pelaburan RM2.5 bilion antara SEB dan Press Metal Berhad (PMB).
Membina Kilang Penapisan Zinc Electro di Bintulu membabitkan pelaburan AS$350 juta antara Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Asia ZincOX Resources Plc United.
Membangunkan projek tenaga dan sumber biofuel diperbaharui membabitkan pelaburan AS$300 juta antara Kumpulan Carbon Corporation Sdn Bhd dan Japan Carbon Company Limited.
Menjalankan perniagaan dalam industri perikanan dan akuakultur membabitkan pelaburan RM100 juta antara Konsortium Galdasar Sdn Bhd (Malaysia) dan Yuh Yow Fishery Company Limited.
Membangun dan menyelenggara limbungan kapal membabitkan pelaburan RM40 juta antara Konsortium Galdasar Sdn Bhd (Malaysia) dan Shei Chui Oceanic Enterprise Company Limited.
Menyediakan latihan kepada kakitangan teknikal Syarikat Alumunium Sarawak (Salco) antara Kumpulan CMS, Rio Tinto Alumunium dan Matt Liddy dan International College of Advanced Technology Sarawak (ICATS).
Menyediakan teknologi kepada Salco antara Kumpulan CMS dan Rio Tinto Aluminium Limited.
Menyediakan 1.6 juta ADT kayu palpa kepada Acacell setiap tahun antara Acacia Cellulose International Sdn Bhd (Acacell) dan Sarawak Planted Forest Sdn Bhd (SPF).

1,031 anggota tentera didaftar pengundi di DUN PAS

1,031 anggota tentera didaftar pengundi di DUN PAS
Muda Mohd Noor Feb 11, 08 1:54pm
PAS mendakwa Barisan Nasional (BN) telah memindahkan pengundi ke beberapa kawasan tertentu untuk membantu mereka menang dalam pilihanraya umum akan datang. Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemindahan pengundi berlaku di Kedah dan Terengganu kerana kedua-dua negeri tersebut merupakan kubu kuat PAS.Sebagai contoh, katanya, 1,031 pengundi di kalangan anggota tentera dari kem Sungai Petani dipindahkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek dalam kawasan Parlimen Sik.Belantik merupakan salah satu daripada lima DUN yang dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya umum 2004.
Empat lagi kerusi negeri yang dimenangi oleh PAS ialah Tokai, Sungai Limau, Anak Bukit dan Bukit Pinang.
PAS hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Kedah, iaitu Pendang.
"Pendatang asing juga dibawa masuk untuk mengundi di situ kerana Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hanya menang dengan undi pos dalam pilihanraya umum 1999."Perkara yang sama juga berlaku di Terengganu di mana orang dari negeri lain didaftar sebagai pengundi di negeri tersebut," katanya dalam sidang media di ibupejabat PAS di ibu negara semalam.Sebelum itu beliau menghadiri mesyuarat bulanan PAS yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin utama parti itu bagi membincangkan isu semasa dan persiapan parti menghadapi pilihanraya umum.Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau juga percaya perkara yang sama juga berlaku di tempat-tempat lain khususnya di kawasan yang menjadi kubu kuat PAS.Jumpa SPRBeliau mendakwa, BN melakukan penipuan semata-mata untuk menang dalam pilihanraya umum akan datang.Bagaimanapun, Abdul Hadi memberi amaran bahawa rakyat Terengganu tidak menerima pengundi luar yang mahu mengundi secara haram."Saya menasihatkan mereka supaya tidak datang ke Terengganu jika mahu selamat," katanya lagi.Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar yang hadir sama dalam sidang media tersebut berkata, anggota tentera dari Kem Sungai Petani itu dipindahkan ke DUN Belantek selepas tempoh bantahan senarai pemilih tamat."Semasa pameran daftar pemilih terakhir (bagi suku tahun terakhir tahun lalu), kami mendapati nama-nama anggota tentera terbabit tiada dalam senarai pemilih tetapi berjaya dikesan selepas tempoh bantahan," katanya.Berikutan itu, kata Mahfuz Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan PAS akan mengadakan pertemuan dengan SPR di Putrajaya esok bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.

Bendahari UMNO, betui ka hang tipu RM 1,318,000

Monday, February 11, 2008

Bendahari Umno, betui ka hang tipu RM1,318,000?
Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin mendedahkan, pada 31 November 2007, seorang ahli perniagaan, Lu Leong Seng membuat laporan polis ke atas Bendahari Umno, Datuk Abdul Azim Mohamed Zabidi di Balai Polis Kajang.
"(Sehingga) hari ini, sudah tentu dan seperti yang dijangkakan, tidak ada tindakan diambil oleh pihak polis," dakwa beliau.Laporan itu dibuat, katanya, kerana Abdul Azim, yang juga Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), didakwa enggan mengembalikan saham berjumlah RM1,318,000.Menurut Raja Petra, perkara itu bermula apabila Transquay Ventures Sdn Bhd hendak disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.Bagi membolehkan penyenaraian , katanya lagi, Abdul Azim dilantik sebagai pengarah syarikat itu pada 20 Oktober 2003.Perlantikan itu, menurut Raja Petra, dibuat berikutan dakwaan Abdul Azim bahawa syarikat itu mestilah menjadi syarikat Bumiputera untuk layak di senaraikan.Berikutan itu, kata Editor Malaysia Today itu lagi, separuh dari saham syarikat itu dipindahmilik kepada Abdul Azim manakala separuh lagi dipindahmilik kepada seorang lagi Bumiputera.Setelah saham itu berada di tangan Bumiputera sepenuhnya, menurut pendedahan itu, barulah ia layak disenaraikan."Azim 'membayar' kepada Lu Leong Seng untuk saham-saham tersebut pada 5 April 2004 melaui tiga cek RHB Bank. Penjualan itu bukanlah penjualan sebenarnya tetapi hanya transaksi kertas untuk menunjukkan Azim benar-benar memiliki saham tersebut dan telah membelinya," kata Raja Petra.Lu pula, katanya lagi, hendaklah membayar sejumlah wang, tetapi bukan kepada Abdul Azim kerana Bendahari Umno itu tidak mahu dikesan menerima wang tersebut."Sebaliknya, Lu dikehendaki membayar kepada Tan Boon Keong, atau BK Tan yang terkenal keji itu. Pembayaran tersebut dibuat melalui empat cek Public Bank Berhad pada 8 April 2004," dakwa beliau.Bagaimanapun, katanya lagi, penyenaraian itu tidak berlaku dan Lu membatalkan persetujuan yang dibuat dengan Abdul Azim dan meminta Bendahari Umno itu mengembalikan saham serta bayaran yang telah dikemukakan oleh Lu."Tetapi Azim enggan mengembalikan saham atau bayaran berjumlah berjumlah RM1,318,000 yang dikemukakan kepada Tan yang bertindak sebagai penamanya. Pada masa yang sama, Azim dan rakannya BK Tan memiliki syarikat tersebut dan wang tunai berjumlah RM1,318,000," dakwa beliau.Sebelum ini, Raja Petra pernah mendakwa bahawa Tan ialah kepala sindiket jenayah terancang yang menguasai dadah, persundalan, ceti haram dan rangkaian perjudian haram di seluruh Malaysia. Beliau didakwa juga menguasai sistem maklumat berkomputer polis.Dalam akuan berkanun ASP Mior Fahim Ahmad, Tan disebutkan oleh beliau sebagai "mempunyai perhubungan yang amat baik dengan Tan Sri KPN dan akan mendengar setiap cadangan dan nasihat BK Tan". (Sambil itu, harap baca pesanan penting dalam blog kawan kita, Dr Tokasid - MYDIN..........how insensitive. Boikot!!)

Apa terjadi laporan polis ke atas Bendahari Umno?

Apa terjadi laporan polis ke atas Bendahari Umno?
Abdul Halim Mohd Rashid Mon Feb 11, 08 3:05:08 am MYT
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menuntut polis menyatakan sejauh manakah tindakan yang diambil berikutan laporan polis seorang ahli perniagaan, Lu Leong Seng terhadap Bendahari Umno, Datuk Abdul Azim Mohamed Zabidi.
-->
"Ketika semakin ramai rakyat yang yakin bahawa polis hanya sibuk memerangi dan mengganasi perhimpunan aman demi perhimpunan aman, kita hendak tahu adakah polis bertindak terhadap aduan itu.
"Jika polis bertindak, sejauh manakah tindakan yang diambil.
"Jika tidak bertindak, pihak polis bertanggungjawab menerangkan kepada rakyat mengapakah tidak ada tindakan diambil," kata beliau sambil mengucapkan terima kasih kepada Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang mendedahkan perkara itu.
Raja Petra mendedahkan, pada 31 November 2007, Lu membuat laporan polis ke atas Abdul Azim di Balai Polis Kajang.
"(Sehingga) hari ini, sudah tentu dan seperti yang dijangkakan, tidak ada tindakan diambil oleh pihak polis," dakwa beliau.
Laporan itu dibuat, katanya, kerana Abdul Azim, yang juga Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), didakwa enggan mengembalikan saham berjumlah RM1,318,000.
Menurut Raja Petra, perkara itu bermula apabila Transquay Ventures Sdn Bhd hendak disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.
Bagi membolehkan penyenaraian , katanya lagi, Abdul Azim dilantik sebagai pengarah syarikat itu pada 20 Oktober 2003.
Perlantikan itu, menurut Raja Petra, dibuat berikutan dakwaan Abdul Azim bahawa syarikat itu mestilah menjadi syarikat Bumiputera untuk layak di senaraikan.
Berikutan itu, kata Editor Malaysia Today itu lagi, separuh dari saham syarikat itu dipindahmilik kepada Abdul Azim manakala separuh lagi dipindahmilik kepada seorang lagi Bumiputera.
Setelah saham itu berada di tangan Bumiputera sepenuhnya, menurut pendedahan itu, barulah ia layak disenaraikan.
"Azim 'membayar' kepada Lu Leong Seng untuk saham-saham tersebut pada 5 April 2004 melaui tiga cek RHB Bank. Penjualan itu bukanlah penjualan sebenarnya tetapi hanya transaksi kertas untuk menunjukkan Azim benar-benar memiliki saham tersebut dan telah membelinya," kata Raja Petra.
Lu pula, katanya lagi, hendaklah hendaklah membayar sejumlah wang, tetapi bukan kepada Abdul Azim kerana Bendahari Umno itu tidak mahu dikesan menerima wang tersebut.
"Sebaliknya, Lu dikehendaki membayar kepada Tan Boon Keong, atau BK Tan yang terkenal keji itu. Pembayaran tersebut dibuat melalui empat cek Public Bank Berhad pada 8 April 2004," dakwa beliau.
Bagaimanapun, katanya lagi, penyenaraian itu tidak berlaku dan Lu membatalkan persetujuan yang dibuat dengan Abdul Azim dan meminta Bendahari Umno itu mengembalikan saham serta bayaran yang telah dikemukakan oleh Lu.
"Tetapi Azim enggan mengembalikan saham atau bayaran berjumlah berjumlah RM1,318,000 yang dikemukakan kepada Tan yang bertindak sebagai penamanya. Pada masa yang sama, Azim dan rakannya BK Tan memiliki syarikat tersebut dan wang tunai berjumlah RM1,318,000," dakwa beliau.
Sebelum ini, Raja Petra pernah mendakwa bahawa Tan ialah kepala sindiket jenayah terancang yang menguasai dadah, persundalan, ceti haram dan rangkaian perjudian haram di seluruh Malaysia. Beliau juga didakwa menguasai sistem maklumat berkomputer polis.
Dalam akuan berkanun ASP Mior Fahim Ahmad, Tan disebutkan oleh beliau sebagai "mempunyai perhubungan yang amat baik dengan Tan Sri KPN dan akan mendengar setiap cadangan dan nasihat BK Tan".

BN jajah fikiran melalui media, siapa 'opinion leader'?

BN jajah fikiran melalui media, siapa 'opinion leader'?
Ali Bukhari Amir Mon Feb 11, 08 4:28:42 pm MYT
Akhbar Berita Harian semalam menyiarkan laporan jelajahnya ke Kota Bharu di KB Mall, Jalan Hamzah, yang berhampiran tempat menunggu bas. Yang mungkin ingin disampaikan oleh dalang-dalang akhbar itu ialah saluran media mereka telah berjaya 'menakluk' dan 'menjajah' pemikiran rakyat Kelantan.
-->
Sama ada pesanan mesej itu sampai atau tidak ke dalam ruang pengetahuan kita, tidaklah dapat diukur kerana ia melibatkan kejiwaan yang sulit dicerap penglihatan. Tapi, bagaimanapun, mesej itu jelas apabila sekeping gambar seolah-olah menunjukkan penerimaan rakyat Kelantan terhadap lidah kerajaan BN di pasaraya itu baru-baru ini.
Yang lebih penting, sejauhmana susunan kekuatan akhbar serta pasukan bloggers dapat menghebahkan isi kandungan manifesto kali ini? Paling penting, sejauhmana media kita dapat menjadi wadah memudahkan dialog antara pengundi dan pimpinan pembangkang bagi merincikan lagi maksud manifesto?
Manifesto kerajaan, walaupun tidak kuat, namun ia masih lagi bergerak dengan kekuatan media. Kedudukan ini tentu tidak adil. Tetapi, dalam keterbatasan ini, perlulah digunakan semaksima mungkin setiap inci ruang maya seperti internet, YouTube dan lain-lainnya.
Pertama, ia perlu melibatkan jawapan ke atas setiap persoalan rakyat yang dibangkitkan melalui media alternatif itu sendiri seperti surat pembaca. Seterusnya, barangkali ceramah rakyat sewajarnya bersifat dua hala dan bukan sehala. Dan menjawab persoalan rakyat itu adalah lebih utama berbanding penerangan isu-isu semasa.
Tanggungjawab media dalam usaha menerangkan jawapan pimpinan dalam konteks ini sememangnya memerlukan kekuatan daya pemikiran pimpinan rakyat sendiri. Lemahnya media alternatif bergantung terhadap lemahnya pimpinan menjawab persoalan rakyat.
Kedua, media pembangkang seharusnya dapat beroperasi sebagai penghadang terhadap propaganda parti lawan.
Dalam kajian Paul Lazarsfeld, Bernard Berelson dan Hazel Gaudet pada 1948, mereka ini telah membangunkan teori komunikasi yang dinamakan 'Two-step Flow' berdasarkan satu kajian bertajuk The People's Choice yang menganalisa proses membuat keputusan rakyat Amerika dalam kempen pilihan raya pemilihan presiden pada tahun 1940.
Kajian tersebut mencadangkan bahawa komunikasi daripada media-media akan melalui 'opinion leader' terlebih dahulu sebagai 'badan penapis' sebelum melalui rakyat. Walhal, teori sebelumnya mengandaikan bahawa media akan berterusan tiba ke minda khalayak sasaran seperti rakyat tanpa sebarang penapisan.
Kepada sebilangan pakar komunikasi, teori pemimpin pendapat ini membuktikan bahawa wujudnya penemuan terbaru yang telah mengubah sikap dan pemikiran mereka terhadap kekuatan media mutakhir ini. Pada ketika ini, masih belum wujud blog seperti sekarang.
Lazarsfeld mencadangkan bahawa, "idea lazimnya turun daripada radio dan bahan bercetak menerusi pemimpin pendapat dan seterusnya mengalir kepada masyarakat."
Ringkasnya, rakyat ada kecenderungan untuk dipengaruhi keputusan mereka melalui pertemuan bersemuka bersama calon berbanding kekuatan media massa. (Lazarsfeld, Menzel, 1963).
Pandangan calon-calon boleh disekat oleh suatu kumpulan yang dinamakan sebagai 'opinion leader' atau pun 'pemimpin pendapat'. Pemimpin pendapat ini boleh muncul dalam watak ketua keluarga yang akan bertindak sebagai badan penapis yang menyekat kebanjiran fakta yang dilihat sebagai salah ke atas ahli keluarganya. Hal ini juga boleh disamakan dengan pimpinan parti.
Bagaimanakah blog dan bloggers dapat memainkan peranan sebagai pemimpin pendapat?
Rasanya, dalam suasana sekarang, adalah menjadi kewajipan ke atas setiap wakil calon di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi mewujudkan blog sendiri yang dilengkapkan dengan pautan video rakaman ceramah mereka atau ceramah peribadi yang boleh dibuat secara peribadi bersama rakan-rakan untuk dimasukkan dalam YouTube dan sebagainya.
Memukat atau memancing undi?
Sebetulnya blogger persendirian mampu beraksi, memainkan peranan sebagai pemimpin pendapat sekali gus membantu para calon memenangi hati pengundi di kawasan Parlimen umum, khasnya di kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Dalam bidang dakwah misalnya Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Mustafa Masyhur telah memperkenalkan konsep Dakwah Fardiyyah atau Dakwah Peribadi yang cukup berkesan dalam membina peribadi watak Muslim yang baik.
Hal ini boleh diterapkan dalam kegiatan merayu undi. Di sinilah dakwah fardiyyah boleh disamakan dengan kehadiran pemimpin pendapat tadi.
Jikalau ceramah dilihat sebagai memukat undi, dakwah peribadi adalah usaha memancing undi yang cukup berkesan. Dan, penggunaan blog adalah jambatan awal atau anak tangga pertama yang akan menghubungkan calon terhadap para pengundi di kawasannya.
Persoalannya kini, sejauhmanakah calon-calon pilihan raya berjiwa bloggers? Kekuatan calon pilihan raya berjiwa bloggers tentu berkesan dengan andaian bahawa hampir semua tempat di Malaysia dilengkapkan dengan prasara teknologi maklumat.
Jika calon-calon ini tidak berjiwa blogger, mereka boleh mengupah anak-anak muda yang memang berminat dengan aktiviti ini. Dalam pilihan raya Amerika Syarikat, semua aspek ini telah dimanfaatkan oleh calon-calon sama ada di pihak Democrats atau Republican.
Michael Scherer, seorang koresponden telah membuat liputan berhubung perkembangan Mike Huckabee di New Hampshire, diikuti Ketua Biro The Washington Jay Carney yang mengikuti perkembangan John McCain di tempat yang sama.
Malahan, Joe Klein, seorang kolumnis politik tersohor sering berada di belakang Hillary Clinton dalam kempen calon wanita berambut perang itu. Yang menariknya, Klein adalah seorang blogger di Swampland, yang memiliki pautan bersama Time.com.
Jangan lupakan seorang lagi blogger, Ana Marie Cox yang juga bertugas menulis laporan berhubung kegiatan politik dan ceramah John McCain di New Hampshire. Secara ringkas di sini, dapat diperhatikan kedudukan blogger yang cukup dihormati calon-calon sendiri.
Melalui blog inilah, calon-calon boleh berkomunikasi dengan penduduk setempat untuk menjawab masalah penduduk setempat yang tiada kaitannya dengan politik di peringkat kebangsaan.
Dr Mohd Nor Nawawi (Cesmacs) telah mengemukakan suatu pandangan yang mungkin boleh dilaksanakan calon pilihan raya. Hal ini dibangkitkan dalam suatu acara Penggerak Demokrasi ketika muhasabah pilihan raya Palestin antara Hamas dan Fatah sebelum ini.
"Saya melihat pandangan calon-calon Presiden ini boleh dikirim menerusi telefon bimbit pengguna. Dan hal ini tidak memerlukan banyak masa, kos perbelanjaan tinggi,"katanya.
Sebuah artikel menyebutkan bahawa kempen elektronik seperti ini dengan mudah dapat dimuat turun melalui YouTube.com. Persoalannya, sejauhmana calon pilihan raya dapat beraksi seperti bloggers sekali gus bertindas sebagai pemimpin pendapat dengan baik?
Mungkin, satu contoh terbaik setakat ini dapat dilihat kepada Ketua Pembangkang dalam Parlimen yang memanjangkan ideanya di Dewan Rakyat kepada pengetahuan khalayak.
Lim Kit Siang memulakan spekulasi mengenai pembubaran Parlimen yang dijangka akan berlaku pada 13 Februari. Tambahnya, penamaan calon mungkin jatuh pada 21 Februari, diikuti tarikh membuang undi pada 1 Mac depan.
"Secara kebetulan, pada tarikh tersebut (13 Februari) adalah bersamaan hari ke-7 dalam tahun Cina. Abdullah sebagai warga Pulau Pinang seharusnya sedar bahawa hal ini akan berkembang menjadi suatu masalah lain," kata beliau.
Lim menambah, jika hal ini berlaku, maka tindakan Abdullah bukan sahaja menunjukkan bahawa beliau tidak menghormati perayaan Tahun Baru Cina, malah tidak menghormati hari Pai Tian Gong yang jatuh pada hari ke-9, dengan merujuk kepada Tahun Baru Lunar.
"Inilah tarikh kelahiran Maharaja Jed. Dan ia adalah peristiwa penting kepada masyarakat Hokkien di Pulau Pinang," tulisan beliau dipetik.
Secara sinis, Lim turut bertanya: "Kenapakah Abdullah seolah-olah berasa 'malu' dalam meyakinkan khalayak bahawa tarikh pembubaran Parlimen itu akan diisytiharkan selepas perayaan Chap Goh Mei pada 21 Februari?"
Lim menambah, hal itu perlu dilakukan jika Abdullah ingin menunjukkan rasa hormat dan kepekaannya kepada semua pimpinan kerajaan dan rakyat Malaysia yang berbilang kepercayaan, budaya dan agama.
"Jika pembubaran Parlimen berlaku selepas perayaan hari Chap Goh Mei, maka ada lagi beberapa tarikh penting yang menjadi spekulasi. Iaitu, pembubaran berlaku pada tarikh 22 Februari, penamaan calon pada 27 Februari atau 1 Mac di mana hari pengundian akan berlaku pada 8 Mac depan," kata beliau lagi.
Pandangan Lim ini mewakili pandangan kaum Tionghua dan kesannya sebagai 'Opinion Leader' tetaplah berpengaruh dalam beberapa kes tertentu. Jika tidak, kenapakah Menteri Penerangan Dato' Zainuddin Maidin sehingga sanggup membawa komentar pengunjung blog Lim ke Parlimen?
Tambah menarik, Zam 'sudi' menyiarkan rakaman itu di RTM.
Lim setidak-tidaknya berjaya mengheret suatu isu sebagai pemimpin pendapat.
Kita kini menunggu beberapa wakil rakyat dan calon pilihan raya yang mampu bertindak sebagai pemimpin pendapat yang berkesan sebagai badan penapis media propaganda kerajaan.

Putar belit kenyataan - Anwar bidas Najib

Putar belit kenyataan - Anwar bidas Najib
Mohd Sabri Said Mon Feb 11, 08 2:43:44 pm MYT
BATU KAWAN, 11 Feb (Hrkh) - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeAdiLan), Dato' Seri Anwar Ibrahim membidas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak yang sengaja memutar belitkan pandangannya mengenai penurunan harga minyak, kerana Najib mengetahui ianya boleh di atasi untuk memberi kelesaan pada keseluruhan rakyat.

Tegasnya, minyak di negara ini bermutu dan bernilai tinggi apabila diekspot maka mustahil ia tidak boleh diturunkan bilamana keuntungan Petronas berkali ganda.
"Penurunan petrolium negara tidak akan mengbangkrapkan negara malahan mengimbangkan ekonomi yang sedia ada. Jika dia (Najib) tak percaya serahkan pada Barisan Alternatif (BA) memerintah.
"Kita boleh laksanakan apa yang difikirkan buntu oleh Barisan Nasional (BN)," kata Anwar ketika berceramah di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Juru semalam.
Menurut Anwar, jika BA menang gaji minima akan dinaikan ke RM1,500 sebulan berbanding sekarang ada rakyat yang berpendapatan di bawah paras kemiskinan. Sedangkan, gaji kepimpinan BN berkali ganda dengan elaun yang melimpah ruah.
Apakah, rakyat mahu melihat rakan mereka terus hidup melarat tanpa pembelaan walhal wang negara digunakan terhadap projek mega yang keuntunganya kembali kepada kroni.
"Itulah natijah jika terus berikan sokongan pada BN. Mereka hanya pentingkan kroni bukanya bermatlamat membantu rakyat terutamanya rakyat bawahan, " katanya dalam program anjuran KeAdilan Bahagian Batu Kawan.
Rakyat ujarnya, boleh menilai apa tujuan sebenar membina koridor Wilayah Utara atau Timur, Wilayah Iskandar dan kini menular ke Sarawak semuanya mempunyai agenda dan kepentingan tersembunyi.
Di Pulau Pinang dan utara semenanjung dihadiahkan 'Koridor Wilayah Utara' di mana dalam majlis perasmianya sahaja di Kedah pada penghujung tahun lalu jutaan ringgit dihabiskan.
"Siapa yang untung disebalik projek 10 tahun akan datang adakah rakyat macam kita atau kepimpinan BN. Contoh paling ketara ialah RapidPenang dan akan datang Monorel di Pulau Pinang siapa punya, " tanya beliau di sambut hadirin 'anak Pak Lah!.
Selain memberikan penurunan harga minyak, tol dan gaji minima dinaikan, BA juga berjanji bila menguasai Malaysia akan memberikan pendidikan percuma pada rakyat tidak macam sekarang mereka asyik menipu.
"Rakyat ditipu oleh Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Hussein kononnya nak bagi yuran percuma tapi apa yang berlaku hanya mansuh yuran RM4.90 tapi kena bayar RM100.00 lebih pada sekolah, " tegasnya.
Dalam ceramahnya, Anwar menggesa rakyat supaya tidak menjadi 'Khadam Umno' lagi dalam Pilihan Raya Umum ke 12 nanti kerana kepimpinan atasan akan melatu sekiranya Barisan Nasional (BN) menang besar sepertimana sebelum ini.
Sebaliknya, rakyat di era Teknologi Maklumat (IT) menjadi rakyat yang cerdik dan tahu menilai di manakan harga diri sebenar untuk memastikan negara ini makmur jauh daripada penindasan pemimpin, rasuah, penyelewengan dan kronisme.
"Biar yang lepas jadikanlah teladan. Kita harus bangkit dalam satu suara untuk tidak lagi menyokong kerajaan yang kuropsi. Apatah lagi menjadi khadam kepada Umno yang langsung tidak ada hati perut membantu mengatasi kegawatan negara sekarang ini, " jelasnya.
Turut ceramah pada malam itu ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mujahid Yusuf Rawa dan Ketua Perhubungan KeAdiLan Pulau Pinang, Dato' Zahrin Hashim

Thursday, February 7, 2008

PKR bertanding 7 kerusi di Terengganu

PKR bertanding 7 kerusi di Terengganu
KUALA TERENGGANU 6 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir pasti bertanding di tujuh kerusi iaitu lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen di Terengganu pada pilihan raya umum ke-12.
Timbalan Pengerusi PKR Terengganu, Ng Chai Hing berkata, secara prinsipnya, Pas bersetuju untuk mengagihkan tujuh kerusi tersebut kepada PKR bagi membolehkan pakatan pembangkang itu bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, satu daripadanya ialah kerusi Parlimen Kemaman yang juga ditandingi oleh calon PKR pada pilihan raya lepas manakala kerusi DUN pula mungkin di lima daripada lapan kawasan Parlimen di negeri ini.
''Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai perkara ini akan diputuskan oleh pemimpin tertinggi PKR setelah berbincang dengan pemimpin Pas Pusat selepas perayaan Tahun Baru Cina ini.
''Daripada perbincangan dengan pemimpin Pas Terengganu sejak tahun lepas, secara prinsipnya mereka bersetuju untuk memberi laluan kepada PKR,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dengan pemberian tujuh kerusi itu kepada PKR bermakna parti itu memperoleh lima kerusi tambahan untuk bertanding di Terengganu pada pilihan raya kali ini.
Pada pilihan raya umum 2004, PKR hanya diberi satu kerusi Parlimen iaitu di Kemaman dan satu kerusi DUN di Telemong, bagaimanapun calon parti itu tewas di kedua-dua kerusi berkenaan.
Menurut Chai Hing, PKR dan Pas negeri ini sudah bersetuju mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang.
''Kita akan bertanding satu lawan satu dengan calon BN," ujarnya yang enggan menyebut calon-calon yang akan diketengahkan PKR pada pilihan raya kali ini.

Kurangkan kadar jenayah jadi keutamaan PM

Kurangkan kadar jenayah jadi keutamaan PM
Yeow Boon Kiat Feb 6, 08 5:32pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata keutamaan beliau ialah untuk mengurangkan kadar jenayah sebelum menubuhkan satu mekanisme bagi memantau pasukan polis.Katanya, beliau perlu melaksanakannya secara berperingkat dan menegaskan bahawa tugas paling penting sekarang ialah mengambil lebih remai anggota polis untuk memerangi jenayah.Perdana Menteri memberitahu demikian sewaktu mengadakan perjumpaan selama 90 minit dengan persatuan Cina, Hua Zong, di pejabatnya di Putrajaya petang semalam.Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop turut hadir manakala Hua Zong diwakili oleh 19 ahli jawatankuasanya.Ketika dihubungi hari ini, Presiden Hua Zong, Datuk Seri Lim Gait Tong berkata mereka menggesa supaya pasukan polis meningkatkan kemahiran mereka menjalankan siasatan.Isu pendidikanSelain jenayah, Hua Zong turut membangkitkan isu pendidikan. Persatuan itu menyarankan agar bangunan SRJK (C) Damansara digunakan sepenuhnya."Kami mengesyorkan kepada Perdana Menteri supaya kita memanfaatkan kemudahan yang ada di sekolah tersebut. Mana-mana sekolah rendah Cina yang perlu dipindahkan, juga boleh dipindahkan ke SRJK (C) Damansara, dan kami akan bincang kemudiannya sama ada akan terus menggunakan nama sekolah yang sama," kata Lim.Menurut Presdien Hua Zong itu, Abdullah telah memberikan reaksi 'positif' terhadap syor tersebut.Lim (kanan) berkata, persatuannya juga menggesa kerajaan supaya membina lebih banyak sekolah rendah Cina serta mensubsidi kosnya.Mengenai bahasa pengantar bagi Sains dan Matematik untuk peperiksaan UPSR bagi pelajar sekolah Cina, Abdullah berkata, ibubapa bebas memilih sama ada anak mereka mahu mendudukinya dalam bahasa Mandarin atau bahasa Inggeris.Lim berkata, Hua Zong juga menegaskan kepada Perdana Menteri mengenai kepentingan menggunakan bahasa Mandarin untuk mengajar kedua-dua subjek tersebut."Kami mengesyorkan kepada Perdana Menteri supaya Mandarin dijadikan bahasa pengantar dan bagi peperiksaan Matematik dan Sains di sekolah rendah Cina. Kita mesti mempertingkatkan kualiti kelas bahasa Inggeris dari segi kaedah mengajar, kualiti guru pengajar dan sebagainya," katanya.Hua Zong juga berbincang dengan Abdullah supaya Southern College dan New Era College diberi status universiti."Kami memberitahu Perdana Menteri bahawa adalah menjadi harapan masyarakat Cina Malaysia supaya dinaikkan status kedua-dua kolej tersebut menjadi universiti. Perdana Menteri bertanya banyak maklumat mengenainya," kata Lim.Kawal kadar inflasiMengenai kadar inflasi di negara ini, Lim berkata, Abdullah memberitahu Hua Zong bahawa kerajaan telah mula mengambil langkah-langkah untuk mengawalnya."Jawatankuasa Harga Negara akan mengendalikan kawalan harga. Dalam perjumpaan tersebut, Perdana Menteri juga menyebut bahawa Bernas telah diminta menyediakan simpanan bekalan beras yang mencukupi untuk tempoh tiga bulan supaya kita tidak menghadap masalah kekurangan bekalan beras," katanya.Menurut Lim lagi, harga minyak tidak boleh dikawal oleh mana-mana kerajaan kerana harganya ditentukan oleh pasaran global.Hua Zong juga meminta kerajaan melaksanakan secara berperingkat sistem meritokrasi dan lebih telus dalam pemberian tender bagi projek-projek pengswastaan.Lim berkata, Hua Zong juga mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya mengrekrut lebih ramai bukan Melayu menyertai sektor perkhidmatan awam berasaskan kepada meritokrasi."Perdana Menteri bersetuju dengan kita mengenai perkara itu dan berkata beliau berharap lebih ramai kaum Cina menyertai sektor perkhidmatan awam," tambahnya.Hua Zong juga mencadangkan kepada Abdullah bahawa kerajaan perlu membantu penternak babi."Kerajaan perlu menyelesaikan masalah tanah dan kemudahannya. Sudah tentulah kita mesti selesaikan masalah pencemaran terlebih dahulu," katanya.Dalam reaksinya kepada masalah penipuan hak milik tanah, Lim berkata, Nor telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat perkara tersebut.

Siapa lebih khianat?

Siapa lebih khianat?
Ketua Perusuh Thu Feb 07, 08 6:52:48 am MYT
Mana lebih berbahaya pada pandangan anda, pengkhianat kecil atau pengkhianat besar?

Abdullah Ahmad Badawi telah menggelar mereka yang mencari keuntungan dengan menyeludup keluar barangan subsidi sebagai pengkhianat kepada rakyat dan negara. Malah beliau telah kecewa dengan sikap mereka-mereka ini yang merupakan pengkhianat, jual barang subsidi kerajaan kepada orang lain di negara jiran,
Namun beliau seperti tidak sedar bahawa beliau sendiri juga adalah sebahagian dari pengkhianat ini. Malah jika boleh diklasifikasikan pengkhianatan Abdullah Ahmad Badawi & Co, tentunya adalah lebih besar.
Abdullah Ahmad Badawi & Co sejak dari mula memegang kuasa di Malaysia telah melakukan pengkhianatan terhadap rakyat dan negara ini beberapa kali dengan skala yang besar.
Antara pengkhianatan Abdullah Ahmad Badawi & Co yang paling utama adalah penjualan banyak syarikat milik Malaysia (swasta mahupun GLC) kepada Singapura melalui pembelian saham oleh Temasek Group atau proksinya.
Selain dari itu Abdullah Ahmad Badawi juga melakukan pengkhianatan besar dengan menjualkan Johor (secara atas kertas) kepada Singapura melalui projek SJER (WPI) yang terbukti menguntungkan Singapura secara total.
Malah Abdullah Ahmad Badawi juga mengkhianati amanat yang diberikan oleh ibunya sendiri yang mahukan beliau berkhidmat kepada masyarakat dan rakyat dan bukannya masyarakat dan rakyat berkhidmat kepadanya.
Abdullah Ahmad Badawi juga mengkhianati negara dengan menjadi proksi (dalang) disebalik isu Oil For Food untuk Negara Iraq pada masa pemerintahan Saddam Hussien. Malah menantunya juga terlibat mengkhianati negara dengan menjadi proksi kepada beberapa urusniaga (haram?) yang melibatkan penjualan beberapa entiti awam milik Malaysia kepada pihak asing terutamanya Singapura.
Ingin ditegaskan bahawa kesalahan pengkhianatan yang dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi & Co adalah jauh lebih besar daripada mereka-mereka yang menyeludup barang subsidi (termasuk barangan keperluan rumah, petrol atau diesel).
Dan jika Abdullah Ahmad Badawi mahukan satu akta tegas untuk mengekang dan mendakwa pengkhianat kecil ini, maka saya ingin cadangkan bahawa Akta Pengkhianatan juga dikenakan kepada Abdullah Ahmad Badawi & Co tanpa sekatan.
Oleh itu, siapakah yang lebih khianat? Penyeludup barangan keperluan atau orang yang menjual negara ini kepada pihak asing (Singapura)? Mari kita tentukan.

PRU ke 12: Peluang tipis Najib untuk gantikan Abdullah sebagai PM

PRU ke 12: Peluang tipis Najib untuk gantikan Abdullah sebagai PM
Mohd Rashidi Hassan Wed Feb 06, 08 5:16:44 pm MYT
Apakah Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berfikir, kesetiaan yang ditunjukkan beliau kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membantunya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6?

Mesej sebenar yang hendak disampaikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah, jika Abdullah diberi mandat melanjutkan khidmatnya sepenggal lagi, Najib mungkin tidak berpeluang menjadi PM dan Presiden Umno.
Gesaan Mahathir Mohamad supaya Abdullah Badawi hanya diberi mandat sepenggal sahaja sebagai PM ke-5, harus dipandang serius oleh semua rakyat, khususnya ahli-ahli Umno sendiri.
Mahathir mendakwa, semasa menyerahkan kuasa kepada Abdullah, mereka ada membuat perjanjian lisan supaya Abdullah memegang jawatan hanya sepenggal dan selepas itu menyerahkannya kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.
Kata Mahathir, ianya memandangkan Abdullah lebih tua dari Najib. Apapun Mahathir mendakwa beliau tidak mempunyai bukti tentang kewujudan perjanjian tersebut.
Fokus Mahathir jelas. Mesejnya juga jelas. Iaitu jika Abdullah diberi mandat sekali lagi, ia bukan sahaja membahayakan negara, malah Umno juga akan rosak.
Dalam reaksinya kepada komen Mahathir, Abdullah dengan tegas berkata tiada 'gentlemen's agreement' antara keduanya.
Manakala Najib pula berkata, "Saya tak tahu pasal itu. Saya komited dalam sokongan saya kepada Perdana Menteri (Abdullah) dan taat kepada beliau."
'Beri saya sepenggal lagi'
Sebelum ini Abdullah telah pun meminta mandat rakyat untuk membenarkannya menerajui negara sepenggal lagi, dalam erti kata lain beliau meminta rakyat memberikan kuasa semula kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-12.
Barangkali satu penggal tidak mencukupi baginya. Belum ada jaminan dua atau tiga penggal mencukupi baginya untuk membuktikan Malaysia berbaloi mempunyai PM sepertinya.
Abdullah meminta mandat lagi kerana mendakwa kerajaan sedang dalam proses melaksanakan segala program dan projek ekonomi yang dirancang memerlukan masa bertahun-tahun untuk mencapai hasilnya.
Abdullah dilaporkan sebagai berkata, program-program tersebut akan mengambil masa selama 5 tahun dan jika termasuk rancangan pembangunan serta polisi ekonomi negara, ianya memerlukan sehingga 30 tahun barulah hasilnya boleh dilihat.
Jika dilihat kepada faktor kemampuan dan usia, mustahil Abdullah mampu bertahan sehingga 30 tahun sebagai PM, barangkali dua atau tiga penggal beliau masih boleh meneruskan tugasnya.
Dalam hal ini jelas Mahathir tidak bersetuju dengan hasrat Abdullah untuk meminta rakyat bagi meneruskan mandatnya sepenggal lagi.
"Saya faham memang untuk melaksanakan sesuatu projek akan mengambil masa, namun saya fikir ia bukan suatu alasan untuk kekal berkuasa sehingga 18 tahun lagi....," kata Mahathir sinis.
Apapun Mahathir tetap mengulangi pendiriannya bahawa oleh kerana Abdullah harus diberi peluang sepenggal sahaja dan selepas itu jawatan PM diserahkan kepada Dato' Seri Najib Tun Razak.
Nilai kesetiaan dalam Umno
Saranan Mahathir supaya Abdullah hanya diberikan sepenggal sahaja ada logiknya berdasarkan pengalaman 22 tahun beliau menjadi PM dan Presiden Umno.
Sepanjang ingatan penulis, hanya Dato' Musa Hitam (sekarang Tun) sahaja yang dilihat 'menderhaka' kepada PM, mengumpulkan kekuatan dan bergabung dengan Tengku Razaleigh Hamzah, sehingga tersingkir dalam pemilihan parti.
TPM yang paling setia adalah Encik Ghafar Baba (Tun), menggantikan Musa, namun tersingkir apabila tewas kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 1993.
Malahan Anwar sebelum dipecat (tahun 1998) sentiasa menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Mahathir. Mahathir adalah ayahanda, Mahathir adalah segala-galanya.
Malangnya kesetiaan itu tidak memadai dan akhirnya Anwar disingkirkan dalam keadaan yang sangat tragis dalam politik negara.
Unsur-unsur kesetiaan dalam politiking Umno sangat diragui sebenarnya. Wujudnya rasuah, black mail, character assassination dan real assassination dalam perebutan jawatan parti. Fenomena ni bukannya baru, ia wujud dan subur semasa Mahathir masih menerajui Umno.
Pemimpin-pemimpin Umno juga sedar puak yang menyokong seseorang pemimpin belum tentu kerana kekuatan peribadinya atau kekuatan kewangan dan kuasa yang dimiliki.
Hakikatnya kesetiaan mutlak tidak wujud, yang wujud hanyalah kesetiaan fantasi sementara kuasa dan wang ada pada tangan seseorang yang bernama Abdullah Ahmad Badawi.
Persoalannya apakah kini, Najib dan penyokong-penyokongnya yakin, dengan ikrar kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Abdullah, suatu jaminan untuk tidak tersingkir?
Membantu Umno untuk membersihkannya?
Mahathir turut mengajak rakyat supaya 'mengajar' Barisan Nasional dan mengekang kuasa mutlak Abdullah dengan mengakibatkan ia 'defect' di kawasan tertentu.
Tujuannya jelas kata Mahathir, ia sekaligus akan membantu Umno untuk membersihkannya dari daki-daki yang dibawa oleh Abdullah, Khairy Jamaluddin dan kroni-korninya dari Tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri.
Amalan korupsi, kronisme dan nepotisme yang dikecam rakyat sejak zaman Mahathir, kini begitu subur akibat mandat besar yang diperolehi Abdullah di penggal pertama menjadi PM.
Amalan buruk ini menjadi semakin buruk apabila orang-orang Umno sendiri tidak berupaya 'mengangkat muka' untuk menegur Abdullah dan Khairy. Mereka hanya mampu melepaskan geram dengan 'cakap-cakap belakang' sahaja.
Jika pun Mahathir seorang sahaja yang berani bersuara dan lantang mengkritik Abdullah, tetapi kesedaran ini sudah hampir terlambat.
Usia dan kesihatan Mahathir sudah tidak mengizinkannya memperbetulkan kesilapannya melantik Abdullah sebagai penganti beliau.
Orang-orang Umno tidak boleh diharap untuk memperbetul dan membersihkan kekotoran dalam Umno sebagaimana yang didakwa Mahathir.
Tidak ada jalan lain untuk mengubah keadaan ini melainkan menghentikan mandat kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 tidak lama lagi.
Kelihatannya memang sukar, tetapi tiada yang mustahil jika Allah mengkehendakinya

Wednesday, February 6, 2008

Haidar Mempunyai Talian Saudara dengan Fairuz, Lima Peguam Bertindak Keluar Untuk Bantah Suruhanjaya

Haidar Mempunyai Talian Saudara dengan Fairuz, Lima Peguam Bertindak Keluar Untuk Bantah Suruhanjaya

Kuala Lumpur, 5 Feb - Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim telah membuat permohonan untuk membantah bekas Ketua Hakim Malaya Haidar Mohd Noor daripada terus mengerusi Suruhanjaya DiRaja kerana mempunyai bukti bahawa bekas Ketua Hakim Negara, Ahmad Fairuz adalah saudara kepada Haidar.
Anwar membantah pengerusian Haidar kerana terdapat kemungkinan kepentingan yang bercanggah. Pertalian saudara adalah berasaskan perkahwinan antara adik-beradik dua individu tersebut.
Anwar juga telah melantik Sankara Nair and peguam veteran Karpal Singh sebagai sebagai peguamnya untuk membuat permohonan kepada Suruhanjaya hari ini.
Dalam kenyataan pada hari yang sama, Haidar menolak permohonan yang dibuat. Haidar menjawab “Saya jarang berhubung dengan Ahmad Fairuz. Oleh itu tiada apa-apa sebab yang munasabah untuk saya berhenti mengerusi Suruhanjaya.”
Ini adalah kali yang kedua Haidar menolak permohonan sebegini. Keahlian beliau dalam Suruhanjaya turut dipersoalkan pada awal persidangan Suruhanjaya kerana menyandang jawatan sebagai ahli lembaga Perdana Leadership Foundation yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang merupakan seorang saksi dalam penyiasatan Suruhanjaya.
Hari ini, Suruhanjaya juga membuat keputusan untuk melarang Anwar dan badan bukan kerajaan Aliran untuk menyertai persidangan Suruhanjaya.
Keputusan ini adalah berikutan keengganan dua pihak tersebut untuk menarik kenyataan mereka berkenaan Suruhanjaya yang dikatakan menghina persidangan.
Apabila lima peguam Anwar dilarang oleh Suruhanjaya daripada mengemukakan soalan atau berhujah dalam persidangan akibat larangan kepada Anwar dan Aliran, kelima-lima peguam tersebut bertindak keluar daripada dewan persidangan.
Semakan mahkamah akan dipohon untuk mencabar keputusan Suruhanjaya.

PKR Kelantan puas hati tambahan kerusi

PKR Kelantan puas hati tambahan kerusi
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
KOTA BHARU 5 Feb. – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan berpuas hati berhubung pembahagian kerusi di negeri itu setelah Pas menjanjikan pertambahan sekali ganda dalam pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan PKR negeri, Nik Mahmood Nik Hassan menyatakan rasa syukur kerana pertambahan itu mencerminkan persefahaman dan kerjasama erat antara partinya dan Pas untuk memastikan kemenangan di negeri ini.
“Ia merupakan petanda baik antara kita dan Pas, saya bersyukur kerana proses perundingan pengagihan kerusi berjalan lancar dan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa bahawa PKR negeri akan mendapat tambahan kerusi lebih 100 peratus pada pilihan raya umum akan datang walaupun parti itu tewas di semua kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya umum 2004.
Pada pilihan raya umum 2004, PKR hanya diberi lima kawasan iaitu tiga kerusi Parlimen - Kota Bharu, Ketereh dan Tanah Merah serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Nenggiri dan Paloh.
Bagaimanapun difahamkan pada pilihan raya umum kali ini, pada awalnya PKR hanya mendapat tambahan dua kerusi sahaja menjadikan semuanya tujuh.
Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan peruntukan kerusi bagi PKR di kawasan yang sukar untuk dimenangi, beliau berkata dengan calon yang berwibawa, PKR akan turut membantu membawa kemenangan.
Nik Mahmood berkata, pengagihan kerusi itu bukan bersifat ‘menjerut leher’ tetapi simbolik kepada kesepakatan teguh antara perikatan pembangkang di negeri ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan mengenai kerusi yang bakal diagihkan kepada PKR.
“Ia akan diumumkan sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya beri jaminan barisan calon hasil gabungan antara muka lama dan baru ini amat berwibawa dan berkualiti bagi mencatat kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai krisis dalaman antara kalangan pemimpin PKR negeri, Nik Mahmood berkata, ia hanya perkara kecil tetapi diperbesarkan oleh pihak lawan.
“Alhamdulillah semuanya telah selesai dan tiada lagi sebarang perselisihan faham,” katanya.

Khairy dedah taktik pembangkang

Khairy dedah taktik pembangkang
KUALA LUMPUR 5 Feb. – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mendedahkan taktik tidak bertanggungjawab pembangkang yang sengaja meniup semangat kenegerian dalam usaha meraih sokongan dan simpati rakyat menjelang musim pilihan raya umum ke-12.
Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya berjaya mengesan taktik itu semasa beliau berkunjung ke Sabah baru-baru ini untuk bertemu dengan barisan kepimpinan Pemuda di negeri tersebut.
Katanya, apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang itu adalah satu perkara yang amat berbahaya kerana ia boleh menjejaskan hubungan antara negeri berkenaan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Mereka meniupkan semangat ini melalui ceramah-ceramah yang diadakan dan antaranya seperti ‘Sabah for Sabahan’. Kenyataan ini jelas bersifat kenegerian yang mana jika kita biarkan boleh meretakkan hubungan antara orang Sabah dengan Kerajaan Pusat.
“Kita tidak akan berdiam diri malah Pemuda telah menubuhkan kumpulan-kumpulan khas untuk bergerak di seluruh negara bagi memberikan maklumat sebenar kepada rakyat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan terkini Pemuda UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Forum Halal Sedunia telah mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan program Forum Halal Sedunia 2008 yang dijadual dilangsungkan pada 12 hingga 13 Mei depan.
Khairy berkata, dalam usaha menggerakkan kumpulan terbabit pihaknya menggunakan pelbagai pendekatan supaya rakyat dapat menerima segala maklumat yang disalurkan dengan tepat dan berkesan.
Selain ceramah katanya, kumpulan itu juga akan berkunjung rumah ke rumah dan ia telah pun bermula.
Satu lagi pendekatan yang akan digunakan katanya, ialah menyebarkan maklumat melalui internet iaitu sasarannya adalah di kalangan generasi muda dan golongan berpendidikan.
Beliau berkata, dalam dunia teknologi maklumat, penggunaan Internet kini semakin meluas.
“Kita perlu menerima hakikat jumlah pengguna Internet semakin meningkat. Oleh itu kita perlu menggunakan peluang ini untuk menyalurkan maklumat dan fakta yang tepat kepada masyarakat.
“Kita tidak boleh membiarkan pemikiran rakyat dipengaruhi oleh pihak pembangkang dan oleh itu Pemuda sentiasa bersiap sedia menggalas tanggungjawab ini,” ujarnya.

Khir anggap BN Selangor sudah menang

Khir anggap BN Selangor sudah menang
KLANG 5 Feb. – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini melahirkan keyakinannya bahawa Barisan Nasional (BN) telah pun memenangi pilihan raya umum ke-12 walaupun tarikhnya masih belum ditentukan lagi.
Beliau berkata, BN sememangnya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya yang dijangka diumumkan pada bila-bila masa.
‘‘BN dah menang dah , dah tak ada masalah. Kita tidak fikir akan menghadapi sebarang masalah dalam pilihan raya kali ini,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Program Kaji Selidik Masalah Pendaftaran Kelahiran, Kad Pengenalan, Taraf Penduduk Tetap dan Anak Angkat anjuran Sekretariat Sukarelawan Barisan Nasional dan MIC Klang di Dewan Hamzah di sini hari ini.
Pada program itu lebih 3,000 orang yang kebanyakannya daripada keturunan India yang menetap di Selangor dan beberapa negeri di Semenanjung tetapi masih tidak mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan datang untuk mendaftar.
Program yang mendapat sambutan luar biasa itu akan diteruskan sehingga semua borang yang dikeluarkan kepada semua yang hadir dapat difailkan dengan baik.
Mengulas lanjut mengenai program kaji selidik yang dijalankan hari ini beliau berkata, pihaknya memang tidak menjangka masih ramai rakyat keturunan India yang tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Bila perkara itu diketahui kata beliau, pihaknya dengan kerjasama MIC dan badan bukan kerajaan menggerakkan program bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
‘‘Saya harap Jabatan Pendaftaran Negara juga akan melihat isu-isu ini secara lebih objektif.
“Ini kerana kita tidak boleh meninggalkan kes-kes ini begitu sahaja kerana kad pengenalan dan sijil kelahiran amat penting kepada setiap orang,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, tidak semua yang mendaftar hari ini akan mendapat kad pengenalan kerana siasatan terperinci akan dijalankan oleh JPN sebelum kad pengenalan dikeluarkan.
Tambah Mohamad Khir, beliau juga ingin mengingatkan yang setiap kelahiran di negara ini perlu didaftarkan walaupun ibu yang melahirkan atau bapa kepada bayi tiada dokumen yang sah.
Ditanya kemungkinan pembangkang akan menuduh program ini diadakan semata-mata untuk menambah undi pilihan raya, Mohamad Khir berkata, program ini tiada kaitan langsung dengan pilihan raya kerana ia diadakan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.
‘‘Mereka akan buat cerita dan akan serang saya dengan mengatakan ini percubaan untuk mendapatkan undi pilihan raya.
‘‘Tetapi saya nak jelaskan ini baru kita nak failkan dokumen dan lepas itu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan pergi pada satu fail ke satu fail.
‘‘Jadi Pas, DAP dan Keadilan jangan buat cerita yang bukan-bukan tentang program ini.
‘‘Tapi kalau nak bantu boleh datang sekali. Jangan kata kita nak undi lebih kita nak daftarkan orang lain sebab daftar pengundi dah ditutup 30 September lagi,” jelas beliau.

FAIL SERUPA - THIRUNAMA

Fail serupa – Thirunama
Oleh NOR AZMAH IBRAHIM dan NORAZLITA MOHD SIES
KUALA LUMPUR 5 Feb. – V. K. Thirunama hari ini mengesahkan fail-fail yang dibawa oleh Datuk V. K. Lingam ke rumah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin sekitar tahun 1995 menyerupai fail-fail yang pernah dilihat di firma guaman abangnya.
Saksi ke-18 Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video yang bersidang pada hari ke-14 itu bagaimanapun tidak mengetahui tentang isi kandungan fail- fail tersebut kerana tidak pernah melihatnya secara teliti.
Menjawab pertanyaan peguam pemerhati Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong, Thirunama, 50, mendakwa Lingam hanya pernah memberitahunya ia berkaitan kes penting iaitu Ayer Molek dan Insas.
Christopher: ‘‘Awak kata awak pernah pandu Lingam ke rumah Eusoff antara tujuh dan lapan kali. Boleh awak ingat apa yang dibawa oleh Lingam pada ketika itu?’’
Thirunama: ‘‘Fail-fail. Setengahnya fail yang tebal.’’
Christopher: ‘‘Adakah awak boleh beri gambaran tentang fail-fail itu?’’
Thirunama: ‘‘Tidak, saya tidak boleh.’’
Christopher: ‘‘Boleh awak ingat fail-fail yang diberi kepada Eusoff itu adakah ia kelihatan sama dengan fail-fail yang awak lihat di pejabat Lingam?’’
Thirunama: ‘‘Benar. Fail itu serupa dengan fail yang saya pernah lihat di firma guaman Lingam.’’
Christopher: ‘‘Adakah awak ingat apa-apa tanda tulisan atau kelainan pada fail itu, seperti ia diikat?’’
Thirunama: ‘‘Ia diikat. Ada tulisan menggunakan pen penanda artline tapi saya tidak ingat (perkataan yang tertulis).’’
Christopher: ‘‘Adalah awak tahu isi kandungan fail-fail itu?’’
Thirunama: ‘‘Saya tidak tahu.’’
Christopher: ‘‘Adakah Lingam pernah beritahu awak tujuan kunjungan ke rumah Eusoff pada masa itu?’’
Thirunama: ‘‘Ada, dua kali. Satu berkenaan Air Molek, pada masa itu saya tidak tahu apa itu Ayer Molek dan satu lagi tentang Insas.’’
Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Tan Sri Haidar Mohamed Noor itu bersidang di bilik Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini bagi menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video perbualan telefon seorang lelaki dipercayai Lingam yang dikatakan sedang mengatur pelantikan hakim.
Thirunama dalam keterangan hari ini turut mengesahkan beg bimbit yang diserahkan kepada Eusoff pada tahun 1996 turut mengandungi sampul coklat dan dokumen di dalamnya selain tas tangan wanita dan dompet buatan Itali.
Katanya, sebahagian daripada dokumen itu berada di dalam sampul bersaiz A4 manakala sebahagian lagi berada di dalam beg bimbit di luar sampul.
Dia bagaimanapun tidak mengetahui tentang kandungan dokumen itu kerana tidak melihat secara teliti.
‘‘Semasa menghantar barangan itu, turut ada bersama Eusoff di rumahnya ialah dua pembantu rumah Indonesia, seorang kurus dan seorang lagi gemuk dan pendek.
‘‘Saya ada saksi lain, ‘Encik Sothinanthan’ turut bersama saya pada waktu itu. Dia tinggal di salah sebuah bilik tetamu di rumah Lingam’’’ jelasnya.
Kata Thirunama, dia menghantar Lingam ke rumah Eusoff sekitar tahun 1995 dan 1996 dengan menggunakan kenderaan berlainan bagi mengelakkan ia dicam.
Jelasnya, Lingam juga tidak membenarkan dia menunggu di dalam kereta atau meletakkan kereta di luar pagar rumah Eusoff atas tujuan yang sama.
Sebaliknya, Thirunama mendakwa Lingam menyuruhnya terus balik ke rumah serta tidak singgah di mana-mana dan hanya datang semula apabila disuruh.
‘‘Dia (Lingam) kata tidak perlu tunggu kerana dia ada perkara mustahak dan sulit hendak dibincang dengan Eusoff.
‘‘Saya akan balik dan tunggu Lingam telefon dan datang semula untuk mengambil dan menghantar beliau pulang,’’ katanya.
Ditanya sama ada dia merekodkan nombor telefon yang didaftarkan dengan Mutiara Telecomunication untuk Eusoff pada Mac 1996, Thirunama memberitahu ia dicatat dalam buku nota berwarna hitam miliknya.
Bagaimanapun, buku itu telah diserahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Mac 1998.
Thirunama mengakui, semua arahan dan maklumat yang diberikan oleh Lingam akan ditulis di dalam buku itu kerana bimbang terlupa dan takut dijerkah abangnya.
Dalam prosiding hari ini, Thirunama sekali lagi ditegur oleh Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor kerana agak teruja semasa memberi jawapan.

Perdana Menteri hadapi tekanan untuk tentukan tarikh pilihan raya

Perdana Menteri hadapi tekanan untuk tentukan tarikh pilihan raya
Wan Nordin Wan Yaacob Tue Feb 05, 08 2:30:08 pm MYT
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Hrkh) - Sikap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang masih menimbulkan teka-teki berhubung tarikh sebenar pilihan raya umum ke-12 dibidas Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.

Beliau yang ditemui di Pejabat Agung PAS selepas pertemuan dengan pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) hari ini berkata, jelas bahawa Perdana Menteri masih lagi berhadapan dengan tekanan dalam menentukan tarikh.
Antaranya kata Kamarudin, tekanan dari dalam parti, komponen BN dan tekanan berhadapan dengan tuntutan pelbagai pihak yang berkepentingan.
"Desakan dari pelbagai pihak dalaman dan masalah besar negara yang memaksa beliau (Perdana Menteri) membuat keputusan untuk belum mengumumkan tarikh pilihan raya," katanya.
Selain itu kes-kes kenaikan harga minyak, kos sara hidup yang menekan, masalah jenayah, kes perkauman, dan kes rasuah yang belum selesai menyebabkan Perdana Menteri gusar untuk menentukan tarikh pilihan raya, katanya.
"Tetapi Perdana Menteri kena buat pilihan raya umum dengan cepat, kerana tekanan harga minyak yang terpaksa dinaikkan juga selepas pilihan raya ini itupun jika mereka menang," ujarnya lagi.
Laporan akhbar hari ini menyebut, Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau telah mendapat ilham untuk pilihan raya umum ke-12, namun masih belum menetapkan tarikh pilihan raya akan diadakan.

Bukan sahaja KPN, badan kehakiman juga dituduh dikuasai mafia

Bukan sahaja KPN, badan kehakiman juga dituduh dikuasai mafia
Abdul Halim Mohd Rashid Wed Feb 06, 08 6:20:45 am MYT
SHAH ALAM, 6 Feb (Hrkh) - Bukan sahaja Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dituduh menaungi kegiatan jenayah malah badan kehakiman negara ini juga dituduh telah dikuasai oleh gangster dan mafia.

Ketika diminta mengulas dakwaan Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang mendakwa Musa menaungi dunia penjenayahan, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, bukan sahaja pasukan polis, pejabat Peguam Negara dan Badan Pencegah rasuah (BPR) yang perlu dibersihkan dari gerombolan yang dituduh menaungi kegiatan jenayah malah badan kehakiman juga mesti dibersihkan.
"Keterangan adik (Datuk VK) Lingam kepada Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video Lingam baru-baru ini menyebabkan badan kehakiman negara ini kian dituduh telah dikuasai oleh mafia," kata beliau ketika ditemui selepas kembali dari majlis ceramah PAS di Ipoh.
Keterangan adik Lingam itu, katanya lagi, seolah-olah memberitahu rakyat bahawa mereka hendaklah menghubungi Lingam atau Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun jika mereka menghadapi sebarang masalah dengan undang-undang.
"Rakyat semakin kuat menuduh badan kehakiman dikuasai mafia apabila adik Lingam memberitahu bahawa beliau pernah diberi amaran oleh abangnya supaya tidak memberi maklumat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan mengugut bahawa Vincent mempunyai kaitan dengan samseng," kata beliau lagi.
Mohamad Sabu menyeru rakyat membersihkan negara ini dari kerajaan Barisan Nasional yang menyebabkan badan kehakiman dikuasai mafia manakala Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Pengarah BPR pula dituduh menjadi "unholy trinity" (pakatan jahat tiga pihak) yang didakwa melindungi kegiatan jenayah.
Keterangan adik Lingam itu, katanya lagi, menyebabkan rakyat menuduh badan kehakiman dikuasai oleh Vincent yang disebut sebagai mempunyai kaitan dengan samseng.
Dalam kenyataan semasa siasatan suruhanjaya tersebut, adik Lingam, V Thirunama Karasu mendakwa Lingam mengugutnya supaya tidak memberi maklumat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Mac 1998 sehingga kakaknya menyuruhnya menyembunyikan diri di India.
"Kakak menyuruh saya lari ke India untuk bersembunyi. Beliau suruh saya menyimpan janggut dan bersembunyi di kuil di sana.
"Lingam ada membawa saya ke sebuah restoran dan mengingatkan saya supaya tidak mengatakan apa-apa kepada BPR.
"Katanya, Vincent Tan mempunyai kaitan dengan samseng, tetapi beliau (Lingam) sudah memintanya supaya tidak mencampuri urusan ini kerana ia hanya masalah keluarga.
"Beliau juga mendakwa saya akan ditangkap polis kerana mengaitkan Ketua Polis Negara dan anak saya akan diculik," katanya.
Thirunama juga mengakui peranannya membantu abangnya menghantar barang ke rumah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin.
Beliau juga menyatakan, beliau pernah menemui Mohd Eusoff dua kali di rumah abangnya, iaitu kali pertama pada majlis makan malam yang turut dihadiri bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus serta isteri.
Kali kedua pula ketika Mohd Eusoff dan isterinya datang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Lingam dan isterinya yang hendak ke Amerika untuk rawatan perubatan.
Menjawab soalan peguamnya, Wee Choo Keong, saksi itu menyangkal keterangan Lingam dan Mohd Eusoff bahawa kedua-duanya hanya pernah bertemu pada majlis rumah terbuka sempena Deepavali di rumah abangnya itu.
Thirunama berkata, beliau pernah menjawab panggilan telefon Mohd Eusoff ke telefon bimbit Lingam di mana pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Hakim Negara.
Thirunama turut mengesahkan bahawa dia diberi tanggungjawab oleh Lingam mencari dua bidang tanah untuk dihadiahkan kepada Eusoff pada 1995.
Jelasnya, Lingam menyuruh dia berbuat demikian selepas Eusoff tidak berkenan dengan rumah yang ingin dihadiahkan kepadanya serta mahukan tanah lebih besar untuk membina rumah mengikut citarasanya sendiri.
Diitanya oleh Choo Keong bagaimana dia mengetahui bahawa Eusoff kurang menyukai rumah milik Lingam di alamat No. 2, SS1/38, Kampung Tunku, Petaling Jaya dekat sini, juruelektrik itu memberitahu dia terdengar perbualan mereka.
''Saya terdengar Eusoff kata kawasan rumah itu besar tapi ia terletak dekat dengan jalan besar dan bimbang anak- anak akan dilanggar oleh kenderaan yang lalu lalang.
''Saya cadangkan pada Eusoff agar pasang dua pintu pagar automatik, satu untuk masuk dan satu untuk keluar. Beliau tersenyum dan berkata, ia cadangan yang baik,'' ujarnya.
Berikutan itu, kata Thirunama, dia terdengar Lingam berkata: ''Kalau Tun tidak suka, kami akan cari tanah yang lebih besar untuk bina rumah mengikut cita rasa Tun.''
Selepas diarah oleh Lingam, dia menghubungi kawannya, P. M. Vijendran yang bekerja di Reapfields Sdn. Bhd. dan memberitahu abangnya, Datuk Sivaparanjothi dan Panjararatnam untuk mencari dua bidang tanah.
Jelasnya, walau mereka berjaya mendapatkan lot yang sesuai di SS7, Petaling Jaya, dekat sini, dia tidak pasti sama ada Lingam membeli tanah itu atau tidak.
Menurut Thirunama, sekitar Oktober 1995, dia diarah untuk membawa kunci rumah tersebut dan menaiki kereta BMW dengan nombor pendaftaran WDV 788 ke sana.
Jelasnya, Lingam memberitahu kereta kalis peluru yang dinaiki itu kepunyaan Vincent sementara Eusoff dan isteri mengekori mereka dengan kereta Mercedes.
Di samping itu, Thirunama mendakwa pernah bercakap dengan Eusoff sebanyak empat kali termasuk semasa dia menjawab telefon bimbit Lingam yang ketika itu sedang sibuk.

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan PAS akan bertanding 60 kerusi parlimen pada pilihan raya

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan PAS akan bertanding 60 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang dan menjelaskan rundingan pembahagian kerusi di antara parti KeADILan di seluruh negara juga sudah selesai.
Beliau menjelaskan jumlah kerusi yang dipertandingkan itu mestilah sesuatu yang praktikal dan paling penting ialah objektif keadilan kepada semua lapisan masyarakat tercapai.
"Alhamdulillah pembahagian kerusi semua selesai termasuk di Kelantan dan seluruh negara," katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.
Turut hadir sama di sidang media itu Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar.
Sidang media itu diadakan sejurus selepas satu pertemuan tertutup yang diadakan di antara Ustaz Hadi dan Anwar selama hampir dua jam bagi membincangkan hal ehwal pilihan raya dan manifesto bersama.
"Macam biasa, berunding berkaitan pilihan raya dan manifesto. Alhamdulillah, persediaan lebih 99 peratus untuk menghadapi pilihan raya akan datang," kata Ustaz Hadi menjelaskan tentang pertemuan itu.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ustaz Ahmad Awang; Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub; Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi dan Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.
Mengiringi Anwar dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Naib Presiden KeADILan, Mustafa Kamil Ayub.
Sementara itu Anwar turut menjelaskan bahawa KeADIlan secara asas telah sepakat dengan PAS berhubung dengan manisfesto yang bakal ditawarkan kepada rakyat.
"KeADILan dan PAS sepakat dengan manifesto bersama dan akan mengumumkan tawaran bersama kepada rakyat dalam tempoh terdekat ini," katanya.

DEKLARASI PERMATANG PAUH

DEKLARASI PERMATANG PAUH
Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami,” ;
Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat; Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula; Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:
Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;
Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;
Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;
Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;
Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;
Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;
Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.
Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.
Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.
Permatang Pauh12 September 1998
ANWAR IBRAHIM

Tuesday, February 5, 2008

Hantar 3 mangkuk sup ke rumah Eusoff

Hantar 3 mangkuk sup ke rumah Eusoff
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM dan NORAZLITA MOHD SIES
KUALA LUMPUR 4 Feb. - V. K. Thirunama memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja di sini hari ini bahawa dia pernah diarah oleh Datuk V. K. Lingam, abang kandungnya, untuk menghantar pelbagai hadiah termasuk tiga mangkuk sup ke rumah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin pada 1996.
Menurut Thirunama, 50, dia juga pernah pergi bersendirian ke rumah Eusoff untuk menghantar sebuah beg bimbit yang berisi sampul berwarna coklat, beg tangan dan dompet dari Itali dalam tahun yang sama.
Menjawab pertanyaan peguamnya, Wee Choo Keong, saksi ke-18 itu turut mengaku menghantar kek dari Angel Cake House serta memandu ke rumah Eusoff bersama-sama Lingam untuk menghantar beberapa fail sekitar 1995.
''Dalam perjalanan, dia (Lingam) beritahu mahu ke rumah Eusoff dan ada kes penting berkaitan dengan Ayer Molek, tapi saya tidak tahu apa Ayer Molek.
''Semasa saya datang semula ke rumah Eusoff untuk mengambil Lingam, saya nampak Lingam tunduk dan berkata, thank you my lord, thank you my lord (terima kasih Yang Arif),'' katanya.
Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Tan Sri Haidar Mohamed Noor itu bersidang di bilik Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini bagi menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video perbualan telefon seorang lelaki dipercayai Lingam yang dikatakan sedang mengatur pelantikan hakim.
Thirunama memberitahu dia pernah menasihatkan abangnya supaya tidak lagi ke rumah Eusoff kerana bimbang kegiatan Lingam dapat dihidu berikutan kes Perwaja yang sedang disiasat pada masa itu.
''Saya beritahu Lingam, 'ane', tolong berhati-hati, jangan pergi ke rumah Eusoff lagi, awak akan tertangkap suatu hari nanti,'' kata Thirunama.
Apabila ditanya oleh ahli suruhanjaya Datuk Mahadev Shankar tentang panggilan terhadap Lingam, Thirunama menjawab: ''Saya panggil Lingam 'ane' (abang sulung), saya tidak panggil dia Datuk.''
Sementara itu, Thirunama turut mengesahkan bahawa dia diberi tanggungjawab oleh Lingam mencari dua bidang tanah untuk dihadiahkan kepada Eusoff pada 1995.
Jelasnya, Lingam menyuruh dia berbuat demikian selepas Eusoff tidak berkenan dengan rumah yang ingin dihadiahkan kepadanya serta mahukan tanah lebih besar untuk membina rumah mengikut citarasanya sendiri.
Diitanya oleh Choo Keong bagaimana dia mengetahui bahawa Eusoff kurang menyukai rumah milik Lingam di alamat No. 2, SS1/38, Kampung Tunku, Petaling Jaya dekat sini, juruelektrik itu memberitahu dia terdengar perbualan mereka.
''Saya terdengar Eusoff kata kawasan rumah itu besar tapi ia terletak dekat dengan jalan besar dan bimbang anak- anak akan dilanggar oleh kenderaan yang lalu lalang.
''Saya cadangkan pada Eusoff agar pasang dua pintu pagar automatik, satu untuk masuk dan satu untuk keluar. Beliau tersenyum dan berkata, ia cadangan yang baik,'' ujarnya.
Berikutan itu, kata Thirunama, dia terdengar Lingam berkata: ''Kalau Tun tidak suka, kami akan cari tanah yang lebih besar untuk bina rumah mengikut cita rasa Tun.''
Selepas diarah oleh Lingam, dia menghubungi kawannya, P. M. Vijendran yang bekerja di Reapfields Sdn. Bhd. dan memberitahu abangnya, Datuk Sivaparanjothi dan Panjararatnam untuk mencari dua bidang tanah.
Jelasnya, walau mereka berjaya mendapatkan lot yang sesuai di SS7, Petaling Jaya, dekat sini, dia tidak pasti sama ada Lingam membeli tanah itu atau tidak.
Menurut Thirunama, sekitar Oktober 1995, dia diarah untuk membawa kunci rumah tersebut dan menaiki kereta BMW dengan nombor pendaftaran WDV 788 ke sana.
Jelasnya, Lingam memberitahu kereta kalis peluru yang dinaiki itu kepunyaan ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun sementara Eusoff dan isteri mengekori mereka dengan kereta Mercedes.
Di samping itu, Thirunama mendakwa pernah bercakap dengan Eusoff sebanyak empat kali termasuk semasa dia menjawab telefon bimbit Lingam yang ketika itu sedang sibuk.
Dia turut mendakwa Eusoff dan isteri pernah berkunjung ke rumah abangnya untuk makan malam bersama-sama bekas Presiden Mahkamah Rayuan pertama, Tan Sri Lamin Yunus dan mengucapkan selamat jalan kepada Lingam dan isteri yang akan berlepas ke Amerika Syarikat.
Sepanjang memberi keterangan, Thirunama kerap ditegur oleh Haidar kerana memberi jawapan yang meleret-leret serta tidak mengikut kehendak soalan.
Malah, jawapannya secara bersahaja juga kerap menyebabkan semua yang mengikuti prosiding tertawa terbahak-bahak.
Semasa mengecam Eusoff, Thirunama tiba- tiba berdiri dan enggan duduk apabila diarah berbuat demikian dengan alasan dia menghormati bekas Ketua Hakim Negara itu.

Daftar pemilih induk 2007 seramai 10.9 juta diwarta esok

Daftar pemilih induk 2007 seramai 10.9 juta diwarta esok
Feb 4, 08 9:27pm
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mewartakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2007 dengan jumlah pemilih 10,922,139 orang esok. Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said berkata Peraturan 24 Peraturan-peraturan Pilihanraya (Pendaftaran Pemilih) 2002 menetapkan supaya Daftar Pemilih Tambahan (DPT) digabungkan dengan DPI terkini sebelum ia dapat digunakan dalam sebarang urusan pilihanraya. "Daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama hingga Suku Keempat akan digabungkan dengan Daftar Pemilih Induk 2006 untuk menjadi Daftar Induk 2007," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata DPT Suku Tahun Keempat 2007 1 Oktober hingga 31 Disember lalu mengandungi 200,393 pemilih yang terdiri daripada 148,969 permohonan pemilih baru dan 51,424 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi, demikian menurut Bernama. Katanya DPT Suku Tahun Keempat 2007 itu diwartakan hari ini. Orang ramai yang berminat untuk membeli DPI 2007 boleh membuat tempahan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya selepas 5 Februari. Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-88856500 atau mana-mana Pejabat Pilihanraya Negeri. Semakan Daftar Pemilih juga boleh dibuat melalui laman web www.spr.gov.my bermula 6 Februari ini.

Kit Siang fail saman tuntut k'jaan sementara

Kit Siang fail saman tuntut k'jaan sementara
Feb 4, 08 8:36pm
Ketua Pembangkang Parlimen Lim Kit Siang hari ini memfailkan saman untuk mendapatkan pengisytiharan supaya sebuah kerajaan sementara ditubuhkan selepas Parlimen dibubarkan. Lim, yang juga penasihat DAP, menuntut supaya kerajaan menubuhkan kerajaan sementara itu bermula dari tarikh pembubaran Parlimen hingga Jemaah Menteri yang baru dilantik selepas pilihanraya umum. Ahli Parlimen Ipoh Timur itu turut menuntut satu deklarasi bahawa kerajaan diwajibkan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan kerajaan sementara yang hanya melaksanakan pentadbiran harian kerajaan dalam tempoh itu yang tiada kuasa dalam perkara berhubung dengan dasar nasional, peruntukan kewangan awam atau penggunaan kemudahan awam semasa pilihan raya umum akan datang. Menurut Bernama, dalam saman pemula itu yang difailkan oleh Tetuan Karpal Singh & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Lim menamakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia, defendan kedua.

Klip Lingam: Lebih ramai hakim dibabitkan

Klip Lingam: Lebih ramai hakim dibabitkan
Beh Lih Yi Feb 4, 08 4:21pm
V Thirunama Karasu - adik lelaki peguam Datuk VK Lingam - hari ini mendakwa, ada lagi hakim-hakim yang mempunyai hubungan rapat dengan abangnya itu, ketika memberi keterangan kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam hari ini.Beliau menyebut nama hakim-hakim - selain bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin dibangkitkan sebelum ini - ketika memberi keterangan pagi ini.Mereka termasuk bekas hakim Mahkamah Rayuan - Datuk Lamin Yunus dan Datuk Mokhtar Sidin - serta seorang hakim Mahkamah Rayuan yang masih berkhidmat, Datuk Low Hop Bing.Thirunama mula memberi keterangan pada jam 11.10 pagi sebagai saksi ke-18 pada hari ke-13 sesi siasatan suruhanjaya diraja itu.Dalam kenyataan saksinya yang dikemukakan kepada suruhanjaya tersebut sebelumnya, juruelektrik berusia 50 tahun ini mendakwa, Lingam menghantar fail guaman ke rumah Eusoff pada lewat malam antara 1995 hingga 1996, membeli telefon, dompet dan beg tangan berjenama untuk Eusoff dan malah pernah berniat untuk membeli rumah untuk Eusoff.Bagaimanapun, sesetengah daripada keterangan Thirunama hari ini adalah bahagian-bahagian di dalam kenyataan saksinya yang telah ditolak oleh suruhanjaya diraja itu sebelum ini.Hanya dua daripada 21 muka surat kenyataan Thirunama yang diterima, yang terhad kepada hubungan rapat Lingam dengan Eusoff.Bahagian yang ditolak oleh suruhanjaya tersebut, termasuk bahagian mengenai hubungan Lingam dengan hakim-hakim lain, selain daripada Eusoff.Turut ditolak ialah cerita Thirunama mengenai bagaimana Lingam memaksanya berlakon gila selepas beliau membuat pengakuan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai aktiviti abangnya semasa satu siasatan dijalankan pada 1998.Hantar sup
Menjawab soalan peguamnya, Wee Choo Keong, Thirunama mendedahkan bahawa beliau telah memandu kereta untuk membawa menghantar abangnya ke rumah bekas Ketua Hakim Negara itu sebanyak tujuh atau lapan kali.Katanya, beliau pernah pergi bersendirian ke rumah Eusoff untuk menghantar kek dari sebuah kedai kek, sebuah beg bimbit dan tiga mangkuk sup.Ditanya sama ada beliau tahu tujuan Lingam ke rumah Eusoff, Thirunama menjawab: “Beliau (Lingam) memberitahu saya yang beliau ada kes penting. Beliau menyebut sesuatu mengenai Ayer Molek tetapi saya tidak tahu apakah itu Ayer Molek.”Thirunama berkata, beliau pernah melihat Eusoff makan malam di rumah Lingam sebanyak dua kali dan sekali lagi apabila Ketua Hakim Negara itu datang untuk mengucapkan selamat jalan kepada Lingam dan isterinya yang akan mendapatkan rawatan perubatan di Amerika Syarikat.“(Kali pertama adalah) adalah pada 1995, bila Lingam meminta saya menyusun beberapa buah meja dan kerusi serta membersihkan rumahnya. Malam itu, saya nampak Eusoff dan isterinya, Datuk Lamin Yunus dan isterinya datang untuk makan malam," katanya.Ini bercanggah dengan keterangan Lingam sebelum ini bahawa beliau dan Eusoff pernah pergi ke rumah masing-masing sekali saja pada 1995, iaitu pada hari terbuka Hari Raya dan Deepavali.Thirunama juga berkata, beliau bercakap dengan Eusoff sebanyak empat kali - termasuk sekali melalui telefon Lingam - apabila dia menghantar hadiah ke rumah bekas Ketua Hakim Negara itu. Satu daripadanya ialah apabila beliau menghantar beg bimbit dan dompet kepada Eusoff.“Beliau menjemput saya masuk ke dalam (rumah). Saya letak beg tersebut atas meja makan dan dia melihat beg tersebut. Beliau memberitahu saya yang beliau sangat letih kerana baru balik dari London - dari Porchester Gate,” katanya, sambil menambah Lingam memberitahunya bahawa jutawaan Tan Sri Vincent Tan memiliki sebuah rumah di kawasan mewah di pinggir bandar London.Thirunama berkata, beliau juga mendapat tahu yang salah seorang pemandu Lingam telah menjemput Eusoff dari lapangan terbang Subang.Mengenai percutiaan Lingam-Eusoff ke New Zealand pada 1994, Thirunama berkata, Lingam memberitahunya bahawa beliau "berlepas bersama (dengan Eusoff) dari Malaysia", dan bukannya "terserempak" di sana, seperti yang diberitahu oleh kedua-duanya kepada suruhanjaya tersebut sebelum ini.Beliau mendakwa telah menasihatkan Lingam supaya jangan membingkai gambar-gambar percutian mereka itu.“Saya beritahu beliau ‘Anne (abang dalam Tamil), jangan jadi bodoh dengan membingkai gambar-gambar tersebut atau menunjukkannya. orang akan datang tahu'. Gambar-gambar tersebut tidak pernah dibingkaikan," kata Thirunama, disambut gelak ketawa para hadirin.
'Setiausaha ancam dedah'Dalam kenyataan saksinya, Thirunama mendakwa beliau diberi wang RM1,200 untuk membeli sebuah telefon bimbit dari Mutiara Telecommunication - ketika itu dimilik Vincent Tan - untuk Eusoff.Dalam keterangannya hari ini, Thirunama juga mendedahkan bahawa beliau telah diminta membeli sebuah telefon bimbit untuk bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mokhtar.Thirunama bekerja dengan Lingam antara tahun 1995 dan 1996, termasuk melaku kerja-kerja di firma guaman Lingam di mana dia mengenali setiausaha Lingam, Jeyanthi, yang menguruskan lawatan Lingam ke New Zealand.“Dia menemui Lingam untuk mengambil sekeping cek. Bekas pengerusi Mahkamah Perindustrian, Satchianandan memberitahu saya, dia (Jeyanthi) menimbulkan banyak masalah pada Lingam dan dia (Jeyanthi) mahu mendedahkan banyak perkara mengenai (Lingam dan) hakim-hakim," dakwa Thirunama.Mengenai Vincent Tan pula, Thirunama mendakwa, Lingam telah mengenalinya sejak tahun 70-an lagi kerana beliau pernah ternampak jutawan tersebut di rumah keluarganya di Seapark, Petaling Jaya.Anggota pesuruhjaya diraja itu beberapa kali menegur Wee supaya jangan menyimpang dan mengemukakan soalannya berkaitan empat bahagian dalam kenyataan saksi Thirunama, yang diputuskan boleh diterima.Para peguam yang mewakili Eusoff, Tan dan Lingam turut membantah beberapa kali soalan yang dikemukakan oleh Wee.Pada satu ketika, apabila Thirunama menyebut nama Mokhtar, Pengerusi suruhanjaya tersebut, Tan Sri Haidar Mohd Noor kelihatan tidak jengkel dan menegur Wee.Sambil menegaskan perlunya perkara tersebut digali sedalam-dalamnya, Wee menjawab: "Ini adalah ibu semua siasatan, jika tidak kita akan memerlukan satu lagi siasatan (untuk menyiasat rasuah dalam kehakiman)."Bagaimanapun, Haidar berkata, peguam itu tidak boleh membangkitkan apa-apa sahaja dalam siasatan tersebut.Kemudiannya, seorang lagi anggota suruhanjaya tersebut, Datuk Steve Shim bertanya kepada Wee sama ada perlu untuk mengheret personaliti-personaliti lain ke dalam siasatan tersebut dan sama ada peguam tersebut berhasrat untuk memanggil mereka sebagai saksi.“Jika dibenarkan, saya mahu Datuk Low Hop Bing dan Datuk Mokhtar Sidin dipanggil,” kata Wee tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai pembabitan Low.Nama Low disebut dalam kenyataan saksi Thirunama tetapi ia bukan dalam bahagian yang diterima oleh suruhanjaya tersebut.‘Saya 100% tidak gila’Sebelum itu, Thirunama memberitahu suruhanjaya diraja tersebut bahawa beliau 100 peratus yakin bahawa orang dalam videlo klip tersebut adalah Lingam."Saya boleh kenal dari bahasa badannya, kelantangan dia bercakap, pergerakannya, dia teruja dalam perbualan tersebut dan perkataan ‘correct, correct, correct’ - selalu digunakannya ketika saya berkerja dengannya," katanya.Ini mendorong Haidar untuk mencelah: “Sebagai seorang adik, beliau boleh memberi gambaran terbaik mengenai abangnya."Lingam telah mempertikaikan keterangan Thirunama dan laporan awal yang dibuatnya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang mendakwa adiknya itu adalah seorang pesakit mental.Bilik mahkamah menjadi gamat apabila Mahadev Shankar bertanya kepada Thirunama bagi memperjelaskan perkara tersebut.“Adakah kami gila?” tanya Mahadev kepada Thirunama.“Saya 110 peratus pasti yang saya tidak gila. Itu adalah satu tuduhan yang serius terhadap saya," jawab Thirunama sambil tersenyum.Apabila Eusoff diminta masuk ke bilik mahkamah untuk dicam, Thirunama berdiri dengan tiba-tiba dalam kadang saksi dan berkata: "Anda seorang Tun, saya amat menghormati anda."Beliau kemudiannya mengesahkan bahawa Eusoff adalah orang yang ditemuinya ketika menghantar hadiah ke rumah bekas Ketua Hakim Negara itu.
Menjawab soalan peguamnya Wee Choo Keong, Thirunama mengulangi bahawa beliau tidak mengalami gangguan mental, khayalan ataupun diletakkan di bawah pemerhatian psikiatrik.
Laporan polisTerdahulu, Mahadev merujuk kepada keterangan Lingam kepada suruhanjaya itu bahawa Thirunama memberikan kenyataan kepada BPR kerana beliau (Lingam) enggan memberikan wang kepada Thirunama. Mahadev menarik perhatian bahawa Lingam turut memberitahu suruhanjaya itu yang peguam M. Manoharan, bertindak bagi pihak Thirunama, telah menghubungi Lingam dan menuntut supaya diberikan wang, satu dakwaan yang dinafikan oleh Thirunama. "Itu tidak benar. Semasa Manoharan menghubungi abang saya, saya sedang berada di pejabat Manoharan. Manoharan katakan kepada saya yang abang sayaberitahunya banyak kali bahawa keadaan mental saya tidak stabil," kata Thirunama. Semasa Haidar bertanya jika terdapat keterangan bagi menunjukkan Thirunama bukanlah mengalami keadaan mental tidak stabil, Wee berkata beliau ada sepucuk surat daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) yang menyatakan UMMC tidak pernah mengeluarkan laporan perubatan yang menyebut Thirunama telahpun dirujuk ke hospital itu untuk pemerhatian mental, sepertimana yang didedahkan oleh Lingam."Sebenarnya UMMC telahpun membuat laporan polis mengenai kenyataan bahawa UMMC mengeluarkan laporan perubatan berhubung keadaan mental Thirunama," kata Wee.
Mano sedia beri keterangan
Sementara itu, Bernama melaporkan, peguam M Manoharan yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini menyatakan kesediaannya untuk memberi keterangan dalam siasatan suruhanjaya diraja berhubung klip video Lingam.
Manoharan telah menghantar surat kepada setiausaha suruhanjaya itu melalui peguamnya Karpal Singh.
Karpal berkata, Manoharan perlu menjawab dakwaan Lingam beberapa hari lalu semasa siasatan, bahawa Manoharan yang menjadi peguam kepada adiknya Thirunama Karasu telah meminta sejumlah wang sebagai bayaran untuk menarik balik satu laporan BPR.
Laporan itu dikatakan berkaitan pembabitan Lingam dalam sistemkehakiman.
Menurut Karpal yang ditemui pemberita di perkarangan mahkamah di Kuala Lumpur, pihaknya juga memohon supaya Lingam dipanggil semula untuk soal balas.
Manoharan, 47, bersama empat pemimpin lain Hindraf - P Uthayakumar, 47; V Ganabatirau, 35; K Vasantha Kumar, 35; dan R Kengadharan, 41; ditahan di bawah ISA mulai 13 Disember tahun lalu.