Tuesday, January 29, 2008

Perbualan dalam klip video adalah fitnah, kata Ahmad Fairuz

Perbualan dalam klip video adalah fitnah, kata Ahmad Fairuz
Jan 28, 08 7:46pm
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim menyifatkan bahawa perbualan dalam klip video yang mengaitkan namanya berhubung pengaturan pelantikan hakim adalah satu fitnah.Ahmad Fairuz semasa memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kesahihan klip video itu berkata beliau tidak tahu mengapa lelaki yang dikatakan sebagai peguam Datuk V.K Lingam dalam klip video terbabit mengaitkan namanya dalam perbualan itu dan memfitnahnya."Saya tidak tahu mengapa dia (Lingam) berbuat begitu, mungkin dia hanya hendak menunjuk-nunjuk (kepada) orang di situ bahawa dia mengenali Perdana Menteri, orang-orang besar dan dia kenal Hakim Besar Malaya", katanya ketika menjawab soalan peguam Salehuddin Saidin yang mewakili beliau.Kepada soalan lain Salehuddin, Ahmad Fairuz berkata ketika memegang jawatan sebagai Hakim Besar Malaya, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara, beliau tidak tahu bahawa ada sesiapa atau mana-mana pihak yang cuba membantu melobi beliau untuk mendapatkan jawatan berkenaan, demikian menurut laporan Bernama.Katanya beliau mula mendapat tahu berhubung klip video itu melalui bekas setiausahanya pada tarikh yang sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman untuk mendedahkan klip video terbabit iaitu pada 19 September tahun lalu.Ahmad Fairuz berkata, pada sebelah petang hari berkenaan, bekas setiausahanya memberikan dua artikel diperoleh daripada laman web Malaysiakini bertajuk "Video Link CJ To Judge Fixing Scandal" dan "Transcript Of Lingam Connversation With Ahmad Fairuz"
Baca transkrip
Kepada soalan Salehuddin apakah tindakan diambilnya selepas membaca artikel dan transkrip berkenaan, Ahmad Fairuz berkata beliau membaca berkali-kali kedua-dua dokumen itu dan pada keesokan harinya, beliau menulis surat yang dialamatkan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz) bagi menjelaskan pendapat dan kedudukannya mengenai klip video itu."Saya memilih untuk menghantar surat kepada ketiga-tiga pihak berkenaan kerana mereka adalah wakil Badan Eksekutif di mana saya sebagai ketua Badan Kehakiman perlu memberitahu kepada badan eksekutif mengenai tohmahan terhadap saya dan apakah pendirian saya."Ahmad Fairuz kemudian ditunjukkan surat yang dihantar beliau itu (ketiga-tiganya mempunyai isi kandungan sama dan disertai artikel serta transkrip Malaysiakini), antara lainnya menyatakan "Berikut adalah penjelasan saya, saya tidak pernah berbual dengan "V.K Lingam".Menjawab pertanyaan Salehuddin mengapa beliau menulis nama Lingam yang disertai dengan pembuka kata, Ahmad Fairuz berkata ia adalah kerana pada waktu itu beliau tidak pasti siapa yang sedang berbual melalui telefon dalam klip video itu dan beliau tidak dapat melihat dengan jelas paparan dalam video berkenaan."Dalam penjelasan saya, juga saya katakan bahawa saya tidak pernah berbual sedemikian. Apa-apa yang terkandung dalam transkrip perbualan itu adalah tohmahan bahawa Lingam berbual dengan saya berhubung topik tersebut dan saya katakan bahawa ia semua adalah tidak benar."Rakaman perbualan dalam klip video itu hanyalah satu monolog kerana suara saya tidak terdengar dalam perbualan tersebut tetapi hanya terdengar suara Lingam", katanya.Ahmad Fairuz berkata dalam penjelasannya melalui surat tersebut, beliau berkata tiada tanda yang boleh mengaitkannya dalam klip video itu kerana namanya tidak disebut sebagai pihak satu lagi yang bercakap melalui telefon dengan Lingam.Kepada soalan Salehuddin sama ada beliau pernah terfikir untuk membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang melalui saman fitnah, Ahmad Fairuz berkata: "Saya tidak pernah berfikir untuk berbuat demikian kerana dalam artikel Malaysiakini sudah disebut bahawa ada pihak (Parti Keadilan Rakyat) akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan juga membuat aduan kepada Majlis Peguam."Dalam surat khabar yang diterbitkan selepas itu juga tidak ada merujuk nama saya tetapi hanya merujuk kepada nama Lingam yang dilaporkan berbual dengan seorang hakim kanan, oleh itu jika saya membuat laporan polis ia akan disalah tafsir bahawa hakim kanan tersebut adalah saya."Saya tidak mengambil apa-apa tindakan saman fitnah kerana saya tidak pasti siapa yang memfitnah saya dan siasatan juga akan dijalankan oleh BPR, maka tidak elok bagi saya untuk mengambil tindakan tersebut," katanya.
'Tidak hubungi Lingam'
Ahmad Fairuz berkata beliau hanya akan mengambil tindakan undang-undang selepas pasti dan mengetahui siapa yang menfitnahnya.Kepada soalan lain Salehuddin, katanya beliau dimaklumkan oleh bekas setiausahanya bahawa ada pihak akhbar cuba mendapatkan komennya dan beliau tidak membuat sebarang komen kerana siasatan akan dijalankan.Kepada soalan sama ada beliau ada menghubungi Lingam bagi menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung klip video dan transkrip itu, Ahmad Fairuz berkata: "Tidak. Nanti berbangkit fitnah yang lain pula. Saya tidak mahu ditohmah bahawa saya memujuk dia (Lingam) untuk menarik balik tohmahan dalam klip video itu. Saya sebagai Ketua Hakim Negara tidak ada sebab untuk menghubungi dia".Sementara itu, Ahmad Fairuz turut menafikan beberapa bahagian dalam transkrip perbualan klip video itu yang mengaitkan namanya termasuk bahawa beliau adalah pengikut bekas ketua hakim negara Tun Eusoff Chin.Ahmad Fairuz juga menafikan perbualan dalam klip video yang memaparkan lelaki yang dikatakan sebagai Lingam memberitahu ahli perniagaan Loh Mui Fah, bahawa beliau (Lingam) sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz yang ketika itu Hakim Besar Malaya.Ahmad Fairuz juga suruhanjaya diraja bahawa hubungannya dengan peguam Lingam adalah sekadar hubungan hakim dan peguam.Katanya, beliau mengenali Lingam selepas peguam itu hadir di mahkamah kerana mengendalikan kes di hadapannya.Bekas Ketua Hakim Negara itu berkata beliau juga mengenali tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (sejak beliau dilantik Timbalan Menteri di JabatanPerdana Menteri).Bagaimanapun, kata beliau, hubungannya dengan mereka berdua setakat bertemu di majlis-majlis rasmi sahaja.Menjawab soalan pegawai pengendali inkuiri Datuk Azmi Ariffin, Ahmad Fairuz berkata beliau tidak dapat mengenal pasti secara positif sama ada lelaki yang dikatakan Lingam dalam klip video berkenaan kerana beliau hanya berjumpa dengan Lingam sekadar beberapa kali sahaja di mahkamah dan bertemu sekali di di rumah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Bagaimanapun, Ahmad Fairuz berkata lelaki yang terdapat dalam klip video itu mempunyai mirip yang sama dengan Lingam.

No comments: