Tuesday, January 22, 2008

Pernah bercuti bersama Mohtar, Vincent Tan

Pernah bercuti bersama Mohtar, Vincent Tan

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Peguam, Datuk V. K. Lingam mendedahkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja hari ini, beliau pernah bercuti di Sepanyol bersama-sama Tan Sri Mohtar Abdullah yang ketika itu memegang jawatan Peguam Negara pada sekitar 1995 dan 1996.
Katanya, percutian itu turut disertai oleh ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun serta keluarga masing-masing.
Semasa ditunjukkan foto percutian itu oleh peguam yang mewakili Badan Peguam Malaysia, Robert Lazar, beliau tidak dapat mengingati dengan tepat dan meneka ia di Sepanyol berdasarkan latar belakangnya.
‘‘Dalam percutian itu, kami turut melawat Maghribi. Itu satu-satunya percutian bersama Tan Sri Mohtar.
‘‘Saya pernah ke India dua kali untuk lawatan keagamaan bersama Tan Sri Vincent Tan dan tidak pernah bercuti bersama sejak 1999,’’ jelasnya.
Ditanya tentang hubungan beliau dengan Allahyarham Mohtar yang meninggal dunia pada 2001 akibat penyakit angin ahmar, Lingam menyifatkan mereka sebagai kawan.
Menurut Lingam, beliau mula mengenali Mohtar pada satu perjumpaan bagi membincangkan masalah kecurian di kejiranan mereka pada 1994.
Beliau yang mengaku pernah berkunjung ke rumah Mohtar semasa majlis Hari Raya bagaimanapun menafikan pernah mengadakan perjumpaan atau perbincangan rahsia dengan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu.
Menyentuh hubungan beliau dengan Vincent Tan, jelasnya, mereka berkawan baik selain firma guaman beliau dilantik sebagai panel guaman syarikat Kumpulan Berjaya pada sekitar 1990-an.
‘‘Sepanjang mengendalikan kes-kes perundangan, bukan semua kerja yang saya buat, saya perlu jumpa dia. Kami jarang berjumpa kerana beliau seorang ahli perniagaan yang sibuk.
‘‘Selalunya saya berurusan dengan pengurus atau eksekutif yang berkaitan. Jika ada perkara rumit, dia akan telefon sekejap,’’ jelas Lingam.
Ditanya hubungannya dengan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, katanya, beliau mengenalinya sejak Menteri Pelancongan itu memegang jawatan sebagai pengarah di syarikat-syarikat kepunyaan Kumpulan Berjaya.
Bagaimanapun, mereka jarang berhubung atau berjumpa walaupun beliau membuat kerja-kerja litigasi seperti merangka draf perjanjian, memberi nasihat perundangan dan korporat kepada syarikat tersebut.
Selain dua individu itu, Lingam turut ditanya tentang status hubungan beliau dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin.
Pada mulanya beliau menafikan hubungan mereka sangat akrab. Bagaimanapun apabila ditanya semula, Lingam memberitahu hubungan mereka tidak begitu rapat.
Sejurus Robert mula menyentuh tentang isu percutian beliau di New Zealand bersama-sama Eusoff dan keluarga pada 1994, Lingam memberitahu peguamnya. R. Thayalan akan berhujah mengenai perkara itu.
Hujahan yang bertujuan menentukan sama ada persoalan tersebut relevan dengan fungsi prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja berterusan sehingga pukul 5 petang dan akan disambung esok.

No comments: