Friday, February 1, 2008

Tiada janji dengan Dr M

Tiada janji dengan Dr M
Oleh Wan Hazmir Bakar, Anwar Hussin dan Samshul Azree Samshir

SENTIASA DINANTI: Abdullah bersalaman dengan belia yang hadir pada Majlis Anugerah Belia Negara 2007 di Stadium Putra Bukit Jalil sambil diiringi Jeanne dan Azalina, semalam.
Abdullah nafi pernah buat perjanjian tempoh pegang jawatan PM KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata tidak ada perjanjian antara beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung tempoh perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri. "Tidak ada gentlemen's agreement (janji mulut)," kata Perdana Menteri berhubung dakwaan Dr Mahathir kononnya terdapat perjanjian lisan antara mereka pada 2003 supaya Abdullah memegang jawatan itu untuk satu penggal saja.
Abdullah yang ditemui pemberita selepas merasmikan pusat beli-belah terbaru di ibu kota, Pavilion, semalam bagaimanapun enggan mengulas lanjut walaupun beberapa kali ditanya pemberita, kecuali mengulangi jawapannya: No (tiada) gentlemen's agreement". Kelmarin, Dr Mahathir berkata, walaupun beliau tidak mungkin dapat membuktikan perjanjian itu, ia adalah berkaitan kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri selepas Abdullah menamatkan tempoh satu penggal . "Fikiran saya pada masa itu ialah kerana beliau (Abdullah) lebih berumur daripada Najib, beliau patut menjadi Perdana Menteri untuk satu penggal dan kemudian Najib patut ambil alih," kata Dr Mahathir.
Ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir yang meminta beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, Abdullah berkata: "Masing-masing ada pandangannya". Mengenai kesanggupan bekas Perdana Menteri itu untuk berkempen pada pilihan raya umum akan datang dengan syarat calon Barisan Nasional (BN) bersih, Abdullah berkata, BN meletak calon yang bersih. Ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir supaya rakyat memilih calon BN daripada kalangan mereka yang bersih, Abdullah berkata: "Kita nak letakkan calon yang bersih juga". Abdullah juga yakin BN akan dapat mengekalkan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum nanti.
Sementara itu, Najib berkata, beliau menyokong dan setia kepada Abdullah serta tidak tahu menahu mengenai perjanjian yang didakwa Dr Mahathir. "Saya tidak tahu mengenainya, saya benar-benar tidak tahu mengenainya. Saya komited untuk menyokong Perdana Menteri dan setia kepada Perdana Menteri. "Pada masa sama, tumpuan saya ialah kepada pilihan raya dan bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pegawai Masjid Felda (SPMF) 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Timbalan Perdana Menteri yang ditanya sekali lagi apakah beliau benar-benar tidak tahu mengenai perjanjian itu, berkata: "Saya tidak tahu, anda perlu tanya pihak yang berkenaan."

No comments: