Tuesday, February 12, 2008

Gagal tapisan BPR

Gagal tapisan BPR
SHAH ALAM 11 Feb. - Beberapa bakal calon yang telah disenaraikan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-12 di negeri ini digugurkan setelah didapati gagal melepasi tapisan pertama Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, pengguguran itu dibuat setelah beberapa nama calon yang terdiri daripada mereka yang menjadi wakil rakyat ketika ini serta muka-muka baru didapati mempunyai masalah tertentu termasuk kes rasuah.
Mohamad Khir yang enggan mendedahkan nama ahli-ahli politik berkenaan berkata, jumlah bakal calon yang gagal itu amat kecil berbanding 200 senarai calon Dewan Undangan Negeri dan Parlimen negeri ini yang telah diserahkan kepada BPR baru-baru ini.
"Sebelum ini, kita telah hantar senarai calon berkenaan kepada BPR untuk diteliti status mereka dan saya akui memang ada yang gagal melepasi tapisan tersebut.
"Saya tidak boleh beritahu dengan terperinci mengenai perkara ini kerana perjanjian kita (BN Selangor) dengan BPR adalah rahsia bagi mengelak berlakunya sebarang spekulasi buruk atau tuding-menuding terhadap mereka yang tidak terbabit.
"Namun, saya boleh katakan jumlahnya terlalu kecil dan BN Selangor masih lagi mempunyai ramai calon yang berkaliber dan berkelayakan," katanya di sini hari ini.
Mohamad Khir berkata, proses tapisan senarai calon BN tidak akan terhenti setakat itu.
Sebaliknya, beliau berkata, senarai calon itu seterusnya akan dihantar kepada pihak polis untuk tapisan kedua dan kemu-dian ke Jabatan Insolvensi serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan mereka bebas daripada jenayah, saman, status bankrap serta terlibat dalam masalah berkaitan dengan cukai.
"Hanya calon terbaik akan dipilih," ujarnya.

No comments: