Monday, February 4, 2008

Mat Taib dicalonkan

Mat Taib dicalonkan
PETALING JAYA 3 Feb. – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib merupakan antara nama yang disenaraikan sebagai calon pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Dr. Mohammad Khir Toyo berkata, senarai barisan calon telah siap dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila diminta berbuat demikian.
‘‘Akhirnya terpilih atau tidak barisan yang badan perhubungan kemukakan itu adalah keputusan muktamad Perdana Menteri. Setakat ini belum serah lagi.
‘‘Di pihak kita, semua pimpinan peringkat bahagian, ahli jawatankuasa bahagian kita akan kemukakan (sebagai calon) kepada Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Mengecat Bangunan di Taman Desa Ria PJS 5 di sini hari ini.
Muhammad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya turut hadir ke majlis tersebut.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad Khir meminta rakyat Selangor supaya ‘tidak bercerai’ dengan Barisan Nasional (BN) yang selama ini menjadi kerajaan negeri ini semata-mata kerana beberapa masalah kecil termasuk tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tegas beliau, BN selama ini telah terbukti berjaya memacu Selangor menjadi negeri paling maju di Malaysia hingga menjadi tumpuan seluruh negara dan juga rakyat asing yang kini mencatatkan penduduk seramai lapan juta.
‘‘Prestasi ekonomi yang baik yang terus-menerus mewujudkan peluang pekerjaan adalah kerana kemampuan BN sebagai kerajaan,” jelasnya.
Pada perkembangan berasingan, Muhammad yang ditanya kemudiannya berhubung pencalonan beliau oleh Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata: ‘‘Cukuplah Menteri Besar (Mohamad Khir) dah cakap tadi.”

No comments: