Tuesday, February 12, 2008

Score pacu ekonomi Sarawak

Score pacu ekonomi Sarawak
Oleh Misiah Taib
UNTUK RAKYAT: Abdullah bersama (dari kiri) Awang Tengah; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid; Abdul Taib; Jeanne; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Nor Mohamed melihat model projek hidro elektrik Bakun pada majlis pelancaran Score di Bintulu, semalam.
RM105.6 bilion pelaburan awal jana koridor pembangunan kelima negaraBINTULU: Koridor kelima negara - Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) yang dilancarkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, menerima pelaburan awal bernilai lebih RM105.6 bilion. Sebanyak 13 memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani pada hari pelancaran koridor itu dengan pelaburan terbesar sebanyak RM50 bilion membabitkan kerjasama antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam ucapannya pada majlis pelancaran Score di Bintulu Promenade, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan awal RM5 bilion bagi pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk memacu koridor itu. Abdullah berkata, peruntukan itu disediakan melalui kajian semula projek di bawah RMK-9 serta penambahan peruntukan dalam kajian separuh penggal rancangan berkenaan. "Pembangunan Koridor Sarawak keseluruhannya memerlukan pelaburan lebih RM300 bilion menjelang 2030," katanya pada majlis dihadiri kira-kira 20,000 orang yang disifatkan Perdana Menteri sebagai yang teramai dalam pelancaran koridor wilayah di negara ini.
Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Laila Taib; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Perancangan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan. Ini adalah koridor terakhir dilancarkan Abdullah selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor; Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER); Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC). Score membabitkan kawasan 70,709 kilometer persegi di wilayah tengah Sarawak, iaitu kira-kira 56.8 peratus daripada saiz seluruh negeri ini seluas 124,449 kilometer persegi. Koridor itu merangkumi kawasan sepanjang 320 kilometer dari Tanjung Manis di Sarikei ke Similajau di Bintulu. Dalam tempoh 23 tahun sehingga 2030, Score dijangka membabitkan pelaburan berjumlah RM334 bilion dengan Kerajaan Pusat menyumbang 15 peratus, kerajaan negeri (empat peratus), syarikat berkaitan kerajaan (23 peratus) dan 58 peratus lagi pelaburan swasta.
Sambil mengajak seluruh rakyat Sarawak bersama-sama merealisasikan wawasan Score, Abdullah berkata, pelaksanaan koridor itu mensasarkan membanteras sepenuhnya kemiskinan tegar di negeri ini menjelang 2030. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak pula dijangka meningkat lima kali ganda kepada RM118 bilion pada 2030, berbanding RM23 bilion sekarang. Selain itu, 1.6 juta peluang pekerjaan akan diwujudkan, termasuk lebih 830,000 pekerjaan dalam industri yang ditekankan di Koridor Sarawak. Abdullah berkata, Sarawak menjadi negeri terakhir untuk pelancaran koridor pembangunan wilayah kerana negeri ini sangat luas sehingga memerlukan perancangan rapi dan teliti. "Pembangunan Koridor Sarawak bersifat 'broad-based' yang merangkumi pembangunan ekonomi, perindustrian dan modal insan. "Sasaran kita adalah untuk membawa pembangunan ke seluruh pelosok Sarawak, menjana dan mengagihkan peluang bermutu secara meluas dan memastikan rakyat Sarawak dapat menikmati pendapatan lebih tinggi, yang diagihkan secara lebih rata dan menyeluruh. "Matlamat kita adalah untuk mendidik dan membuka peluang kepada rakyat Sarawak, khususnya di pedalaman dan kawasan kurang maju untuk turut serta dalam ekonomi moden," katanya. Perdana Menteri berkata, Sarawak bertuah kerana dianugerahkan kekayaan sumber alam, misalnya wilayah tengah Sarawak mempunyai pinggir laut yang panjang serta kawasan tanah suai tani yang besar. "Kawasan ini juga kaya dengan sumber tenaga asli seperti tenaga hidro, arang dan gas asli yang dapat menjana tenaga bagi tujuan perindustrian atau dimajukan sebagai satu industri eksport. "Atas dasar ini, kita memutuskan Koridor Sarawak dibangunkan di wilayah tengah Sarawak merangkumi Bintulu, Kapit, Sibu, Mukah dan Sarikei," katanya. Beliau berkata, tenaga menjadi teras utama Score dan elemen terpenting bagi menjayakan pembangunan koridor berkenaan. Sepuluh industri berkeutamaan tinggi dikenal pasti untuk diberi penekanan khusus iaitu industri berasaskan petroleum dan gas; aluminium; keluli; kaca; minyak sawit; pembalakan; kejuruteraan marin; ternakan serta perikanan dan akuakultur. Industri itu akan dijadikan asas membangunkan industri hiliran, sekali gus membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berakar dan berkembang di negeri ini. Abdullah juga memberi jaminan dalam membangunkan Sarawak, kerajaan akan memastikan alam sekitar dan khazanah alam negeri sentiasa terpelihara. "Saya sudah mengarahkan supaya satu kajian 'Green Development Framework' dihasilkan untuk memastikan Koridor Sarawak dilaksanakan secara mesra alam," katanya. Beliau juga memuji langkah proaktif kerajaan negeri menubuhkan badan pelaksana khas, Regional Corridor Development Authority of Sarawak (Recoda) yang bertanggungjawab bagi melaksana dan memantau pembangunan Koridor Sarawak. INFO: 13 MoU pada pelancaran Score
Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mewujudkan komitmen bagi menyediakan struktur dan asas kerjasama serta usaha sama membabitkan pelaburan RM50 bilion.
Pelaksanaan projek loji penyaluran tenaga termasuk pembinaan dua kabel dasar laut untuk menghubungi projek Hidro Bakun dengan Semenanjung membabitkan pelaburan bernilai RM22 bilion antara SEB dan Kumpulan Sime Darby Berhad.
Projek membangunkan penjanaan dan penyaluran tenaga di Sarawak membabitkan pelaburan antara RM3 bilion hingga RM20 bilion antara SEB, RHB Islamic Bank Berhad, Unicorn International Islamic Bank Malaysia Berhad, Asian Finance Bank Berhad dan Kuwait Finance House.
Membekalkan tenaga antara 900 megawat sehingga 1,200 megawat kepada Kilang Peleburan Alumunium yang akan dibina di Similajau, Bintulu membabitkan pelaburan bernilai RM5.25 bilion antara SEB, Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS) dan Rio Tinto Aluminium Limited (RTA).
Membangunkan kluster bersepadu keluli di Sarawak membabitkan pelaburan AS$1.5 bilion antara CMS, MMC Corporation Bhd dan Pan Kingdom Invesment Co.
Membekalkan tenaga tambahan sebanyak 510 megawat kepada Kilang Peleburan Alumuminium yang akan dibina di Mukah menjelang 2010 membabitkan pelaburan RM2.5 bilion antara SEB dan Press Metal Berhad (PMB).
Membina Kilang Penapisan Zinc Electro di Bintulu membabitkan pelaburan AS$350 juta antara Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Asia ZincOX Resources Plc United.
Membangunkan projek tenaga dan sumber biofuel diperbaharui membabitkan pelaburan AS$300 juta antara Kumpulan Carbon Corporation Sdn Bhd dan Japan Carbon Company Limited.
Menjalankan perniagaan dalam industri perikanan dan akuakultur membabitkan pelaburan RM100 juta antara Konsortium Galdasar Sdn Bhd (Malaysia) dan Yuh Yow Fishery Company Limited.
Membangun dan menyelenggara limbungan kapal membabitkan pelaburan RM40 juta antara Konsortium Galdasar Sdn Bhd (Malaysia) dan Shei Chui Oceanic Enterprise Company Limited.
Menyediakan latihan kepada kakitangan teknikal Syarikat Alumunium Sarawak (Salco) antara Kumpulan CMS, Rio Tinto Alumunium dan Matt Liddy dan International College of Advanced Technology Sarawak (ICATS).
Menyediakan teknologi kepada Salco antara Kumpulan CMS dan Rio Tinto Aluminium Limited.
Menyediakan 1.6 juta ADT kayu palpa kepada Acacell setiap tahun antara Acacia Cellulose International Sdn Bhd (Acacell) dan Sarawak Planted Forest Sdn Bhd (SPF).

No comments: