Thursday, February 7, 2008

PRU ke 12: Peluang tipis Najib untuk gantikan Abdullah sebagai PM

PRU ke 12: Peluang tipis Najib untuk gantikan Abdullah sebagai PM
Mohd Rashidi Hassan Wed Feb 06, 08 5:16:44 pm MYT
Apakah Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berfikir, kesetiaan yang ditunjukkan beliau kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membantunya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6?

Mesej sebenar yang hendak disampaikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah, jika Abdullah diberi mandat melanjutkan khidmatnya sepenggal lagi, Najib mungkin tidak berpeluang menjadi PM dan Presiden Umno.
Gesaan Mahathir Mohamad supaya Abdullah Badawi hanya diberi mandat sepenggal sahaja sebagai PM ke-5, harus dipandang serius oleh semua rakyat, khususnya ahli-ahli Umno sendiri.
Mahathir mendakwa, semasa menyerahkan kuasa kepada Abdullah, mereka ada membuat perjanjian lisan supaya Abdullah memegang jawatan hanya sepenggal dan selepas itu menyerahkannya kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.
Kata Mahathir, ianya memandangkan Abdullah lebih tua dari Najib. Apapun Mahathir mendakwa beliau tidak mempunyai bukti tentang kewujudan perjanjian tersebut.
Fokus Mahathir jelas. Mesejnya juga jelas. Iaitu jika Abdullah diberi mandat sekali lagi, ia bukan sahaja membahayakan negara, malah Umno juga akan rosak.
Dalam reaksinya kepada komen Mahathir, Abdullah dengan tegas berkata tiada 'gentlemen's agreement' antara keduanya.
Manakala Najib pula berkata, "Saya tak tahu pasal itu. Saya komited dalam sokongan saya kepada Perdana Menteri (Abdullah) dan taat kepada beliau."
'Beri saya sepenggal lagi'
Sebelum ini Abdullah telah pun meminta mandat rakyat untuk membenarkannya menerajui negara sepenggal lagi, dalam erti kata lain beliau meminta rakyat memberikan kuasa semula kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-12.
Barangkali satu penggal tidak mencukupi baginya. Belum ada jaminan dua atau tiga penggal mencukupi baginya untuk membuktikan Malaysia berbaloi mempunyai PM sepertinya.
Abdullah meminta mandat lagi kerana mendakwa kerajaan sedang dalam proses melaksanakan segala program dan projek ekonomi yang dirancang memerlukan masa bertahun-tahun untuk mencapai hasilnya.
Abdullah dilaporkan sebagai berkata, program-program tersebut akan mengambil masa selama 5 tahun dan jika termasuk rancangan pembangunan serta polisi ekonomi negara, ianya memerlukan sehingga 30 tahun barulah hasilnya boleh dilihat.
Jika dilihat kepada faktor kemampuan dan usia, mustahil Abdullah mampu bertahan sehingga 30 tahun sebagai PM, barangkali dua atau tiga penggal beliau masih boleh meneruskan tugasnya.
Dalam hal ini jelas Mahathir tidak bersetuju dengan hasrat Abdullah untuk meminta rakyat bagi meneruskan mandatnya sepenggal lagi.
"Saya faham memang untuk melaksanakan sesuatu projek akan mengambil masa, namun saya fikir ia bukan suatu alasan untuk kekal berkuasa sehingga 18 tahun lagi....," kata Mahathir sinis.
Apapun Mahathir tetap mengulangi pendiriannya bahawa oleh kerana Abdullah harus diberi peluang sepenggal sahaja dan selepas itu jawatan PM diserahkan kepada Dato' Seri Najib Tun Razak.
Nilai kesetiaan dalam Umno
Saranan Mahathir supaya Abdullah hanya diberikan sepenggal sahaja ada logiknya berdasarkan pengalaman 22 tahun beliau menjadi PM dan Presiden Umno.
Sepanjang ingatan penulis, hanya Dato' Musa Hitam (sekarang Tun) sahaja yang dilihat 'menderhaka' kepada PM, mengumpulkan kekuatan dan bergabung dengan Tengku Razaleigh Hamzah, sehingga tersingkir dalam pemilihan parti.
TPM yang paling setia adalah Encik Ghafar Baba (Tun), menggantikan Musa, namun tersingkir apabila tewas kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 1993.
Malahan Anwar sebelum dipecat (tahun 1998) sentiasa menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Mahathir. Mahathir adalah ayahanda, Mahathir adalah segala-galanya.
Malangnya kesetiaan itu tidak memadai dan akhirnya Anwar disingkirkan dalam keadaan yang sangat tragis dalam politik negara.
Unsur-unsur kesetiaan dalam politiking Umno sangat diragui sebenarnya. Wujudnya rasuah, black mail, character assassination dan real assassination dalam perebutan jawatan parti. Fenomena ni bukannya baru, ia wujud dan subur semasa Mahathir masih menerajui Umno.
Pemimpin-pemimpin Umno juga sedar puak yang menyokong seseorang pemimpin belum tentu kerana kekuatan peribadinya atau kekuatan kewangan dan kuasa yang dimiliki.
Hakikatnya kesetiaan mutlak tidak wujud, yang wujud hanyalah kesetiaan fantasi sementara kuasa dan wang ada pada tangan seseorang yang bernama Abdullah Ahmad Badawi.
Persoalannya apakah kini, Najib dan penyokong-penyokongnya yakin, dengan ikrar kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Abdullah, suatu jaminan untuk tidak tersingkir?
Membantu Umno untuk membersihkannya?
Mahathir turut mengajak rakyat supaya 'mengajar' Barisan Nasional dan mengekang kuasa mutlak Abdullah dengan mengakibatkan ia 'defect' di kawasan tertentu.
Tujuannya jelas kata Mahathir, ia sekaligus akan membantu Umno untuk membersihkannya dari daki-daki yang dibawa oleh Abdullah, Khairy Jamaluddin dan kroni-korninya dari Tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri.
Amalan korupsi, kronisme dan nepotisme yang dikecam rakyat sejak zaman Mahathir, kini begitu subur akibat mandat besar yang diperolehi Abdullah di penggal pertama menjadi PM.
Amalan buruk ini menjadi semakin buruk apabila orang-orang Umno sendiri tidak berupaya 'mengangkat muka' untuk menegur Abdullah dan Khairy. Mereka hanya mampu melepaskan geram dengan 'cakap-cakap belakang' sahaja.
Jika pun Mahathir seorang sahaja yang berani bersuara dan lantang mengkritik Abdullah, tetapi kesedaran ini sudah hampir terlambat.
Usia dan kesihatan Mahathir sudah tidak mengizinkannya memperbetulkan kesilapannya melantik Abdullah sebagai penganti beliau.
Orang-orang Umno tidak boleh diharap untuk memperbetul dan membersihkan kekotoran dalam Umno sebagaimana yang didakwa Mahathir.
Tidak ada jalan lain untuk mengubah keadaan ini melainkan menghentikan mandat kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 tidak lama lagi.
Kelihatannya memang sukar, tetapi tiada yang mustahil jika Allah mengkehendakinya

No comments: