Sunday, February 3, 2008

PKR dapat kerusi lebih sekali ganda di Kelantan

PKR dapat kerusi lebih sekali ganda di Kelantan
TANAH MERAH 2 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mendapat tambahan kerusi melebihi 100 peratus pada pilihan raya umum akan datang walaupun parti itu tewas di semua lima kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya umum 2004.
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, pembahagian kerusi bukan satu masalah besar kepada perikatan pembangkang dan ia telah diselesaikan.
Beliau berkata, pihaknya yakin PKR dapat memenangi kesemua kerusi yang diberikan berdasarkan kekuatan parti berkenaan.
Bagaimanapun ditanya adakah peluang Pas untuk terus mengekalkan pemerintahan di negeri ini akan terjejas disebabkan terlalu banyak kerusi diberikan kepada PKR atas dasar persahabatan, Husam berkata: "Dulu (PKR) kalah kelima-lima kerusi tetapi kali ini kami akan menang semua."
Beliau berkata demikian ketika ditemui Mingguan Malaysia pada majlis Ijtimak Pilihan Raya kawasan Tanah Merah di Jalan Bukit Tebu di sini hari ini.
Pada pilihan raya umum 2004, PKR hanya diberi lima kawasan iaitu tiga kerusi Parlimen - Kota Bharu, Ketereh dan Tanah Merah serta dua kerusi DUN iaitu Nenggiri dan Paloh. Bagaimanapun parti itu tewas di semua kerusi tersebut.
Pada pilihan raya umum kali ini, PKR dijangka mendapat sekurang-kurangnya 10 kerusi di peringkat Parlimen dan DUN di negeri ini sebagai usaha untuk mengukuhkan kedudukannya di negeri itu.
Dalam pada itu, katanya, parti berkenaan akan memberikan taklimat kepada jentera pilihan rayanya mengenai manifesto Pas Selasa ini.
"Kami akan beri taklimat awal kepada jentera parti supaya senang untuk bergerak ke seluruh negara selepas itu kami akan umumkan manifesto tambahan khusus untuk Kelantan.

No comments: