Sunday, February 3, 2008

Anwar mahu bertanding di Kedah

Anwar mahu bertanding di Kedah
ALOR STAR 2 Feb. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan akan bertanding di kerusi Parlimen di Kedah jika beliau boleh bertanding pada pilihan raya umum ke-12 ini.
Anwar bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa beliau berminat untuk bertanding di negeri ini dan tidak menyatakan kerusi mana yang ingin ditandinginya.
Beliau ditawarkan oleh parti itu untuk bertanding di Parlimen Kuala Kedah yang kini disandang oleh wakil Barisan Nasional (BN), Hashim Jahaya yang menewaskan Mohamad Sabu dari Pas dengan majoriti 10,214 undi pada pilihan raya umum lalu.
"Saya akan bertanding dan mungkin di Kedah," kata Anwar ketika ditanya pemberita mengenai calon yang akan diketengahkan PKR pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatannya ke negeri itu dan Perlis di Markas Pas Anak Bukit di sini malam tadi.
Anwar boleh bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 jika ia diadakan selepas pertengahan April ini.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan PKR Kedah, Zamri Yusuf berkata, parti itu akan menawarkan kerusi Parlimen Kuala Kedah kepada Anwar jika dia boleh bertanding kerana kawasan tersebut mempunyai potensi untuk dimenangi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, PKR dan Pas secara dasarnya mencapai kata sepakat untuk menentang calon-calon Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu pada pilihan raya umum ke-12.
Katanya, proses perbincangan mengenai pengagihan kerusi berjalan lancar dan memasuki fasa terakhir serta dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Menurut beliau, rundingan PKR dengan parti pembangkang termasuk DAP masih berterusan kerana ada kawasan yang mengalami perubahan demografik menyebabkan corak pengundi berubah, selain memastikan penyertaan masyarakat Cina dan India diambil kira.
"Kadang-kadang kawasan itu tradisional DAP tetapi corak pengundi itu berubah besar menyebabkan rakan-rakan PKR di peringkat bahagian meminta dipertimbangkan. Tetapi saya tidak fikir ia boleh menjejaskan hubungan baik PKR dan DAP dalam konteks ini.
"Ia juga ada hubung kait dengan jaminan PKR dengan masyarakat Cina dan India supaya penyertaan mereka diambil kira dan ini diterima baik oleh Pas," tambahnya.
Anwar mengakui wujud masalah berbangkit di peringkat bawah menyebabkan rundingan mengenai pengagihan kerusi lambat diselesaikan, namun ia adalah kecil dan secara umumnya di peringkat akhir perbincangan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembangkang akan menjadikan isu kenaikan harga barang dan minyak serta masalah kaum sebagai antara modal untuk berkempen pada pilihan raya umum ke-12.

No comments: