Tuesday, February 5, 2008

Bilakah kita nak belajar politik?

Bilakah kita nak belajar politik?
Abdul Halim Mohd Rashid Mon Feb 04, 08 3:03:43 pm MYT
Dalam berita bertajuk "Indians will vote against BN: Pak Lah," Malaysiakini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, undi kaum India kepada Barisan Nasional akan merudum. Beliau tidak pula menyebut bahawa penerimaan rakyat kepadanya juga merudum, terutama dari kaum India.
Teringat pula pilihan raya 1990. Keputusan bagi kerusi parlimen Sungai Siput hanya diketahui pada pagi hari berikutnya. Akhirnya, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mendapat 14,427 undi manakala lawannya, P Patto mendapat 12,664 undi.
Itulah pilihan raya paling sengit bagi Samy Vellu. Ketika itu, sebahagian besar orang-orang India menolak beliau. Beliau menang kerana undi, sokongan habis-habisan dan kerja keras orang-orang Umno. Ketika mengulas kemenangan sukarnya itu, beria-ia Samy Vellu meratib-ratib: "Umno jiwa saya! Umno nadi saya!"
Tidak lama selepas pilihan raya itu, saya berpeluang berbual dengan Patto ketika bertemu dengannya di atas keretapi. Patto hendak balik Ipoh dan saya pula hendak balik ke rumah emak saya di Matang, Taiping.
Banyak juga yang kami bualkan. Memanglah, nak buat apa lagi atas keretapi?
Patto ternyata kecewa dengan orang-orang Melayu yang memenangkan Samy Vellu ketika itu. Dia menganggap Samy Vellu pengkhianat orang-orang India. Saya membantah Patto, "Bukan orang Melayu. Orang Umno!"
Terus terang, saya mahu Patto memenangi pilihan raya itu. "Aku pun frust. Aku nak hang menang. Bukan DAP, aku nak P Patto menang. Sungguh!" saya memberitahu beliau tanpa mempedulikan perasaannya apabila menyatakan saya hanya menyokong beliau, bukan DAP.
Saya tidak ingat apa jawapannya. Kalau nak tulis juga apa jawapan beliau, terpaksa berbohongLah!
Di pertengahan perjalanan, kami sama-sama ke kantin dalam keretapi itu. Kantin ka, kafeteria ke, saya pun tak ingat. Kira kantinlah!
Selepas mengambil pesanan, kami berebut-rebut hendak membayar. Patto memarahi saya. “Apa! hang ingat aku dah kalah, aku tak dak duit dah?” (Patto berasal dari Bagan Serai kalau tak silap saya, sebab itulah beliau fasih berbahasa Melayu loghat utara).
Sampai di Ipoh, Patto turun. Isteri dan anak-anaknya tinggal di situ.
Selepas kemarahan 1990 itu, akhir-akhir ini, ramai kaum India yang memaki hamun Samy Vellu dan menuduh beliau pengkhianat. Walaupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah membayangkan bukan mudah nak buang Samy Vellu, tetapi parti yang beliau pernah pimpinlah yang menyambung nyawa politik tokoh yang kelihatan menjadi kebencian sebahagian besar kaum India itu.
Samy Vellu telah dihukum oleh orang-orang India. Paling diingati ialah di Pulau Pinang ketika pertunjukan Aatam 100 Vagai dan di Batu Caves ketika sambutan Thaipusam baru-baru ini. Mungkin hukuman lebih berat menanti di Sungai Siput walaupun, bagai biasa, Umnolah yang akan menjadi penyelamatnya.
Biarlah Samy Vellu mengharungi penyakit buatannya sendiri. Persoalan yang lebih besar ialah bilakah kita akan belajar politik dari rakan-rakan yang berbangsa India?
Atau, adakah memang tak nak belajar??!!

No comments: