Sunday, February 3, 2008

Menangkap orang tidak berdosa dan bersalah lebih biadap - Mohamad Sabu

Menangkap orang tidak berdosa dan bersalah lebih biadap - Mohamad Sabu
Intan Abdullah Sun Feb 03, 08 1:31:31 pm MYT
KUALA LUMPUR, 3 Feb (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menjawab dakwaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menuduh Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) sebagai biadap.

"Dia lagi biadap jika hendak dibandingkan dengan kami (Bersih). Sebab apa yang dia telah lakukan kepada kami rakyat yang tidak berdosa? Bagaimana dia sengaja mengarahkan operasi tangkapan dibuat ke atas pihak kami yang sebelum ini telah memohon permit untuk mengadakan perhimpunan tersebut," katanya.
Berhubung tindakan mengoyakkan poster Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam sidang media tersebut, Mohamad Sabu mengulas, tidak mustahil selepas ini pihaknya akan membuat 'gimik' menyebat patung replika pengerusi SPR itu.
Perdana Menteri berkata kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang mengoyak gambar pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Beberapa hari lalu, aktivis-aktivis Bersih bertindak mengoyak gambar Abdul Rashid sebagai tanda protes dan mendakwa usaha SPR memperkenalkan dakwat pencelup jari untuk pengundi adalah perubahan berbentuk kosmetik semata-mata.
Mengulas mengenainya, Abdullah menganggap tindakan mereka itu sebagai biadap dan melampu dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Itu perangai biadap, ada cara lain lagi (untuk protes)," katanya dalam laporan Bernama selepas menghadiri Hari Alumni Universiti Malaya di Kuala Lumpur semalam.
Sementara itu, Mohamad Sabu tidak menolak kemungkinan akan berlaku tangkapan dalam perhimpunan kedua yang akan dianjurkan Bersih pada 22 Februari ini di Kuala Terengganu.
"Biar mahkamah kita penuh dengan tangkapan orang-orang yang terlibat dengan perhimpunan menuntut hak mereka sehingga membiarkan penjenayah bermaharaja lela di negara ini. Itulah fungsi sebenar mahkamah kita," katanya.
Menurutnya, beliau kecewa dengan sikap dan pendirian kerajaan yang sekadar pandai bersandiwara menyatakan selepas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak meminta pihak yang ingin menganjurkan perhimpunan memohon permit.
"Kita ikut saranan Najib, mintak permit. Tapi bukannya dia berikan kelulusan pun. Cakap je," tegasnya.
Pada 1 Februari lalu, Bersih membuat keputusan untuk mengadakan Jom Karnival Rakyat di Kuala Terengganu pada 22 Febuari ini setelah gagal mendapat lokasi program tersebut sekitar Lembah Klang.
Menurut Ahli Jawatankuasa Bersih, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, karnival tersebut diadakan di premis persendirian berhampiran kawasan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu bermula jam 3 petang.
Tambahnya, pada sebelah malam pula, satu perhimpunan rakyat secara besar-besaran akan diadakan di pusat bandaraya Kuala Terengganu.
Sungguhpun begitu, ujarnya, pihak Bersih tidak akan memohon permit dari pihak berkuasa termasuk polis untuk mengadakan karnival tersebut.
"Bersih berpendirian tidak perlu memohon permit kerana ia premis persendirian. Sama ada ia dibenarkan polis atau tidak, karnival tersebut akan tetap diadakan," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Syed Azman yang juga merupakan AJK PAS berkata, pihaknya gagal untuk mendapatkan lokasi yang dipohon di ibu negara termasuk di Stadium Melawati di Shah Alam.
Katanya, pihak pengurusan Stadium Negara, Stadium Merdeka dan Dataran Merdeka telah menolak permohonan bersih untuk mengadakan karnival rakyat di lokasi tersebut.
Dalam pada itu, jelasnya Bersih akan menghantar memorandum kedua kepada Yang di-Pertuan Agong pada 15 Februari ini, bagi menuntut diadakan pilihan raya yang adil dan bersih.
Katanya, pihak Istana Negara telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut

No comments: