Tuesday, February 5, 2008

Pita Lingam: Siasatan Suruhanjaya Diraja perlu perubahan drastik

Pita Lingam: Siasatan Suruhanjaya Diraja perlu perubahan drastik
Wan Nordin Wan Yaacob Mon Feb 04, 08 1:28:16 pm MYT
KUALA LUMPUR,4 Feb (Hrkh) - Setelah hampir sebulan Suruhanjaya Siasatan Diraja 'Pita Lingam' menjalankan operasinya , Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mengkritik kaedah pelaksanaan siasatannya yang tidak memfokuskan isu rasuah yang menjadi topik utama pendedahan pita itu.

Bendahari Agung KeADILan, William Leong berkata,minggu lalu ahli suruhanjaya mendapati bahawa kenyataan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai manipulasi seorang di sebalik tabir atas suruhanjaya tersebut dianggap badan itu sebagai 'menghina'.
Dalam siasatan munggu lalu kata William, Anwar meminta untuk peluang untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya berhubung bukti-bukti rasuah dalam kehakiman.
Namun segalanya sia-sia setelah suruhanjaya yang dikepalai Tan Sri Haidar Mohamed Nor menolak permohonan peguam Anwar, M.Puravelan.
"Anwar ingin memberi keterangan kepada suruhanjaya untuk menyatakan bahawa selepas membaca semula kenyataan yang diberi kepada media," jelas beliau.
Namun suruhanjaya beranggapan ia satu kenyataan yang menghina badan itu, katanya.
Kata William, kepincangan dalam siasatan klip video rasuah kehakiman ini berlaku sejak dari awal lagi.
Pada mulanya kata William, siasatan yang dibuat Badan Pencegah Rasuah (BPR) melalui syarikat Cyber Security mengenai ketulenan klip video itu telah mengesahkan ketulenannya.
Begitupun pendedahan mengenai pengesahan klip video itu dilewatkan meskipun BPR boleh berbuat demikian, katanya.
"Pihak berkuasa pastinya sedar bahawa Cyber Security boleh mengesahkan klip video tersebut dalam masa beberapa hari selepas ia didedahkan. Pihak berkuasa memilih untuk menyembunyikan maklumat ini," katanya.
BPR telah mengeluarkan perintah di bawah seksyen 22 Akta Mencegah Rasuah 1997, menghendaki Anwar mengeluarkan klip video yang asal atau beliau akan dikenakan tindakan mahkamah, katanya.
Bagaimanapun, dalam kenyataan ke BPR sendiri, Anwar mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai klip video yang asal, ujarnya.
"Sekarang, ia telah dibongkarkan kepada suruhanjaya bahawa Dato' VK Lingam telah memberi nama dan alamat Loh Mui Fah dan anak lelakinya kepada BPR," ujarnya.
Dengan maklumat ini, BPR boleh memperoleh klip video yang asal dan sekali lagi, pihak berkuasa memilih untuk tidak bertindak, katanya.
Kini timbul banyak lagi masalah selepas saksi yang penting seperti Anwar tidak dipanggil untuk memberi keterangan sedangkan ia amat penting untuk perjalanan siasatan tersebut, katanya.
"Suruhanjaya ini diperlukan untuk memulangkan keyakinan orang ramai kepada badan kehakiman. Ia bukan sahaja mengenai perlantikan hakim. Ia adalah mengenai kegiatan rasuah di dalam badan perhakiman. Tindakan drastik perlu diambil untuk memulihkan situasi ini," ujar William yang juga seorang peguam.
Menurut William, Anwar telah mendesak pihak berkuasa untuk memastikan rangkuman penyiasatan suruhanjaya cukup luas untuk mengambil tindakan yang menyeluruh.
Malangnya, rangkuman penyiasatan yang terhad telah merompak kewibawaan suruhanjaya dan oleh itu, Anwar telah menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membetulkan keadaan, katanya.

No comments: