Tuesday, February 5, 2008

Hantar 3 mangkuk sup ke rumah Eusoff

Hantar 3 mangkuk sup ke rumah Eusoff
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM dan NORAZLITA MOHD SIES
KUALA LUMPUR 4 Feb. - V. K. Thirunama memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja di sini hari ini bahawa dia pernah diarah oleh Datuk V. K. Lingam, abang kandungnya, untuk menghantar pelbagai hadiah termasuk tiga mangkuk sup ke rumah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin pada 1996.
Menurut Thirunama, 50, dia juga pernah pergi bersendirian ke rumah Eusoff untuk menghantar sebuah beg bimbit yang berisi sampul berwarna coklat, beg tangan dan dompet dari Itali dalam tahun yang sama.
Menjawab pertanyaan peguamnya, Wee Choo Keong, saksi ke-18 itu turut mengaku menghantar kek dari Angel Cake House serta memandu ke rumah Eusoff bersama-sama Lingam untuk menghantar beberapa fail sekitar 1995.
''Dalam perjalanan, dia (Lingam) beritahu mahu ke rumah Eusoff dan ada kes penting berkaitan dengan Ayer Molek, tapi saya tidak tahu apa Ayer Molek.
''Semasa saya datang semula ke rumah Eusoff untuk mengambil Lingam, saya nampak Lingam tunduk dan berkata, thank you my lord, thank you my lord (terima kasih Yang Arif),'' katanya.
Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Tan Sri Haidar Mohamed Noor itu bersidang di bilik Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini bagi menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video perbualan telefon seorang lelaki dipercayai Lingam yang dikatakan sedang mengatur pelantikan hakim.
Thirunama memberitahu dia pernah menasihatkan abangnya supaya tidak lagi ke rumah Eusoff kerana bimbang kegiatan Lingam dapat dihidu berikutan kes Perwaja yang sedang disiasat pada masa itu.
''Saya beritahu Lingam, 'ane', tolong berhati-hati, jangan pergi ke rumah Eusoff lagi, awak akan tertangkap suatu hari nanti,'' kata Thirunama.
Apabila ditanya oleh ahli suruhanjaya Datuk Mahadev Shankar tentang panggilan terhadap Lingam, Thirunama menjawab: ''Saya panggil Lingam 'ane' (abang sulung), saya tidak panggil dia Datuk.''
Sementara itu, Thirunama turut mengesahkan bahawa dia diberi tanggungjawab oleh Lingam mencari dua bidang tanah untuk dihadiahkan kepada Eusoff pada 1995.
Jelasnya, Lingam menyuruh dia berbuat demikian selepas Eusoff tidak berkenan dengan rumah yang ingin dihadiahkan kepadanya serta mahukan tanah lebih besar untuk membina rumah mengikut citarasanya sendiri.
Diitanya oleh Choo Keong bagaimana dia mengetahui bahawa Eusoff kurang menyukai rumah milik Lingam di alamat No. 2, SS1/38, Kampung Tunku, Petaling Jaya dekat sini, juruelektrik itu memberitahu dia terdengar perbualan mereka.
''Saya terdengar Eusoff kata kawasan rumah itu besar tapi ia terletak dekat dengan jalan besar dan bimbang anak- anak akan dilanggar oleh kenderaan yang lalu lalang.
''Saya cadangkan pada Eusoff agar pasang dua pintu pagar automatik, satu untuk masuk dan satu untuk keluar. Beliau tersenyum dan berkata, ia cadangan yang baik,'' ujarnya.
Berikutan itu, kata Thirunama, dia terdengar Lingam berkata: ''Kalau Tun tidak suka, kami akan cari tanah yang lebih besar untuk bina rumah mengikut cita rasa Tun.''
Selepas diarah oleh Lingam, dia menghubungi kawannya, P. M. Vijendran yang bekerja di Reapfields Sdn. Bhd. dan memberitahu abangnya, Datuk Sivaparanjothi dan Panjararatnam untuk mencari dua bidang tanah.
Jelasnya, walau mereka berjaya mendapatkan lot yang sesuai di SS7, Petaling Jaya, dekat sini, dia tidak pasti sama ada Lingam membeli tanah itu atau tidak.
Menurut Thirunama, sekitar Oktober 1995, dia diarah untuk membawa kunci rumah tersebut dan menaiki kereta BMW dengan nombor pendaftaran WDV 788 ke sana.
Jelasnya, Lingam memberitahu kereta kalis peluru yang dinaiki itu kepunyaan ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun sementara Eusoff dan isteri mengekori mereka dengan kereta Mercedes.
Di samping itu, Thirunama mendakwa pernah bercakap dengan Eusoff sebanyak empat kali termasuk semasa dia menjawab telefon bimbit Lingam yang ketika itu sedang sibuk.
Dia turut mendakwa Eusoff dan isteri pernah berkunjung ke rumah abangnya untuk makan malam bersama-sama bekas Presiden Mahkamah Rayuan pertama, Tan Sri Lamin Yunus dan mengucapkan selamat jalan kepada Lingam dan isteri yang akan berlepas ke Amerika Syarikat.
Sepanjang memberi keterangan, Thirunama kerap ditegur oleh Haidar kerana memberi jawapan yang meleret-leret serta tidak mengikut kehendak soalan.
Malah, jawapannya secara bersahaja juga kerap menyebabkan semua yang mengikuti prosiding tertawa terbahak-bahak.
Semasa mengecam Eusoff, Thirunama tiba- tiba berdiri dan enggan duduk apabila diarah berbuat demikian dengan alasan dia menghormati bekas Ketua Hakim Negara itu.

No comments: