Wednesday, February 6, 2008

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan PAS akan bertanding 60 kerusi parlimen pada pilihan raya

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan PAS akan bertanding 60 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang dan menjelaskan rundingan pembahagian kerusi di antara parti KeADILan di seluruh negara juga sudah selesai.
Beliau menjelaskan jumlah kerusi yang dipertandingkan itu mestilah sesuatu yang praktikal dan paling penting ialah objektif keadilan kepada semua lapisan masyarakat tercapai.
"Alhamdulillah pembahagian kerusi semua selesai termasuk di Kelantan dan seluruh negara," katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.
Turut hadir sama di sidang media itu Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar.
Sidang media itu diadakan sejurus selepas satu pertemuan tertutup yang diadakan di antara Ustaz Hadi dan Anwar selama hampir dua jam bagi membincangkan hal ehwal pilihan raya dan manifesto bersama.
"Macam biasa, berunding berkaitan pilihan raya dan manifesto. Alhamdulillah, persediaan lebih 99 peratus untuk menghadapi pilihan raya akan datang," kata Ustaz Hadi menjelaskan tentang pertemuan itu.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ustaz Ahmad Awang; Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub; Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi dan Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.
Mengiringi Anwar dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Naib Presiden KeADILan, Mustafa Kamil Ayub.
Sementara itu Anwar turut menjelaskan bahawa KeADIlan secara asas telah sepakat dengan PAS berhubung dengan manisfesto yang bakal ditawarkan kepada rakyat.
"KeADILan dan PAS sepakat dengan manifesto bersama dan akan mengumumkan tawaran bersama kepada rakyat dalam tempoh terdekat ini," katanya.

No comments: