Thursday, February 7, 2008

PKR bertanding 7 kerusi di Terengganu

PKR bertanding 7 kerusi di Terengganu
KUALA TERENGGANU 6 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir pasti bertanding di tujuh kerusi iaitu lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen di Terengganu pada pilihan raya umum ke-12.
Timbalan Pengerusi PKR Terengganu, Ng Chai Hing berkata, secara prinsipnya, Pas bersetuju untuk mengagihkan tujuh kerusi tersebut kepada PKR bagi membolehkan pakatan pembangkang itu bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, satu daripadanya ialah kerusi Parlimen Kemaman yang juga ditandingi oleh calon PKR pada pilihan raya lepas manakala kerusi DUN pula mungkin di lima daripada lapan kawasan Parlimen di negeri ini.
''Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai perkara ini akan diputuskan oleh pemimpin tertinggi PKR setelah berbincang dengan pemimpin Pas Pusat selepas perayaan Tahun Baru Cina ini.
''Daripada perbincangan dengan pemimpin Pas Terengganu sejak tahun lepas, secara prinsipnya mereka bersetuju untuk memberi laluan kepada PKR,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dengan pemberian tujuh kerusi itu kepada PKR bermakna parti itu memperoleh lima kerusi tambahan untuk bertanding di Terengganu pada pilihan raya kali ini.
Pada pilihan raya umum 2004, PKR hanya diberi satu kerusi Parlimen iaitu di Kemaman dan satu kerusi DUN di Telemong, bagaimanapun calon parti itu tewas di kedua-dua kerusi berkenaan.
Menurut Chai Hing, PKR dan Pas negeri ini sudah bersetuju mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang.
''Kita akan bertanding satu lawan satu dengan calon BN," ujarnya yang enggan menyebut calon-calon yang akan diketengahkan PKR pada pilihan raya kali ini.

No comments: