Sunday, February 3, 2008

Misi gempur, kekal dan tawan

Misi gempur, kekal dan tawan
Oleh HASSAN MOHD NOOR
KELMARIN, Jumaat, buat julung kalinya, sambutan Hari Wilayah Persekutuan menyaksikan berlangsungnya istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat di Istana Negara. Istiadat itu juga disiarkan secara langsung oleh RTM1. Sambutan kali ini sememangnya meriah sejak Wilayah Persekutuan (WP) dibentuk pada 1 Februari 1974 – bermula dengan Kuala Lumpur diikuti Labuan (1984) dan Putrajaya (2001).
Namun dalam kemeriahan itu, WP juga tidak lupa dengan persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-12. Apatah lagi secara kebetulan, Menterinya Zulhasnan Rafique ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Badan Perhubungan UMNO WP.
Walaupun sibuk dengan persediaan sambutan Hari WP, minggu lepas Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak telah pun melancarkan jentera pilihan raya dan bilik gerakan BN WP. Dan persiapan BN WP itu berkonsepkan one stop centre dengan motonya Wilayah Persekutuan Gerbang Gemilang. Persiapan itu mendapat pujian daripada Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO.
“Saya amat terharu dan cukup berbangga dengan sambutan yang diberikan ketika saya berjalan masuk ke pentas utama. Ini merupakan satu perhimpunan luar biasa kerana sambutan yang begitu hangat daripada pelbagai parti komponen BN.
“Saya berjanji akan melaporkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa BN Wilayah Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Zulhasnan Rafique berada di tahap yang paling terbaik sekali dan sudah bersedia untuk mengharungi cabaran pilihan raya umum yang ke-12 nanti,” kata Najib ketika berucap lebih sejam di hadapan kira-kira lebih 5,000 penyokong BN merangkumi ahli-ahli UMNO, MCA, PPP, Gerakan dan MIC.
BN WP nampaknya benar-benar sudah bersedia? Ini dapat dilihat melalui bait-bait pantun Zulhasnan pada majlis pelancaran jentera itu: Panji BN kita laungkan, Barisan jentera kita siap siagakan; Pilihan raya 2008 medan pertempuran, Musuh ditentang kerusi ditawan.
Dua misi dan visi penting BN WP ialah mempertahankan sembilan kerusi Parlimen BN dan merampas empat kawasan Parlimen yang dikuasai oleh DAP iaitu Kepong, Bukit Bintang, Cheras dan Seputeh.
BN ketika ini menguasai kerusi Setiawangsa (Zulhasnan-UMNO), Wangsa Maju (Yew Teong Look-MCA), Titiwangsa (Astaman Abdul Aziz- UMNO), Batu (Ng Lip Yong-Gerakan), Segambut (Dr. Tan Kee Kwong-Gerakan), Lembah Pantai( Shahrizat Abdul Jalil-UMNO), Bandar Tun Razak (Tan Chai Ho-MCA ), Putrajaya (Tengku Adnan Tengku Mansor-UMNO) dan Labuan (Suhaili Abdul Rahman-UMNO).
Ketika BN mahu mempertahankan kerusi yang dimenanginya dan DAP pula bersedia menambah kerusi, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mengintai peluang di kerusi yang diduduki calon-calon UMNO, Gerakan dan MCA.
Statistik terkini menunjukkan kaum Cina mengusai jumlah pengundi yang terbanyak di WP iaitu 53%, Melayu 34.1%, India 9.9% dan lain-lain 3%. Bagaimanapun di Parlimen Setiawangsa, Titiwangsa, Batu, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Putrajaya, Labuan dan Wangsa Maju merupakan kawasan yang didominasi oleh pengundi Melayu.
Tentunya bagi UMNO, tumpuan diberi kepada kawasan Titiwangsa apabila Ahli Parlimennya Astaman yang juga Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju dikenakan tindakan disiplin oleh MT UMNO. Persoalannya siapakah yang akan mengisi tempat beliau pada kali ini?
Apa yang pasti penduduk di situ khususnya ahli-ahli UMNO mahu orang tempatan. Setakat ini sudah ada beberapa nama yang disebut-sebut bakal menjadi calon. Antaranya Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO WP Senator Kamaruddin Ambok, Bendahari UMNO dan juga Ketua UMNO Bukit Bintang, Abdul Azim Zabidi.
Bagi Pengerusi Perhubungan UMNO WP, Zulhasnan, soal calon akan ditentukan oleh Perdana Menteri.
“Beliau (Abdullah Ahmad Badawi) akan memutuskan senarai calon yang akan bertanding. Dan faktor yang paling penting menentukan seseorang calon bertanding ialah kredibiliti calon tersebut,” kata Zulhasnan kepada Mingguan Malaysia.
Namun yang pastinya tiga menteri yang datang dari WP dijangka kekal. Selain Zulhasnan, dua lagi ialah Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat serta Tengku Adnan yang juga Menteri Pelancongan.
Bagaimanapun bagi MCA, sesuatu yang menarik perhatian apabila parti itu mengumumkan bahawa calon-calon yang berkhidmat tiga penggal akan digugurkan. Apakah ini akan menjadi kenyataan? Jika benar selamatkah Tan Chai Ho yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak? Adakah beliau akan terkeluar pada kali ini?
Keputusan boleh berubah jika MCA mengambil kira pengalaman dan pengaruh Chai Ho. Malahan sebelum ini terdapat spekulasi bahawa Chai Ho yang juga anak watan Kepong sedia bertanding di Parlimen Kepong menentang calon veteran DAP – Dr. Tan Seng Giaw sekiranya Gerakan memberi peluang kepada MCA.
Kata satu sumber, ‘‘MCA mempunyai peluang yang cerah untuk menang di Kepong sekiranya calon veteran yang berpengalaman bertanding di kawasan tersebut dan lebih- lebih lagi pada pilihan raya umum yang lepas calon BN dari Gerakan Ma Woei Chyi hanya tewas dengan majoriti 1,854 undi.”
Peluang
Mungkin juga berdasarkan keputusan yang lalu, Woei Chyi yang juga Ahli Lembaga Penasihat DBKL masih mempunyai peluang di situ setelah banyak berkhidmat untuk masyarakat Kepong. Bagaimanapun, Gerakan dan MCA perlu bersedia untuk bertukar kerusi Parlimen jika formula ini dipersetujui. Khabarnya akan berlaku pertukaran kerusi Kepong dan Bagan antara MCA dan Gerakan pada pilihan raya umum kali ini.
Tetapi adakah Seng Giaw yang juga Timbalan Pengerusi DAP akan mempertahankan kerusinya atau memberi laluan kepada muka baru? Seng Giaw sudah enam penggal menjadi Ahli Parlimen di situ dan Kepong sudah tidak dapat dipisahkan lagi dengan sejarah kehidupannya. Tetapi mungkin boleh dipisahkan daripada DAP.
Selain Kepong percaturan politik MCA di Parlimen Bukit Bintang yang disifatkan Parlimen tumpuan Kuala Lumpur juga tidak kurang hebatnya.
“Saya sedia bertanding, sekiranya saya dipilih bertanding, BN mesti menang,” begitulah yang dikatakan oleh Dr. Lee Chong Meng ketika berucap di hadapan Perdana Menteri dan Zulhasnan dan juga lebih 10,000 orang pada majlis Pesta Ponggal yang julung kali dianjurkanya di Masjid India baru-baru ini.
Chong Meng yang lebih dikenali dengan gelaran “Dr. Haiwan” mempertaruhkan 6,000 pengundi India di kawasan Bukit Bintang yang dikatakan akan menjadi penentu kejayaan di Parlimen tersebut. Pada pilihan raya umum lepas, BN hampir-hampir memenangi kerusi tersebut dengan kekalahan tipis 303 undi dalam proses pengiraan semula selepas hari pengundian.
DAP dijangka menurunkan penyandang, Fong Kui Lun. Manakala MCA, selain Chong Meng yang juga Ketua MCA Bukit Bintang, calon pilihan raya umum lepas Tan Chew Moi dan seorang lagi wanita yang dikatakan berpotensi disenaraikan.
Di Wangsa Maju, Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan Yew Teong Look dijangka mempertahankan kerusi tersebut. Itu bagi kerusi di dalam tangan. Apa pula kerusi yang disandang DAP? Adakah Teresa Kok akan mempertahankan kerusi Seputeh dan Tan Kok Wai di Cheras? Siapakah yang akan diturunkan MCA untuk mencabar calon-calon di kubu DAP itu?
Di Kem Gerakan pula, kerusi Segambut menarik perhatian kerana penyandang sekarang dijangka terkeluar daripada senarai. Semuanya gara-gara menyebelahi team bekas Timbalan Presiden Gerakan, Kerk Choo Ting ketika beliau mencabar Presiden Parti, Dr Lim Keng Yaik pada pemilihan parti.
Adakah Kee Kwong yang juga Pengerusi Gerakan WP akan dicalonkan semula?
Setakat ini Gerakan dikatakan hampir pasti mencalonkan Naib Ketua Pemuda Gerakan Lim Si Pin, 39, yang juga anak Lim Keng Yaik. Peluang Si Pin nampak lebih jelas berbanding Kee Kwong. Apa pun nasib beliau terletak di tangan Pemangku Presiden Gerakan, Dr. Koh Tsu Koon
Tidak kurang hebatnya perhatian di Bahagian Batu yang majoriti pengundi Melayu, serta Cina dan India agak seimbang. Pada pilihan raya umum lalu, PKR menurunkan Tian Chua dan mungkin kali ini akan menurunkan calon yang sama.
Bukanlah sesuatu yang menggemparkan sekiranya PKR menurunkan nama-nama besar parti itu di WP termasuk di Batu, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai. Pas juga dijangka meletakkan calon yang berpengalaman di Titiwangsa.
Apa pun, WP menjanjikan saingan yang sengit kerana di Kuala Lumpur menjadi pusat gerakan reformasi dan demonstrasi yang cuba mengajak rakyat untuk melakukan perubahan. Namun cubaan atas nama reformasi pada 1999 gagal.
Apa pun, kita tunggu dan lihat percaturan parti-parti komponen BN dan pembangkang yang terdiri daripada DAP-PKR-Pas dalam pilihan raya umum nanti.

No comments: