Sunday, February 3, 2008

DAP tidak kenal erti kalah

DAP tidak kenal erti kalah
Oleh ROZAMAN ISMAIL
APAKAH DAP pada pilihan raya umum kali ini sekadar menambah undi tetapi tidak menambah kerusi?.
DALAM satu forum pilihan raya DAP bertajuk ‘Menuju Pilihan raya Ke-12, Ke Mana Malaysia?’ di Dewan Perhimpunan Cina, minggu lalu, seorang ahli panel berkenaan melahirkan kebimbangannya tentang peluang parti DAP pada pilihan raya umum akan datang.
Liew Chin Tong yang merupakan Penasihat Strategi Pilihan raya kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan kebimbangan sebenar DAP pada pilihan raya kali ini ialah parti itu berupaya menambah jumlah undi tetapi tidak berupaya menambah bilangan kerusinya.
Menurutnya, kebanyakan kerusi yang telah dirampas semula daripada MCA khususnya di kawasan bandar besar menunjukkan pertambahan peratusan undi saban tahun.
Bagaimanapun katanya, di sesetengah kerusi lain yang turut memperlihatkan jumlah sokongan yang diterjemahkan dalam bentuk peningkatan undi masih belum mampu memberi kemenangan dalam bentuk kerusi.
Chin Tong, 31, lulusan sains politik dari Australia National University (ANU) nampak realistik terhadap peluang DAP pada pilihan raya umum ke-12 yang bakal diadakan bila-bila masa sahaja dari sekarang.
Walaupun begitu, umum mengetahui para pemimpin parti ini termasuk dua ikon DAP, Pengerusinya Lim Kit Siang dan Karpal Singh terkenal dengan sikap ‘tidak mengenal erti kalah’ walaupun telah beberapa kali tersungkur.
Mereka tidak pernah berputus harap untuk menang besar dan membentuk sekurang-kurangnya satu kerajaan negeri setiap kali tiba pilihan raya umum walaupun rekod pencapaian sentiasa dan tidak pernah menyebelahi parti itu.
Tidak seperti Pas, rakan barisan pembangkang DAP yang secara diam-diam sudah masuk tahun ke-18 memerintah Kelantan, DAP nampaknya terus memasang impian setelah percubaan demi percubaan menerusi pelbagai projek seperti Projek Tanjung 1, 2 dan 3 gagal membuahkan hasil yang diharapkan.
Dengan pelbagai moto, slogan dan manifesto pilihan raya, prestasi terbaik parti ini hanyalah pada tahun 1990 apabila hampir mencipta kejutan di Pulau Pinang dengan memenangi 14 kerusi berbanding dengan Gerakan yang hanya memperoleh tujuh kerusi sahaja.
Selain itu, tiga lagi pilihan raya umum yang menyusul selepas itu merupakan ‘tempoh nazak yang sukar’ bagi DAP setelah mengalami kekalahan teruk hampir di semua negeri terutama ‘kubu’ kuatnya di Pulau Pinang.
Sebagai contoh DAP yang terlalu yakin dengan pengaruh teori pendulum yang dilihat bakal menyebelahi mereka pada pilihan raya umum 1995, menerima kejutan paling hebat umpama ‘dihempap batu ladung’ bila sekali lagi kalah teruk.
Dengan hanya memenangi satu kerusi negeri di Pulau Pinang pada tiga pilihan raya seterusnya, para pemerhati politik menjangka tidak banyak yang boleh diakukan oleh DAP pada pilihan raya kali ini sementelah Gerakan dan MCA semakin mengukuhkan kedudukan dan pengaruh di negeri itu.
Senario kalah teruk dalam tiga pilihan raya terakhir ini membayangkan DAP sudah tidak boleh diterima lagi oleh penduduk di Pulau Pinang terutama di kalangan pengundi Cina yang menjadi pengundi majoriti di negeri itu khususnya di bahagian pulau.
Lebih sukar lagi di mata para pengundi lain terutama orang Melayu pula, DAP sangat tebal imej cauvinismenya.
Tidak bersetuju
Chin Tong tidak bersetuju dengan tanggapan sedemikian yang disifatkannya lahir daripada momokan media massa semata- mata.
‘‘Memang keahlian daripada kalangan orang Melayu tidak sampai 10 peratus dibandingkan dengan orang Cina dan India yang membentuk hampir 70 peratus, tetapi perjuangan kami berasaskan keadilan dan kesaksamaan untuk semua kaum,” katanya.
Chin Tong mengakui sukar memperolehi undi orang Melayu pada pilihan raya umum yang lalu. Undi Melayu yang diperoleh sangat sedikit kecuali di kawasan Bukit Mertajam yang menghampiri 40 peratus itu pun akibat pengaruh kawasan parlimen Permatang Pauh yang berkedudukan bersebelahan.
Beliau mengakui persepsi ini menyebabkan orang Melayu khususnya menjauhkan diri daripada DAP walaupun isu-isu yang diperjuangkan masih bertaraf sejagat.
Guan Eng pada forum yang sama mendakwa persepsi dan imej cauvinisme Cina adalah gambaran yang diberikan oleh media massa sehingga menimbulkan rasa takut dan persepsi negatif pengundi terutama di kalangan orang Melayu.
DAP digambarkan sebagai anti-Melayu, kelihatan seperti sebuah parti yang hanya berminat memperjuangkan isu-isu berkaitan kaum Cina sahaja.
‘‘Itu tidak benar, saya dipenjarakan pun kerana memperjuangkan isu orang Melayu,” tegas Guan Eng lagi.
Malah menurutnya, parti itu mempunyai sejarah bagaimana beberapa pemimpinnya daripada kalangan kaum Melayu berjaya memenangi kerusi di Perak dan Pulau Pinang.
Ketika menjawab satu soalan pada forum yang sama, Guan Eng berkata, DAP tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha menarik sokongan orang Melayu kerana hasil perjuangan akhirnya adalah untuk semua kaum.
Penganalisis politik yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin pula melihat orang Melayu lebih rela mengundi dua lagi parti kaum Cina iaitu MCA dan Gerakan daripada mengundi DAP.
Katanya, mereka berbuat demikian kerana sejarah.
‘‘MCA dan Gerakan lebih banyak berurusan dengan orang Melayu iaitu UMNO. Mereka barangkali bertelingkah dan bertelagah, tetapi mereka tahu hanya ada satu sahaja jalan keluar iaitu berunding.
‘‘Mereka juga ada hubungan kerjasama dalam kehidupan seharian seperti perniagaan dan keadaan ini telah sekian lama wujud,” katanya.
Menurut Shamsul Amri, walaupun ketiga-tiga parti kaum Cina ini akan bersatu hati dalam isu-isu yang melibatkan pendidikan, bahasa dan kebudayaan kaum Cina, mereka sebaliknya membawa haluan masing-masing bila tiba perkara-perkara melibat politik dan perniagaan.
Berbeza dengan DAP kata Shamsul, dari awal lagi politiknya adalah berkaitan dengan penentangan terhadap perbezaan hak asasi, hak-hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan negara, Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat setiap kaum adalah sama dan tidak ada perbezaan taraf.
‘‘Perjuangannya seolah-olah untuk menidakkan sejarah,” katanya lagi.
Menurut penganalisis politik itu, cauvinisme sering kali dikaitkan dengan DAP kerana parti itu melihat garis panduan etnik sudah tidak sama lagi, dengan andaian perlembagaan tidak memberi keadilan dan kesaksamaan kepada semua kaum.
‘‘Bila sudah tidak sama, dalam proses melihat penjelmaan ketidaksamaan itu maka nampaklah cauvinismenya,” kata beliau lagi.
Politik ala DAP kata beliau, masih boleh bertahan di Malaysia kerana wujudnya satu keadaan unik yang mana masyarakat negara ini terbina di atas kesatuan majoriti kecilan.
Bagaimanapun pada akhirnya kata Shamsul Amri, pemilihan parti dalam pilihan raya ditentukan atas pertanyaan ‘apa yang Barisan Nasional (BN) boleh buat dan apa yang pembangkang boleh buat.
‘‘Rakyat Malaysia juga tidak mahukan kepada kekacauan dan jalan paling selamat ialah dengan memilih BN sebagai satu jaminan kerana mereka melihat BN tidak akan kalah,” katanya.
Exco kerajaan negeri Pulau Pinang dari Gerakan, Teng Cheng Yeow pula melihat parti yang hanya muncul pada musim pilihan raya sahaja seperti DAP tidak akan mendapat tempat dalam politik negara khususnya di Pulau Pinang.
Rakyat katanya, akan mengekalkan momentum sokongan yang telah diberikan pada tiga pilihan raya umum yang lalu kepada sebuah parti yang mempunyai dasar sosioekonomi yang baik dan berkesan sebagaimana dibuktikan oleh BN selama ini.
‘‘Dasar sosioekonomi yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon memberi keyakinan dan keselesaan kepada rakyat dan tidak ada sebab rakyat akan memilih DAP yang hanya menonjolkan diri sebagai wira rakyat bila ada satu-satu isu atau ketika pilihan raya sahaja,” tegasnya.

No comments: