Wednesday, February 6, 2008

Khir anggap BN Selangor sudah menang

Khir anggap BN Selangor sudah menang
KLANG 5 Feb. – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini melahirkan keyakinannya bahawa Barisan Nasional (BN) telah pun memenangi pilihan raya umum ke-12 walaupun tarikhnya masih belum ditentukan lagi.
Beliau berkata, BN sememangnya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya yang dijangka diumumkan pada bila-bila masa.
‘‘BN dah menang dah , dah tak ada masalah. Kita tidak fikir akan menghadapi sebarang masalah dalam pilihan raya kali ini,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Program Kaji Selidik Masalah Pendaftaran Kelahiran, Kad Pengenalan, Taraf Penduduk Tetap dan Anak Angkat anjuran Sekretariat Sukarelawan Barisan Nasional dan MIC Klang di Dewan Hamzah di sini hari ini.
Pada program itu lebih 3,000 orang yang kebanyakannya daripada keturunan India yang menetap di Selangor dan beberapa negeri di Semenanjung tetapi masih tidak mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan datang untuk mendaftar.
Program yang mendapat sambutan luar biasa itu akan diteruskan sehingga semua borang yang dikeluarkan kepada semua yang hadir dapat difailkan dengan baik.
Mengulas lanjut mengenai program kaji selidik yang dijalankan hari ini beliau berkata, pihaknya memang tidak menjangka masih ramai rakyat keturunan India yang tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Bila perkara itu diketahui kata beliau, pihaknya dengan kerjasama MIC dan badan bukan kerajaan menggerakkan program bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
‘‘Saya harap Jabatan Pendaftaran Negara juga akan melihat isu-isu ini secara lebih objektif.
“Ini kerana kita tidak boleh meninggalkan kes-kes ini begitu sahaja kerana kad pengenalan dan sijil kelahiran amat penting kepada setiap orang,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, tidak semua yang mendaftar hari ini akan mendapat kad pengenalan kerana siasatan terperinci akan dijalankan oleh JPN sebelum kad pengenalan dikeluarkan.
Tambah Mohamad Khir, beliau juga ingin mengingatkan yang setiap kelahiran di negara ini perlu didaftarkan walaupun ibu yang melahirkan atau bapa kepada bayi tiada dokumen yang sah.
Ditanya kemungkinan pembangkang akan menuduh program ini diadakan semata-mata untuk menambah undi pilihan raya, Mohamad Khir berkata, program ini tiada kaitan langsung dengan pilihan raya kerana ia diadakan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.
‘‘Mereka akan buat cerita dan akan serang saya dengan mengatakan ini percubaan untuk mendapatkan undi pilihan raya.
‘‘Tetapi saya nak jelaskan ini baru kita nak failkan dokumen dan lepas itu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan pergi pada satu fail ke satu fail.
‘‘Jadi Pas, DAP dan Keadilan jangan buat cerita yang bukan-bukan tentang program ini.
‘‘Tapi kalau nak bantu boleh datang sekali. Jangan kata kita nak undi lebih kita nak daftarkan orang lain sebab daftar pengundi dah ditutup 30 September lagi,” jelas beliau.

No comments: