Tuesday, February 5, 2008

Kes Pita Lingam: Anwar, Aliran tidak akan mohon maaf

Kes Pita Lingam: Anwar, Aliran tidak akan mohon maaf
Harakahdaily Mon Feb 04, 08 7:14:48 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim dan badan bukan kerajaan (NGO), Aliran telah pun menyatakan bahawa mereka tidak akan mengemukakan sebarang permohonan maaf kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kenyataan mereka mengenai panel itu yang disiarkan melalui Internet.

Perkara itu dinyatakan hari ini oleh Dato' Mahadev Shankar, seorang daripada lima anggota suruhanjaya itu yang mengadakan siasatan berhubung klip video kontroversi yang memaparkan peguam Dato' V. K. Lingam sedang berbual menerusi telefon kononnya bagi mengatur pelantikan hakim.
Bernama yang memetik kenyataan Mahadev berkata peguam M. Puravalen yang mewakili Anwar dan peguam C. V. Prabhakaran yang mewakili Presiden Aliran, P. Ramakrishnan, memaklumkan kepada suruhanjaya itu bahawa anak guam mereka bertegas dengan kenyataan itu dan tidak akan mengemukakan permohonan maaf kepada suruhanjaya.
Beliau berkata suruhanjaya itu memberi perhatian kepada dua artikel yang disiarkan dalam Internet.
Pertama ialah kenyataan oleh Ramakrishnan bahawa Aliran terkejut besar apabila Anwar, Naib Presiden KeADILan, R. Sivarasa dan Penyelaras KeADILan, Sim Tze Tsin tidak dipanggil sebagai saksi dalam siasatan itu meskipun mereka mempunyai bukti yang berkaitan, katanya.
Kedua ialah kenyataan akhbar yang dibuat oleh Anwar bahawa suruhanjaya itu dimanipulasi oleh 'tangan yang ghaib', katanya.

No comments: