Wednesday, February 6, 2008

Perdana Menteri hadapi tekanan untuk tentukan tarikh pilihan raya

Perdana Menteri hadapi tekanan untuk tentukan tarikh pilihan raya
Wan Nordin Wan Yaacob Tue Feb 05, 08 2:30:08 pm MYT
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Hrkh) - Sikap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang masih menimbulkan teka-teki berhubung tarikh sebenar pilihan raya umum ke-12 dibidas Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.

Beliau yang ditemui di Pejabat Agung PAS selepas pertemuan dengan pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) hari ini berkata, jelas bahawa Perdana Menteri masih lagi berhadapan dengan tekanan dalam menentukan tarikh.
Antaranya kata Kamarudin, tekanan dari dalam parti, komponen BN dan tekanan berhadapan dengan tuntutan pelbagai pihak yang berkepentingan.
"Desakan dari pelbagai pihak dalaman dan masalah besar negara yang memaksa beliau (Perdana Menteri) membuat keputusan untuk belum mengumumkan tarikh pilihan raya," katanya.
Selain itu kes-kes kenaikan harga minyak, kos sara hidup yang menekan, masalah jenayah, kes perkauman, dan kes rasuah yang belum selesai menyebabkan Perdana Menteri gusar untuk menentukan tarikh pilihan raya, katanya.
"Tetapi Perdana Menteri kena buat pilihan raya umum dengan cepat, kerana tekanan harga minyak yang terpaksa dinaikkan juga selepas pilihan raya ini itupun jika mereka menang," ujarnya lagi.
Laporan akhbar hari ini menyebut, Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau telah mendapat ilham untuk pilihan raya umum ke-12, namun masih belum menetapkan tarikh pilihan raya akan diadakan.

No comments: