Wednesday, February 6, 2008

Khairy dedah taktik pembangkang

Khairy dedah taktik pembangkang
KUALA LUMPUR 5 Feb. – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mendedahkan taktik tidak bertanggungjawab pembangkang yang sengaja meniup semangat kenegerian dalam usaha meraih sokongan dan simpati rakyat menjelang musim pilihan raya umum ke-12.
Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya berjaya mengesan taktik itu semasa beliau berkunjung ke Sabah baru-baru ini untuk bertemu dengan barisan kepimpinan Pemuda di negeri tersebut.
Katanya, apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang itu adalah satu perkara yang amat berbahaya kerana ia boleh menjejaskan hubungan antara negeri berkenaan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Mereka meniupkan semangat ini melalui ceramah-ceramah yang diadakan dan antaranya seperti ‘Sabah for Sabahan’. Kenyataan ini jelas bersifat kenegerian yang mana jika kita biarkan boleh meretakkan hubungan antara orang Sabah dengan Kerajaan Pusat.
“Kita tidak akan berdiam diri malah Pemuda telah menubuhkan kumpulan-kumpulan khas untuk bergerak di seluruh negara bagi memberikan maklumat sebenar kepada rakyat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan terkini Pemuda UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Forum Halal Sedunia telah mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan program Forum Halal Sedunia 2008 yang dijadual dilangsungkan pada 12 hingga 13 Mei depan.
Khairy berkata, dalam usaha menggerakkan kumpulan terbabit pihaknya menggunakan pelbagai pendekatan supaya rakyat dapat menerima segala maklumat yang disalurkan dengan tepat dan berkesan.
Selain ceramah katanya, kumpulan itu juga akan berkunjung rumah ke rumah dan ia telah pun bermula.
Satu lagi pendekatan yang akan digunakan katanya, ialah menyebarkan maklumat melalui internet iaitu sasarannya adalah di kalangan generasi muda dan golongan berpendidikan.
Beliau berkata, dalam dunia teknologi maklumat, penggunaan Internet kini semakin meluas.
“Kita perlu menerima hakikat jumlah pengguna Internet semakin meningkat. Oleh itu kita perlu menggunakan peluang ini untuk menyalurkan maklumat dan fakta yang tepat kepada masyarakat.
“Kita tidak boleh membiarkan pemikiran rakyat dipengaruhi oleh pihak pembangkang dan oleh itu Pemuda sentiasa bersiap sedia menggalas tanggungjawab ini,” ujarnya.

No comments: