Monday, February 4, 2008

Betulkah Malaysia berada di kedudukan ke-6?

Betulkah Malaysia berada di kedudukan ke-6?
Shirzad Lifeboat Sun Feb 03, 08 8:41:00 pm MYT
Bagi segelintir rakyat Malaysia, sebut sahaja nama Davos, sebuah daerah terletak di Timur Switzerland, Forum Ekonomi Dunia segera bermain di ruangan minda.

Namun bagi kebanyakan masyarakat luar bandar dan rakyat marhaen Malaysia yang ada di antaranya masih bersarapan ubi kayu dan teh bujang dengan kandungan pengawet tinggi atau nasi goreng kosong (kerana ikan bilis bukanlah lagi komoditi murah), atau bagi segolongan penduduk Sabah dan Sarawak yang masih mandi di sungai berlumpur dan berbuaya, Davos tidak membawa sebarang makna.
Namun di sinilah setiap setahun sekali (sejak 1971), para pemimpin dan tokoh tertentu pelbagai bidang dari seluruh dunia datang berkumpul bagi membincangkan agenda bersangkutan ekonomi dunia.
Apa sahaja boleh menjadi tajuk perbincangan - dari ketandusan bumi Burkina Faso (sebelum 1984 dikenali sebagai Repubik Upper Volta) yang mengakibatkan kebuluran dan pelbagai gejala sosial (penjualan bayi dan kanak-kanak, amalan mencacatkan kemaluan wanita), sehinggalah kepada perdebatan takrif 'masyarakat awam global.
Para pemimpin politik dan industri dunia, malah dari negara termiskin sekalipun akan mengenakan pakaian designer termahal bagi menyesuaikan diri dengan majlis dan persekitaran. Mereka bukannya berada di sembarangan tempat tetapi di Switzerland, negara ke-7 terkaya di dunia (Malaysia di tangga ke-67, perangkaan International Monetary Fund, 2006).
Sementara ramai warga dunia yang tak tahu atau tak pernah mendengar nama "Davos", tapi ramai yang tahu tentang Switzerland.
Bank Swiss dikaitkan dengan pendepositan wang peribadi dalam skala yang terkeluar daripada liga kebanyakan hartawan tak kira di Malaysia atau di mana-mana pun, ia juga adalah rumah kepada jenama Vacheron Constantin, jam tangan termahal di dunia (model Tour de l'lle dijual pada harga USD1.5 juta).
Namun bagi kebanyakan pemimpin politik dan industri dari negara membangun simbol jam mewah adalah dalam bentuk jenama Rolex, juga dari Switzerland. Jika anda kontraktor kerajaan dengan nilai perolehan projek dalam kiraan bilion ringgit, mungkin anda mahu memiliki sebuah Rolex Oyster Perpetual Date diperbuat daripada emas putih dengan harga USD24,000.
Tapi kalau anda hanyalah seorang Ahli Parlimen dari negara membangun yang mahu mula berjinak-jinak dengan dunia kemewahan, anda mungkin hanya mampu sebuah jam Rolex yang diperbuat dari keluli tahan karat yang berharga USD4,000.
Begitupun, Switzerland tempat berlangsungnya Forum Ekonomi Dunia bukanlah sekadar sebuah negara yang memiliki sistem perbankan unik dan pengeluar jam termalah dunia. Hampir seabad lalu Theodor Herzl mengasaskan Kongres Zionism Sedunia pertama yang akhirnya melahirkan negara Israel. Kongres berkenaan mengambil tempat di sebuah lagi tempat di Switzerland yang dikenali sebagai Basel.
Davos, begitupun tidak begitu dikenali di dunia Timur. Namun bagi dunia Barat, Davos membawa kisah pelbagai harapan. Pengarang novel klasik Inggeris, Treasure Island, Robert Louis Stevenson yang menghidap batuk kering menghabiskan musim sejuknya di Davos pada 1880. Arthur Conan Doyle, pencipta watak penyiasat Sherlock Holmes pernah menulis tentang sukan luncur salji di Davos pada 1889.
Akhir Januari 2008 lalu, Davos kembali menjadi pusat yang melahirkan kisah-kisah berunsur harapan kepada 6.5 bilion penduduk planet Bumi apabila pemimpin dunia tiba di sini untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia.
Ada yang datang dengan menaiki penerbangan komersil, dari ibu negara masing-masing dan mendarat di Zurich, Bern atau Geneva. Ada yang datang menerusi penerbangan sambungan kerana negara mereka tidak mempunyai perkhidmatan terus ke mana-mana destinasi di Switzerland. Dan terdapat juga sejumlah kecil yang tiba di negara itu dengan jet rasmi kerajaan, termasuk jet rasmi yang baru dibeli.
Apalah sangat dengan jet rasmi kerajaan sesebuah negara membangun. Ia bukanlah seperti Air Force One, jet rasmi Presiden Amerika Syarikat, sebuah pesawat Boeing 747-200B dengan ubahsuaian ratusan juta dolar Amerika.
Mungkin ada jet rasmi kerajaan sebuah negara membangun yang bernilai cuma RM200 juta sahaja. Bukanlah mahal sangat. Kalau memang sudah sedia ada jet rasmi, tapi telah digunakan oleh pemimpin lalu, tak mengapa.
Beli sahaja yang baru. Lagipun di Davos inilah masa terbaik untuk memberitahu dunia, 'Hey I'm the best leader of my country. That's the reason I am now the Prime Minister. I have all the 'angs - excellence, glory and distinction. No 'temberang', you know. This new government jet is nothinglah compared to the mega projects worth by the billions I have announced for my people.”
Memanglah menggunakan perkhidmatan penerbangan komersil lebih menjimatkan. Apa yang perlu dibayar adalah harga tiket (kelas pertama) yang telah diambil kira surcaj bahanapi.
Tapi bila jet rasmi digunakan kos bahan api yang dibayar dari kumpulan wang kerajaan tidak setimpal dengan muatan yang diterbangkan. Cuma kelebihannya ialah bagi penumpang utama yang kuat tidur.
Maka tidurnya tentulah lebih selesa jika dibandingkan dengan penerbangan komersil walaupun dalam kabin kelas pertama. Tentang mimpi, tak perlulah disebutkan. Segala-galanya lebih besar dan lebih mega dari mendiang Dr. Martin Luther King Jr.
Bagi Malaysia pula, kita menghantar pemimpin dan rombongan ke Forum Ekonomi Dunia di Davos agar rakyat diberitahu tentang dua tiga orang pemimpin korporat antarabangsa yang memuji-muji ekonomi Malaysia dan kemudiannya pemimpin kita pulang ke Kuala Lumpur langsung memberitahu rakyat kecekapan kerajaan Malaysia kini berada pada tempat ke-6 terbaik di dunia.
Kita sendiri kurang jelas bagaimana angka ke-6 yang turut dilaporkan akhbar arus perdana negara ini diperolehi sedangkan Buku Tahunan The Global Competitiveness Report 2007-2008 (sebuah penerbitan Forum Ekonomi Dunia) meletakkan butiran mengenai kecekapan kerajaan Malaysia ini sebagai berada di tempat ke-7.
Laporan yang menyebut Malaysia berada pada kedudukan keseluruhan ke-21 di dunia dari segi persaingan global itu turut memuji Malaysia walaupun rasuah juga pada kedudukan ke-21, tahap dan piawaian audit di tangga ke-25, pemilikan telefon rakyat di tangga ke-69 (Box 5: Malaysia: A competitiveness appraisal 50 years after independence, The Global Competetiveness Report 2007-2008).
Sekembalinya dari Davos, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi nampaknya lebih seronok memberi tahu sekumpulan pegawai kerajaan bahawa kecekapan kerajaan Malaysia berada pada tangga ke-6.
Keghairahan ini disebarkan kepada rakyat menerusi akhbar arus perdana yang turut menceritakan kunjungan dua orang pemimpin perniagaan, pengerusi kumpulan sebuah bank dan CEO sebuah badan korporat untuk menyampaikan pujiannya kepada Pak Lah mengenai kedudukan ekonomi Malaysia yang cukup memberangsangkan.
Mungkin kerajaan Malaysia mendapat pengkadaran yang begitu tinggi sehingga mengatasi UK, Jerman, Jepun dan Perancis kerana kita cuma mengambil masa paling lama dua minggu untuk melangsaikan pembayaran kepada kontraktor bekalan, perkhidmatan dan pembinaan.
Ini diakui sendiri oleh Pak Lah, "Pada tahun lalu, kebanyakan bil bayaran kerajaan kepada pembekal barangan dan perkhidmatan berjaya dibayar dalam tempoh 14 hari.
Daripada jumlah ini, 70 peratus daripada bayaran tersebut dilunaskan dalam tempoh tujuh hari.
Pencapaian ini jelas menunjukkan tahap kemampuan sektor awam." (Utusan Malaysia: Kita ke-6 terbaik dunia - Kecekapan kerajaan atasi UK, Jerman, Jepun, Perancis, 29 Jan 2008.)
Nampaknya kita memang "terror giler" jika dibandingkan dengan negara-negara maju. Kita sudah ada sistem sendiri yang lebih terkini dan lebih mampu menyemak segala baucer pembayaran dan segala dokumen sokongan yang dikemukakan dalam masa yang begitu pantas dan teliti.
Agaknya sebab itu ada baucer bayaran projek mega yang hampir menyentuh RM1 bilion yang hilang dari simpanan. Dan Laporan Ketua Audit Negara bagi kerajaan Persekutan dan Negeri pula tebal-tebal belaka dan mendedahkan pelbagai kesilapan pengurusan kewangan kerajaan termasuk lain-lain pengurusan seperti pemanggilan tender dan sebagainya.
Itu baru, tahap penguditan, kita sebagaimana yang dilaporkan dalam Laporan Global Competitiveness berada di kedudukan ke-25. Bagaimana kalau tahap penguditan juga di tempat "ke-6"? Mungkin agaknya Laporan KON akan menjadi empat kali lebih tebal.
Namun sudah tentulah Forum Ekonomi Dunia tidak akan memikirkan atau mengambil kira bagaimanakah cara kerajaan Malaysia memilih kontraktor untuk kerja-kerja yang bernilai ratusan juta atau beberapa billion ringgit. Forum juga tidak mahu mengambil tahu berapa lamakan masa yang diambil bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam, seperti banjir misalnya. 7 hari? 14 hari? Beberapa bulan?
Tapi bagi tenaga yang berada di sebalik laporan ini, walaupun dipimpin oleh seorang Profesor Harvard (Prof Michael E. Porter, Harvard Business School), tentulah agak mustahil untuk memikirkan hal-hal lain mengenai prestasi kerajaan selain maklumat penting seperti berapa lama bayaran dapat dilangsaikan.
Bukan mudah untuk menyediakan laporan mengenai 131 buah negara yang menjadi ahli Forum Ekonomi Dunia dalam masa yang begitu singkat. Dan lebih sukar lagi memuji negara-negara terbabit walaupun keadaan sesebuah negara itu berada pada peringkat paling teruk.
Tapi ia perlu dilakukan kerana kalau sesuatu laporan itu terlalu negatif, negara berkenaan mungkin tidak lagi menyertai Forum tersebut dan ini akan mengurangkan pendapatan yang boleh diterima oleh badan penganjur (sejak tahun 2002 Forum Ekonomi Dunia mengenakan yuran asas penyertaan sebanyak USD250,000 setahun bagi setiap badan perniagaan dan juga kerajaan yang mahu menyertai Mesyuarat Tahunannya).
Begitupun anehnya, sekembalinya dari Davos, Pak Lah cuma ghairah tentang beberapa perkara sahaja. Bagaimana pula dengan perkara-perkara lain mengenai Malaysia yang turut disentuh dalam Laporan tersebut?
Kenapa tak komen sama? Sebab ia telah membuktikan betapa tidak efisiennya umno-BN dalam mentadbir karya.

No comments: