Sunday, February 3, 2008

Tokoh akademik terpesona tawaran PAS perkenalkan negara kebajikan

Tokoh akademik terpesona tawaran PAS perkenalkan negara kebajikan
Muhammad Nor Abd Samad Sat Feb 02, 08 1:20:59 pm MYT
KUALA LUMPUR, 2 Feb (Hrkh) - Ketua Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff menyambut baik dan terpesona dengan tawaran PAS mahu menjadikan Malaysia sebagai 'Negara Kebajikan' jika parti itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Saya bersetuju dengan negara kebajikan sejak dahulu lagi. Ini kerana negara kebajikan bermakna kerajaan mengambil berat masalah kemiskinan rakyat dengan memberikan mereka bantuan untuk sekurang-kurangnya dapat menikmati keperluan hidup minimum sebagai manusia. Jadi bila PAS mencadangkan untuk memperkenalkan negara kebajikan sekerinya dipilih untuk memerintah, saya terpesona dengan hasrat tersebut," katanya dalam satu temu bual dengan Harakahdaily baru-baru ini.
Walau bagaimanapun katanya, konsep negara kebajikan seperti yang diumumkan PAS agak berbeza dengan negara kebajikan yang difahaminya.
"Negara kebajikan PAS adalah untuk mengurangkan harga petrol 30 sen, menghapuskan ISA, tidak menaikkan harga barang dan menyediakan bekalan air percuma," katanya.
Menurutnya, PAS boleh melaksanakan negara kebajikan sekiranya dipilih untuk memerintah, tetapi parti itu mestilah terlebih dahulu menyatakan cara ia akan dilaksanakan.
"Saya risau sekiranya negara kebajikan ini dibuat tanpa perancangan dan mengambil kira kemampuan ekonomi negara dengan cukai yang kekal di tahap sekarang, apa yang dikatakan oleh PAS itu hanyalah ilusi pilihan raya sahaja," sambungnya.
Beliau juga menyeru supaya PAS dan parti-parti pembangkang menjelaskan dengan terperinci konsep negara kebajikan yang dibawa mereka.
"Dalam negara kebajikan, kerajaan boleh membuat apa juga polisi, tetapi mestilah dengan mengambil kira keperluan semua rakyat tanpa mengenepikan bantuan yang diperlukan oleh rakyat miskin. Itulah erti negara kebajikan yang sebenar," katanya.

No comments: