Friday, February 1, 2008

Hanya calon berwibawa dipilih -- Kenyataan pemimpin politik tidak pengaruhi keputusan saya – PM

Hanya calon berwibawa dipilih -- Kenyataan pemimpin politik tidak pengaruhi keputusan saya – PM
Oleh HATA WAHARI
KUALA LUMPUR 31 Jan. – Barisan Nasional (BN) hanya akan meletakkan calon yang berwibawa, bersih dan bersedia berkhidmat untuk rakyat pada pilihan raya umum ke-12 ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, beliau juga mempunyai kriteria tersendiri dalam memilih calon Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
‘‘Kriteria yang saya tetapkan adalah lebih baik daripada apa yang dikatakan oleh menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri atau pemimpin-pemimpin lain,’’ katanya.
Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pusat beli-belah bertaraf dunia, Pavilion Kuala Lumpur di kawasan pelancongan utama Jalan Bukit Bintang di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen yang menyatakan kesediaan mereka sama ada untuk bertanding semula, tidak bertanding dan berundur dalam politik.
Abdullah menegaskan, kenyataan-kenyataan mereka itu tidak mempengaruhi keputusannya mengenai siapa yang akan menjadi calon pilihan raya.
‘‘Keputusan akhir siapa yang akan menjadi calon untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, akan ditentukan oleh saya,’’ jelasnya.
Perdana Menteri bagaimanapun memberitahu, beliau tidak akan menyekat sebarang kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik mengenai calon-calon pada pilihan raya umum akan datang.
Ditanya sama ada beliau telah mendapat ilham untuk mengadakan pilihan raya, Perdana Menteri secara bergurau memandang ke atas dan ketawa berkata: ‘‘Saya macam dah nak dapat ilham.’’
Mengenai pertambahan sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) Cina serta Tamil, Perdana Menteri berkata, Kabinet telah dimaklumkan bahawa beberapa keputusan telah dibuat dan perbincangan telah dilakukan dengan MCA serta MIC.

No comments: